Rabu, 16 Januari 2013

Menjulang Panji Kebenaran Menongkah Arus Kebatilan




Dunia kini dan selamanya tidak akan sunyi daripada dua aspek yang berlawanan dan berpasangan sepertimana kebenaran dan kebatilan. Memetik terjemahan kalamullah daripada ayat ke-36, Surah Yasin, “Maha Suci Allah yang telah menciptakan segalanya berpasang-pasangan, baik yang ditumbuhkan dari bumi dan apa yang datang daripada diri mereka sendiri mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.”


Berdiri di atas dasar yang sama oleh apa yang telah dipersetujui oleh sebahagian ahli falsafah Cina bahawa dunia tidak lari daripada dua unsur utama iaitu Yin (baik) dan Yang (jahat). Begitu juga dalam setiap tayangan layar perak pasti akan muncul di sana protagonis (watak baik) dan antagonis (watak jahat). Demikianlah percaturan daripada Yang Maha Bijaksana supaya pada setiap sesuatu itu adanya dua sifat yang berlawanan atau berpasangan.


Apa itu kebenaran dan apakah pula kebatilan? Secara bertulis Kamus Pelajar Edisi Kedua menyatakan kebenaran adalah sesuatu yang benar atau sesuatu yang sungguh-sungguh ada atau betul manakala kebatilan sepertimana yang dinukilkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula adalah perihal tidak benar atau lawan pada kebenaran. Nah, kini jelas apa yang akan kita perkatakan.


Kebatilan tidak boleh selamanya tertegak dan ianya mesti ditentang habis-habisan. Sebagaimana istilah yang telah digunakan dalam satu masalah Feqah pada menceritakan perihal suami yang tidak menegur isterinya yang berbuat maksiat dikatakan dayus maka mereka yang tidak menentang kebatilan juga boleh digelar sedemikian rupa. Mereka yang mendiamkan kebatilan sahaja sudah dikira bacul atau dayus apatah lagi yang turut sama menyokongnya? 


Menegak kebenaran dan menentang kebatilan adalah sunnah para Rasul yang terdahulu. Mereka telah berjuang bermati-matian menyampaikan ad-din yang benar pada umat. Walaupun dicemuh dan dihina mereka tetap teguh menyampaikan Islam demi melihat agama yang benar terus tersebar zaman-berzaman. Natijahnya kita di zaman ini mampu menikmati keindahan Islam.


Insan yang menegak kebenaran dan menentang kebatilan selalunya terkorban. Mereka rela dikorban demi kebenaran. Oleh kerana itulah tidak ramai yang sanggup memilih jalan tersebut. Sebagai contoh, antara penegak-penegak kebenaran selain para Nabi adalah para Khalifah yang empat. Mereka semua mati terbunuh. Salah seorang pendiri mazhab yang kita sama-sama dukungi mazhabnya iaitu Muhammad bin Idris As-Syafie atau lebih dikenali sebagai Imam As-Syafie ada pendapat yang mengatakan ia mati diracun oleh penyokong fanatik mazhab lain.


Salah seorang ilmuan besar zaman silam yang dikenali dengan gelaran Imam Fakhruddin ar-Razi. Seorang yang pakar dalam pelbagai disiplin ilmu merangkumi ilmu cabang agama dan dunia sekaligus. Melalui kepakarannya dalam Ilmu Kalam, beliau telah berjaya menarik ramai daripada kalangan pendukung fahaman sesat Mu’tazilah dan Karamiah kembali pada fahaman sejati Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Beliau juga telah dikatakan mati diracun oleh pendokong fahaman sesat Karamiah.


Contoh terdekat yang berlaku di negara kita satu masa dahulu pula ialah apa yang berlaku pada pejuang-pejuang kebenaran negara yang mewakili rakyat demi menuntut hak kemerdekaan negara. Mereka yang terdiri daripada Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Mat Saleh dan ramai lagi adalah sebahagian daripada mereka yang sanggup berkorban dan terkorban demi kebenaran.


Akhir kata hayatilah kisah-kisah mereka yang terkorban demi kebenaran. Mereka semua adalah insan yang berani dan mulia. Berani terkorban demi kebenaran. Berani menentang demi kemenangan. Kebatilan tidak akan jatuh jika tidak ada persepakatan dalam menjatuhkannya. Marilah kita bersatu dalam menegakkan kebenaran. Sama-sama kita berpakat dalam meruntuhkan kebatilan. Mati itu pasti dan ianya hanya sekali. Sama ada mati dalam memperjuangkan kebenaran atau mati sebagai insan biasa. Pilihan di tangan kita sendiri…