Catur adalah sejenis permainan yang berbentuk pemerintahan. Kebiasaannya mereka yang mahir dalam permainan ini akan dikaitkan dengan kebijaksanaan dan kepintaran dek kerana permainannya yang memang memerlukan ketajaman minda menyusun strategi untuk memerangkap 'king' pihak lawan. Situasi 'king' pihak lawan di perangkap di panggil 'checkmate'.
Kita selaku umat Islam tidak dapat tidak setiap perkara yang dilakukan mestilah menuruti lunas-lunas syara'. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu dipastikan dahulu bahawa ianya dibolehkan atau tidak. Jadi,apakah hukum kita bermain catur? Sudah menjadi satu perkara biasa setiap masalah agama yang di kaji akan wujud di sana lambakan khilaf 'ulama.
Penulis tidak berniat untuk melonggokkan ke semua percambahan khilaf tersebut pada pembaca kerana bimbang ianya akan menjadi seperti satu tesis Phd atau Master. Penulis hanya akan mengambil pendapat seorang 'Ulama besar akhir zaman yang memang sudah tidak asing lagi di kalangan umat Islam yang di kenali dengan nama Dr. Yusof Al-Qaradhawi.
Beliau mengatakan dalam kitabnya Al-Halal Wal Haram bahawa hukum bermain catur adalah mubah atau harus dengan syarat tidak melambat-lambatkan solat,tidak di sertai judi dan pemainnya menjaga lisan daripada omongan kosong. Mengikut pengetahuannya tidak ada dalil khusus yang menyatakan keharaman bermain catur dengan sebab ianya melebihi daripada perkara yang berkait dengan hiburan.
Hiburan di sisi islam tidaklah haram selagi mana ianya tidak menyalahi syara' dan merosakkan perkara-perkara yang wajib. Permainan tersebut jika diperhatikan dengan teliti sebenarnya terdapat pengajaran-pengajaran dan perkara-perkara yang boleh di kaitkan dengan keadaan-keadaan semasa.
Catur mengajar kita agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan kerana dalam permainan tersebut walau berlaku kesilapan hanya dengan satu langkah sahaja sudah mampu untuk membawa si pemain pada kekalahan. Pemain juga perlu berfikir dengan pantas kerana kebiasaannya dalam sesuatu pertandingan catur akan ditetapkan had masa dalam melangkah. Begitu juga dalam kehidupan kita,setiap keputusan perlulah di buat dengan pantas dan tepat. Sesuatu keputusan yang tepat akan tetapi terlalu lambat dilakukan kadang-kala membawa perkara yang sia-sia sahaja.
Nasihat yang popular di kalangan pemain-pemain catur ialah sentiasa memikirkan tiga langkah kehadapan daripada pihak lawan dalam bermain untuk memastikan setiap perkara yang bakal berlaku dapat diatasi daripada awal. Nah,lagi perkara yang berkait dengan kehidupan. Setiap keputusan yang ingin di buat perlu difikirkan dahulu akibatnya pada masa akan datang agar tidak menyesal di kemudian hari.
Penulis juga menemui satu perkara yang berkait dengan situasi kepimpinan dan pemerintahan yang berlaku kini malah dahulu pun. Tidak pasti adakah ramai juga pemain-pemain menyedari perkara ini. Dalam permainan catur,buah 'queen' mampu bergerak dalam ruang lingkup yang amat besar dan boleh dikatakan buah catur yang paling hebat di bandingkan dengan buah catur lain yang mana pergerakannya agak terbatas.
Sedangkan buah 'king' pula amatlah terbatas pergerakannya sedangkan dalam permainan catur buah itulah yang menjadi sasaran setiap buah catur lawan untuk diperangkap. Hendak difikirkan logik sudah tentulah buah 'king' yang di beri kelebihan untuk bergerak lebih bebas supaya mudah untuk diselamatkan. Penulis memerhatikan perkara ini berkait dengan pemerintahan-pemerintahan yang sedang dan pernah berlaku. Banyak perkara dalam pemerintahan seseorang pemerintah dipengaruhi oleh isterinya atau ahli keluarganya sendiri sedangkan segala keputusan pemerintahan sepatutnya tidak di pengaruhi oleh ahli keluarga atau saudara-mara. Kecualilah ianya berkait dengan masalah keluarga. Pemimpin sepatutnya mengambil kira pandangan ahli-ahli dalam Kabinet atau Penasihatnya,bukannya ahli keluarga demi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku dalam pemerintahan.
Akan tetapi perkara itulah yang berlaku kini. Pemerintah-pemerintah terkenal pada suatu ketika dahulu pun ramai yang jatuh dek kerana perempuan yang di gilai seperti mana Napolean Bonaparte dan sebagainya. Semua ini penulis lihat berkait dengan misteri begitu bebasnya pergerakan 'queen' di bandingkan dengan 'king' yang dikatakan paling berkuasa akan tetapi pergerakannya amat terhad. Harapnya nukilan ini difahami dan dapat dijadikan iktibar. Wallahu'alam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan