Isnin, 25 Januari 2010

Mari Membaca Al-qur'an


Hampir setiap daripada rumah seorang muslim itu adanya Al-qur'an. Jika tidak banyak pun sekurang-kurangnya ada sebuah sebagai simpanan. Akan tetapi adakah Al-qur'an yang di simpan itu hanya sekadar simpanan atau pun di baca sebagai bacaan wajib sehari-harian? Tanpa kita sedari atau yang menyedari akan tetapi tidak mempedulikan perkara tersebut bahawa membaca Al-qur'an itu amatlah besar ganjaran pahalanya. Dalam urusan keduniaan tidak banyak perkara yang praktikalnya mudah akan tetapi ganjaran yang diperolehi berganda-berganda banyaknya.


Secara mudahnya kita imbas sahaja jualan-jualan murah yang terdapat di pasar raya. Promosi-promosi yang di buat oleh makhluk-makhluk Allah yang bergelar manusia ini kebanyakannya tidaklah begitu hebat. Kadangkala jika ada potongan yang dikira hebat seperti potongan separuh harga atau 80% daripada harga pun hanyalah pada waktu-waktu yang tertentu seperti ketika sambutan Hari Raya atau sambutan Hari Raya Cina dan sebagainya. Sedangkan ganjaran pahala hebat yang Allah kurniakan pada si pembacanya berterusan dan tidak hanya pada waktu-waktu khusus.


Daripada Abdullah bin Mas'ud, sabda Nabi S.A.W :

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-qur'an), maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan digandakan sepuluh (kebaikan) seumpamanya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

(Riwayat Tirmizi)


Lihatlah kasih sayang Allah pada hamba-hambanya. Hanya dengan satu huruf yang di sebut sudah diganjari dengan 10 kebaikan. Adakah wujud di dunia satu promosi di mana di beli satu barangan akan di hadiahkan dengan 10 barangan lagi? Alangkah ruginya kita jika tidak memanfaatkan anugerah Allah S.W.T tersebut. Ramai di antara kita tidak menyedari akan manfaat pahala ketika di akhirat kelak kerana kehidupan di akhirat masih belum kita fahami. Antara punca ramainya manusia yang melakukan maksiat juga adalah kerana masih tidak mengenal kedahsyatan neraka,masih tidak mampu membayangi kesukaran hisab dan masih tidak mengenal Allah S.W.T.


Daripada Abu Hurairah, sabda Nabi S.A.W :

Seorang penzina tidak akan akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan.
Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.

(Riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan