Ahad, 17 Januari 2010
Kenali Sumpah
Sumpah adalah satu akad yang disokong dengan penguat untuk orang yang bersumpah berazam melakukan satu perkara atau meninggalkannya. Sabda Nabi S.A.W. : "Apabila kamu bersumpah dengan satu perkara dan melihat lebih baik pada melanggar sumpah maka buatlah yang lebih baik dan hendaklah kamu bayar kaffarah sumpah."(Hr Tirmizi) Hadith tersebut jelas menyatakan tentang kaffarah atau denda yang perlu dikenakan pada pelaku sumpah sekaligus membawa maksud sumpah adalah satu perkara yang wajib dilaksanakan serta tidak melibatkan unsur penipuan dalam sumpah.
Perlanggaran sumpah terbahagi kepada dua. Perlanggaran sumpah yang berbentuk si pelaku sumpah tidak melakukan apa yang sudah dia sumpah untuk melakukan sesuatu perkara dan perlanggaran sumpah yang berbentuk pendustaan terhadap perkhabaran yang hanya akan dapat dipercayai dengan sumpah. Perbezaan antara dua keadaan tersebut ialah perlanggaran sumpah yang kedua adalah lebih memperlekehkan nama Allah kerana dia bersumpah dengan nama Allah sedang dalam masa yang sama dia mengetahui perkara tersebut adalah dusta.
Perkhabaran isu semasa ada menyebut tentang kes-kes sumpah yang telah dilakukan oleh pimpinan-pimpinan di Malaysia dan individu-individu tertentu untuk membersihkan tanggapan masyarakat tentang kesalahan-kesalahan yang telah dikaitkan dengan diri mereka. Walau apa pun kesalahan yang telah dikaitkan dengan mereka penulis tidak berminat untuk memberikan komen tentang kesahihan sumpah yang telah mereka lakukan. Penulis menyerahkan sepenuhnya urusan kesahihan sumpah mereka pada Allah S.W.T.
Kes sumpah yang terbaru melibatkan seorang ahli perniagaan dari kelantan,Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyembur bahan berbahaya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad. Beliau tampil mempertahankan dirinya di mahkamah dengan membuat pengakuan sumpah menggunakan nama Allah. Menurutnya,tindakan bersumpah dengan nama Allah itu dibuat berikutan perbicaraannya telah selesai dan hukuman telah dijatuhkan namun merasakan dirinya dianiaya.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Maidah,ayat 89 yang mana bermaksud:
"Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,atau memberi pakaian untuk mereka,atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut),maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Jaga dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama) supaya kamu bersyukur.
Berdasarkan firman Allah tersebut boleh disimpulkan bahawa sesiapa yang melanggar sumpah ghamus (dusta) ataupun bukan ghamus maka dia wajib mengkafarahkannya. Dia boleh memilih salah satu daripada tiga perkara berikut:
1. Membebaskan seorang hamba yang beriman,lelaki atau perempuan. Hal ini dilakukan jika si pelaku sumpah memiliki hamba.
2. Memberi makan sepuluh orang fakir miskin. Setiap orang miskin diberikan secupak makanan asasi yang menjadi kebiasaan negeri tersebut. Secupak ialah kadar yang diketahui umum yang lebih kurang seberat 600 gm. Setiap orang miskin itu wajib diberikan hak milik terhadap apa yang telah disebutkan dan tidak memadai dengan menjemput mereka datang makan tengah hari ataupun makan malam ataupun yang seumpamanya.
3. Memberi Kiswah (pakaian) untuk sepuluh orang fakir miskin dengan pakaian yang biasanya dipakai. Secara kebiasaannya Kiswah terdiri daripada baju,seluar,stokin dan penutup kepala dalam apa bentuk sekalipun. Semuanya ini dinamakan Kiswah.
Sekiranya dia tidak mampu untuk memenuhi mana-mana satu daripada tiga perkara ini disebabkan dia seorang yang susah maka dia wajib berpuasa tiga hari. Tidak disyaratkan berturut-turut bahkan dibenarkan dia memisahkannya (menyelang harinya).
Sumber : Darussyifa' Online
Blog Salman Maskuri
Harakah Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan