Ahad, 17 Januari 2010

Pedoman Buat Blogger



Era 90an boleh dikatakan waktu awal kemunculan blog di laman maya. Mengikut sumber yang diperolehi blog yang paling awal wujud adalah halaman What's New melalui browser Mosaic yang dihasilkan oleh Marc Anderson pada tahun 1993. Mosaic adalah browser pertama sebelum adanya Internet Explorer seperti mana yang terdapat di komputer para pembaca sekalian.

Bilangan mereka yang menggunakan blog bertambah pesat dari semasa ke semasa. Walaupun begitu,isi blog-blog yang dihasilkan tidak serupa. Ada yang menggunakan blog sebagai coretan pengalaman hidup,ada juga sebagai tempat meluahkan pendapat,ada pula yang menjadikan ianya sebagai tempat menyebarkan berita yang tidak diyakini kesahihannya atau berunsur fitnah.

Walau apa sekalipun tujuannya blog dihasilkan yang paling penting ialah ianya tidak menyalahi syari'at dan sebaik-sebaiknya blog yang dihasilkan berunsurkan dakwah,menyeru manusia pada kebaikan dan mendekatkan diri pada Yang Maha Pencipta. Seperti mana disebutkan di Surah Al-'Asr ayat 2 dan 3. "Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran".

Dewasa ini,kita lihat banyak blog-blog yang dihasilkan berbentuk ulasan isu semasa yang tidak kita yakini kesahihannya. Tambahan pula perkhabaran berita daripada media-media negara kita sekarang ada yang tidak mengikut fakta sebenar. Sesetengahnya menyeleweng untuk disesuaikan mengikut kehendak pihak-pihak yang tertentu. Sedarkah kita bahawa sesuatu berita yang tidak benar jika disebarkan di blog akan membawa kepada tersebarnya khabar angin secara meluas sekaligus mendatangkan dosa yang berlipat ganda kepada si pemilik blog.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hujurat,ayat 6,"Wahai orang yang beriman,jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya,supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini,dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan".

Lebih-lebih lagi jika berita yang dipaparkan berbentuk fitnah. Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru,dosa itu tidak akan diampunkan Allah,melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Fitnah yang membabitkan seorang sahaja pun sudah menjadi satu beban pada si pemfitnah untuk mendapatkan kemaafan,apatah lagi jika ianya membabitkan kelompok manusia yang ramai.Sabda Rasulullah S.A.W. yang mana bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Bak kata pepatah,siapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya. Sama-sama kita muhasabah diri dan berubah. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan rahmatNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan