Sabtu, 27 Disember 2008
Ma'al Hijrah -Satu Imbasan Satu Renungan-
Masa tidak pernah ingkar. Sentiasa taat bergerak dari satu saat ke saat yang lain seiring dengan kehendak Tuhannya Yang Maha Esa. Tidak pernah alpa walau sedetik. Tidak pernah berhenti walau sesaat. Cukup patuh dan tidak pernah lalai. Kita sebagai manusia yang selalu leka dan lupa sepatutnya memerhatikan serta memikirkan kejadian-kejadian Allah S.W.T. Sebenarnya tidak kurang banyaknya kejadian-kejadian Allah S.W.T yang boleh di jadikan sebagai pedoman dan panduan hidup.
Antaranya kejadian masa seperti yang diceritakan tadi. Kita boleh menjadikan ketaatan masa pada Tuhannya sebagai satu sumber inspirasi untuk menjadi insan yang lebih patuh pada Rabnya. Menjadi insan yang lebih gigih meneruskan kehidupan walaupun pelbagai ranjau dan halangan terpaksa ditempuhi. Masa terus maju dan maju sehinggalah hampirnya kita pada tanggal 1 Muharam atau lebih dikenali sebagai Ma’al Hijrah.
Marilah sama-sama kita imbas kembali peristiwa yang berlaku di sebalik sambutan Ma'al Hijrah. Satu ketika dahulu ketika islam semakin berkembang luas di Mekah, para pemuka-pemuka Quraisy telah mengadakan satu perjumpaan untuk membincangkan tentang islam, umat islam dan Nabi Muhammad S.A.W atas sebab mereka merasakan perkara ini boleh membawa kesan yang buruk kepada Kaum Musyrikin Mekah. Perjumpaan tersebut telah diadakan pada 26 safar pada tahun ke 14 kenabian di Dar An-Nadwah.
Turut sama hadir di dalam perjumpaan itu juga iblis yang menyamar sebagai Sheikh An-Najd (seorang tua dari An-Najd) untuk turut sama memberikan usul-usul jahat. Pada akhir perjumpaaan tersebut telah diterima pendapat Abu Al-Aswad yang mencadangkan agar Rasulullah S.A.W di buang negeri dan Abu Al-Muktari yang mencadangkan Rasulullah S.A.W dipenjarakan. Perkara tersebut diketahui oleh Rasulullah S.A.W apabila Allah S.W.T menyampaikan wahyu mengenai perkara itu melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.
Apabila berita tersebut diketahui Rasulullah S.A.W, baginda telah mengkhabarkan perkara tersebut pada sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq a.s. Kemudian, mereka telah berkemas-kemas dan bersiap-siap untuk berhijrah ke Madinah atau pada ketika itu dikenali sebagai Yathrib. Rasulullah S.A.W telah memilih Saidina Ali untuk berbaring di tempat tidurnya pada malam baginda dan Abu Bakar hendak bertolak ke Madinah sebagai mengabui mata para kaum musyrikin Mekah yang hendak membunuhnya pada malam itu. Kesan daripada helah tersebut maka berjayalah Nabi Muhammad S.A.W dan Abu Bakar melepaskan diri ke Yathrib tanpa di sedari walau seorang pun daripada mereka.
Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar telah menuju ke arah selatan untuk menuju ke Gua Thur seraya tidur di sana selama 3 malam. Selama mereka berada di sana Asma' dan Aisyah telah membawakan bekalan makanan untuk mereka, manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik pada mereka untuk mengetahui sebarang berita atau perkhabaran tentang Musyrikin Mekah dan Amir bin Fuhaira' pula menggembala kambing di sepanjang laluan yang di lalui Rasulullah dan Abu Bakar untuk menghilangkan segala kesan-kesan perjalanan.
Pihak Quraisy yang kecewa di atas kegagalan mereka menjejaki 2 orang yang amat dikehendaki itu telah menawarkan 100 ekor unta kepada sesiapa sahaja yang mampu menjejaki mereka. Tawaran lumayan tersebut telah menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya menemui jejak-jejak mereka. Walau bagaimanapun hajat besar Suraqah bin Malik tidak kesampaian apabila beliau dan unta yang di tungganginya rebah ke bumi ketika dalam proses menjejaki Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar.
Nabi Muhammad S.A.W telah meneruskan perjalanannya bersama Abu Bakar dengan melalui beberapa perkampungan yang di antaranya ada yang bernama Tihama'. Walaupun pelbagai rintangan dan ujian terpaksa di lalui seperti ancaman binatang buas, binatang berbisa, melalui batu-batu kapur, lembah yang curam dan sebagainya mereka tetap terus menggagahkan diri dengan hanya berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Akhirnya Rasulullah S.A.W telah tiba di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabian, sebahagian ulama' mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di sana selama 4 hari serta mendirikan Masjid Quba'.
Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah alunan "Tola'al Badru 'Alaina" yang merupakan laungan nasyid selamat datang yang dialunkan khas daripada mereka untuk menyambut kedatangan Nabi Muhammad S.A.W diikuti laungan takbir. Rasulullah bersembahyang juma'at di Yathrib dan menukarkan Yathrib kepada Madinaturrasul atau Al-Madinah. Maka dengan rasminya tertegaklah negara islam Madinah dan dari saat itu jugalah bermulanya penyebaran islam ke seluruh dunia.
Oleh yang demikian, sempena kita menyambut Ma'al Hijrah sama-samalah kita imbas kembali segala jerih payah Rasulullah S.A.W menempuhi segala ranjau dan duri untuk berhijrah ke Madinah demi melihat islam tetap teguh berdiri sekaligus menjadikan ia satu titik tolak pada kita untuk berazam menjadi seorang islam yang lebih ta'at pada syariat islam menjelang Awal Muharam ini.
Salam Ma'al Hijrah..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan