Khamis, 15 Januari 2009

Berikan Pilihan Yang Tepat!


Tanggal 17 Januari 2009 bakal menyaksikan satu pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu. Calon-calon yang bakal diundi datangnya daripada PAS, BN dan Bebas. Mereka ialah Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Azharudin Mamat daripada Bebas. Walau apa pun natijah daripada pilihan raya tersebut harapnya calon yang terpilih ialah seorang yang ta'at melaksanakan syari'at Islam serta mampu untuk mengajak rakyat di bawah pimpinannya turut sama akur dengan panduan yang telah digariskan oleh Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Kewajipan melantik pemimpin yang adil dan melaksaksanakan syari'at Islam adalah satu tanggungjawab yang tidak dapat tidak perlu dilaksanakan oleh mereka yang sudah layak untuk memilih pemimpin atau lebih tepatnya mengundi. Perkara tersebut adalah penting kerana seseorang khalifah atau pemimpin dalam sesebuah kawasan memainkan peranan yang penting untuk memastikan rakyatnya tetap teguh dengan ajaran Islam khususnya dan memastikan segala keperluan atau kebajikan terjaga dengan baik umumnya.

Maka tidak hairanlah Islam sangat memuliakan dan menjunjung tinggi pemimpin yang adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil"

(Riwayat Tarmizi)

Oleh kerana itu maka Islam telah menggariskan kriteria-kriteria seseorang calon yang layak untuk dipilih atau diundi bagi sesebuah kawasan tersebut. Antaranya ialah:

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.

2 . Adil . Sifat ini sangat perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin umat islam,ekoran peri pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ianya adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak di muka bumiNya ini. Sebagaimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar dalam memimpin umat Islam.

3 . Berilmu. Golongan 'ulama dan 'umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah. Pelaksanaan hukum Allah di sesebuah kawasan yang dipimpin adalah sesuatu yang wajib. Walaupun ianya adalah suatu perkara yang sukar dan pastinya akan mendapat tentangan pelbagai pihak hakikatnya pelaksanaan hukum Islam oleh seseorang pemimpin adalah wajib dalam rangka untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar apabila adanya pemimpin yang menyalah gunakan harta rakyat dengan menyalurkan harta tersebut untuk kepentingan peribadi atau pada pihak-pihak tertentu yang mana sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan keperluan rakyat secara adil. Justeru itu apabila didapati adanya sifat ini pada seseorang calon yang hendak dipilih maka tinggalkanlah.

Sukalah penulis mempersembahkan sebuah kisah yang insyaAllah dapat menjadi panduan dan kayu ukur dalam memilih seorang pemimpin yang benar-benar ideal untuk rakyat bersesuaian dengan pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di negara kita tidak lama lagi.

Telah dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz ketika di tanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam. Katanya:" Sesungguhnya Allah telah menjadikanpara imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.

Dia jugalah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan di atas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya. Dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya.

Menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-sekali menghukum dengan cara jahiliah danmengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar dalam menindas golongan lemah, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Begitulah syakhsiah atau pun ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati yang telah di sebutkan secara panjang lebar oleh Amirul Mu'minin Umar bin Abdul Aziz dalam kisah tersebut. Dengan itu maka amatlah diharapkan agar pembaca dapat mengetahui dan memahami dengan jelas kriteria-kriteria penting yang perlu ada oleh seseorang pemimpin dan seterusnya dapat diaplikasikan kefahaman tersebut untuk menentukan pemimpin yang benar-benar berkelayakan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu khususnya dan pilihan raya-pilihan raya yang akan datang umumnya.

Wabillahit taufiq..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan