Khamis, 22 Januari 2009

Peliharalah Dirimu Wahai Wanita~


Satu ketika dahulu, sebelum datangnya Islam menyinari kehidupan manusia, pelbagai perilaku buruk telah di jadikan amalan. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang membawa kepada kerosakan dan mudharat yang teruk. Manusia pada waktu itu tidak mempunyai sesuatu yang boleh di jadikan panduan untuk hidup mereka. Oleh yang demikian, mereka menetapkan sesuatu keputusan dalam kehidupan seharian mereka secara menuruti hawa nafsu sepenuhnya.

Antara perkara buruk yang diamalkan oleh mereka pada waktu itu ialah eksploitasi terhadap wanita atau menyalah gunakan wanita. Zaman di mana dikatakan manusia tidak mempunyai panduan ini di gelar zaman The Dark Age atau lebih dikenali dengan zaman jahiliah. Wanita pada ketika itu tidak lebih daripada menjadi pemuas nafsu bagi kaum lelaki. Kaum wanita juga dianggap sebagai barang perniagaan kerana mereka dijadikan sebagai alat tukaran untuk mendapatkan sesuatu barangan. Pendek kata semuanya bertujuan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Pada zaman tersebut penganiayaan yang dikenakan ke atas kaum wanita sangat dahsyat sehingga disebutkan bila mana sesebuah keluarga ingin mengahwinkan anak perempuan mereka maka mereka akan mengiklankan anak perempuan mereka pada khalayak umum terlebih dahulu. Kemudian di sarankan pada yang berminat agar berdaftar dengan pihak keluarga tersebut. Pendaftaran akan di tutup apabila di rasakan bilangan sudah mencukupi. Selesai sudah proses tersebut maka dikehendaki pada semua yang berdaftar agar menyetubuhi anak perempuan keluarga tersebut.

Apabila satu ketika nanti perempuan tersebut mengandung dan melahirkan anak maka akan di tilik wajah anak tersebut untuk memastikan wajah lelaki manakah yang paling seiras dengan anak tersebut dan dari situlah ditentukan lelaki mana yang paling layak untuk menjadi suaminya. Alangkah jijik dan hinanya sistem perkahwinan yang digunakan pada zaman tersebut, wanita diperlakukan seakan-akan langsung tidak bermaruah kerana diperalatkan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan, kesucian wanita tersebut dan sebagainya.

Walaupun begitu keturunan junjugan besar kita Nabi Muhammad SAW bebas daripada kejelekan sistem tersebut kerana tidak dikahwinkan mengikut sistem jahiliah dan begitu jugalah sistem yang diamalkan turun temurun sehinggalah zaman kita kini. Sama-samalah kita bersyukur kerana dengan datangnya Islamlah keturunan kita bersih daripada anasir-anasir buruk tersebut seterusnya lahirlah kita semua melalui hubungan perkahwinan yang sah.

Apabila terbit sahaja fajar Islam maka semuanya berubah. Segala keburukan serta kerosakan yang dilakukan oleh umat manusia ketika zaman jahiliah telah ditinggalkan. Yang diamalkan ialah syariat-syariat Islam yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT. Maruah serta kehormatan wanita diangkat dan dipelihara sebaik-baiknya. Perkara yang paling dibanggakan ialah syurga yang dikatakan terletak di bawah kaki seorang ibu yang mana juga seorang wanita.

Tidak wujud lagi wanita yang dijadikan sebagai alat perniagaan. Wanita sudah tidak digunakan dan dianiaya sesuka hati malah mereka yang di didapati mengganggu keamanan seseorang wanita akan ditangkap serta dibicarakan. Zaman inilah yang dikatakan zaman kegemilangan Islam atau dengan nama lain zaman Enlightment Age. Wanita tidak lagi dapat di sentuh sesuka hati. Pemakaian wanita juga di tetapkan tatasusilanya agar tidak membangkitkan nafsu lelaki. Pergaulan antara lelaki dan wanita di tetapkan hadnya agar tidak terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.

Tetapi alangkah sayangnya, menjelang akhir zaman wanita seakan-akan hendak dikembalikan pada zaman jahiliah semula. Zaman yang boleh dikatakan zaman gelap bagi kaum wanita kerana dipergunakan sesuka hati. Sebagai bukti, lihat sahaja iklan-iklan yang dipaparkan di televisyen. Kebanyakannya menggunakan kaum wanita sebagai alat penarik dengan menampilkan diri dalam keadaan memakai pakaian yang mendedahkan aurat. Jika dilakukan pengiraan secara teliti memang jelaslah jauhnya nisbah penggunaan wanita sebagai pelakon sesuatu iklan berbanding lelaki.

Pemakaian secara mendedah aurat pula telah dianggap 'up to date' oleh sesetengah pihak dan diamalkan oleh muda-mudi. Mereka mengganggap pemakaian tersebut sebagai sesuatu yang mengikut 'trend' semasa sedangkan kefahaman tersebutlah yang merosakkan mereka seterusnya membawa mereka jauh daripada memperagakan busana muslimah sejati dalam kehidupan seharian mereka. Dalam masa yang sama kita tidak menafikan semua itu adalah perancangan barat dalam merosakkan muda-mudi Islam.

Oleh itu, ayuh kita sama-sama sedarkan mereka yang masih tidur. Mereka yang masih hanyut dengan kefahaman barat. Khabarkan pada mereka bahawa wanita ketika ini berada dalam zon bahaya. Ingatkan mereka pada nasib wanita suatu ketika dahulu. Wanita akan kembali pada zaman gelapnya jika perubahan tidak dilakukan. Serlahkan harga dirimu wahai wanita, buktikan pada dunia bahawa kamu semua adalah kaum yang bermaruah, jangan sampai sejarah silam berulang kembali.


Diolah daripada Buletin An-Naba'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan