Hari yang paling bertuah atau yang paling istimewa dalam bulan Muharram ialah Hari Asyura yang mana jatuhnya pada hari ke-10 dalam bulan Muharram. Pelbagai peristiwa-peristiwa penting pernah berlaku pada tarikh tersebut seperti terciptanya Nabi Adam a.s., dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta, selamatnya Nabi Ibrahim daripada api Namrud dan sebagainya. Kalau di negara kita pula bubur 'asyura sudah pastinya menjadi hidangan yang lazim disediakan dalam meraikan hari tersebut.
Tanpa melupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku itu kita juga disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah mengikut Mazhab Hanafi puasa pada hari ke-10 dalam bulan Muharram itu adalah puasa yang pertama difardhukan sebelum daripada difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.
Rasulullah bersabda:-
"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya"
(Riwayat Imam Muslim)
Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada tarikh tersebut maka disunatkan juga pada kita untuk berpuasa pada hari yang ke-9 bagi mengelakkan persamaan antara puasa kita selaku orang islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi. Jika kita tidak berkesempatan untuk berpuasa pada hari yang ke-9 maka masih boleh untuk kita menggandingkan puasa kita pada hari yang ke-10 itu dengan hari yang ke-11.
Sabda Rasulullah S.A.W:-
"Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura (10 Muharram), dan bezakan kamu dengan orang-orang yahudi (yang hanya berpuasa hari ke-10 Muharram sahaja), hendaklah kamu berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya"
Para ulama' membuat kesimpulan mengenai kajian-kajian yang mereka lakukan tentang puasa pada pada hari 'Asyura dengan berpuasa pada hari tersebut melalui 3 kaedah.
1. Berpuasa pada 3 hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.
2. Berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.
3. Berpuasa pada hari ke 10 Muharram sahaja.
Adapun orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 pada bulan Muharram ialah untuk mengagungkan hari tersebut kerana pada hari itulah Allah S.W.T memberi kemenangan pada Nabi Musa a.s dan Bani Isra'el ke atas Fir'aun. Seperti mana disebutkan dalam hadith:-
Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa daripada kamu”
Berpuasa pada hari 'Asyura juga sangat diutamakan oleh Rasulullah S.A.W.
Abu Hurairah r.a berkata:
"Seorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. 'Solat manakah yang lebih utama setelah solat fardhu? 'Nabi S.A.W. bersabda, 'Solat di tengah malam. 'Mereka bertanya lagi, 'Puasa manakah yang lebih utama setelah puasa Ramadhan?' Nabi S.A.W. bersabda, 'Puasa pada bulan Allah yang kamu namakan bulan Muharram."
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Abu Daud)
Sama-samalah kita berpuasa pada hari 'Asyura. Mudah-mudahan dengan segala fadhilat yang kita perolehi daripada puasa kita pada hari tersebut akan bertambah beratlah timbangan amal baik kita dan berkurangnya berat timbangan amal buruk kita ketika semua amalan kita di timbang kelak.
Assalamualaikum,
BalasPadamTerima kasih kerana sudi mengikuti blog saya yg tidak sepertiinya itu.