Isnin, 5 Januari 2009
Dah Bayar Hutang Belum Nih??
Apabila bercerita mengenai hutang pasti pelbagai bayangan akan timbul di benak para pembaca. Tidak kiralah sama ada bayangan mengenai ‘along’, kawan dia yang suka berhutang mahu pun hutang dia sendiri yang masih belum di langsaikan. Secara psikologinya manusia mudah mengambil hutang apabila berada dalam kesempitan wang tanpa memikirkan kepayahan pada dirinya hendak membayar kembali hutang tersebut.
Sebelum pergi lebih jauh ada baiknya kita ketahui dahulu definisi hutang. Hutang adalah memberikan sesuatu yang menjadi hak milik pemberi pinjaman kepada peminjam dengan pengembalian di kemudian hari dengan jumlah yang sama. Sebagai contoh, jika peminjam di beri pinjaman RM1000 maka suatu hari nanti peminjam perlu mengembalikan wang sejumlah RM1000 juga.
Hukum hutang di sisi islam adalah fleksibel bergantung pada situasi atau keadaan. Pada asalnya hukum berhutang adalah sunat jika ianya dilakukan dalam keadaan biasa akan tetapi hukumnya akan beralih kepada haram andai kata bercampur padanya unsur-unsur mungkar seperti meminjamkan wang untuk membeli dadah, menyewa pelacur dan sebagainya. Hutang juga boleh menjadi sesuatu yang wajib apabila diberikan kepada orang yang sangat memerlukan duit untuk mengubati anaknya yang sakit teruk atau yang sewaktu dengannya.
Memberikan hutang merupakan satu perbuatan yang sangat dianjurkan oleh Allah S.W.T kerana ianya dapat membantu saudara seislam lain mengurangkan beban hidupnya. Walaupun begitu Rasulullah S.A.W tidak menggalakkan umatnya membiasakan diri dengan hutang. Lagi pun amalan berhutang jika ianya terlampau banyak dilakukan dalam satu jangka waktu akan memungkinkan si peminjam menghadapi masalah untuk membayar kembali wang pinjaman sekaligus akan menyusahkan si pemiutang.
Dewasa ini kita lihat telah lahir pelbagai produk pembiayaan islam di pasaran. Orang ramai bukan sahaja dapat membebaskan diri daripada belenggu riba yang dikenakan oleh produk pinjaman konvensional malah dapat memenuhi keperluan-keperluan asas seperti rumah yang boleh kita dapati melalui kaedah jual beli Bai Bithaman Aji.
Firman Allah S.W.T:-
“Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah Al-Ma’idah:2)
Dengan ayat tersebut dapatlah kita kaitkan dengan fungsi institusi perbankan yang ada menawarkan produk kewangan islam yang mana menyediakan kemudahan kewangan bagi umat islam untuk memenuhi keperluan mereka selagi mana tidak bercanggah dengan undang-undang syara’. Tapi jangan kita lupa, walau pada hakikatnya berhutang itu sunat akan tetapi membayar kembali hutang itu tetap suatu perkara yang wajib serta perlu dititik beratkan.
Sabda Rasulullah S.A.W:-
“Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.”
(Riwayat Imam Muslim)
Dalam Hadith lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud:-
“Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan hasrat membayarnya balik nescaya Allah akan menunaikan hasratnya dan barang siapa berhutang dengan hasrat untuk tidak membayarnya balik nescaya Allah membinasakan harta tersebut.”
(Riwayat Imam Bukhari)
Hidup mereka yang tidak membayar hutang tidak akan diredhai dan di berkati Allah S.W.T sebaliknya akan ditimpa kehinaan dan tergolong di kalangan orang-orang yang zalim. Implikasi daripada perbuatan tersebut pula bukan sahaja mengundang kemudaratan kepada pihak yang berhutang malah orang yang memberikan hutang juga turut sama terlibat. Perlu diingat juga walaupun mungkin di dunia si penghutang boleh melepaskan diri daripada si pemiutang tapi tetap tidak akan terlepas daripada hukuman yang dahsyat di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah S.A.W:-
“Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”
Oleh itu, kita perlulah sentiasa beringat dan berwaspada sebelum melakukan hutang, pastikan yang kita betul-betul mampu untuk membayar hutang si pemiutang tepat pada masa yang di tetapkan,jangan sampai kita menyusahkan si pemiutang serta tidak perlulah kita berhutang jika keadaan tidak betul-betul memerlukan kita untuk berhutang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan