Isnin, 12 Januari 2009

Laluan Sulit Sempadan Gaza-Mesir


Kebiasaanya kebanyakan negara-negara di dunia menggunakan terowong sebagai laluan kenderaan-kenderaan untuk melalui jalan raya yang perlu menempuhi bukit, gunung dan sebagainya. Akan tetapi jika diperhatikan terowong-terowong yang digunakan di Palestin lain pula keadaannya.

Terowong-terowong di Palestin banyak digunakan untuk menghantar segala apa barang-barang keperluan untuk Palestin tidak kiralah barang makanan, binatang ternakan, senjata-senjata untuk peperangan dan sebagainya.

Terdapat lebih 750 terowong di bawah bumi Gaza dan satu daripadanya yang telah diketahui Israel di kenali sebagai Koridor Philadelphia. Terowong yang biasa digunakan untuk penyeludupan barangan pengguna panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter dengan kedalaman antara 15 hingga 30 meter.

Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan melalui terowong-terowong tersebut bernilai RM128 juta. Jaringan bawah tanah ini juga menjadi sumber pendapatan dan senjata yang agak besar bagi Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.

Terowong-terowong yang di bina di Palestin semuanya berada di bawah tanah. Ianya di bina untuk merentasi sempadan Gaza-Mesir yang telah di kawal ketat oleh tentera-tentera Israel. Bagi Hamas, terowong adalah paksi kekuatan tentera mereka.

Selain daripada terowong Koridor Philadelphia yang sudah diketahui Israel, masih ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir. Terowong-terowong bawah tanah di Gaza bukanlah baru di bina malah terowong-terowong tersebut memiliki sejarah yang panjang. Ianya di bina bertahun-tahun dahulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan.

Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong ini dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas. Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.

Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat untuk membekalkan mereka dengan jurutera tentera yang mampu untuk membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphia. Amerika Syarikat bersetuju dengan permintaan tersebut walaupun masih tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran atau tidak.

Ketakutan Israel pada terowong di Gaza yang dikatakan semakin banyak di buka jelas menyerlah apabila mereka meminta pihak berkuasa antarabangsa untuk memantau gencatan senjata. Malah Israel juga pernah cuba untuk memusnahkan jaringan bawah tanah ini dengan bom jenis bunker-busting (bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah) yang dibekalkan oleh pihak Amerika.

Perkara yang lebih membawa kebimbangan pada Israel ialah apabila sayap bersenjata Hamas, Briged Izz Al-Din Al-Qassam menggunakan terowong sebagai laluan tentera. Beliau dikatakan telah menghantar ribuan tentera pejuang untuk berlatih di Iran dan Lubnan melalui terowong yang telah Berjaya digunakan oleh Hizbullah semasa menentang Israel pada tahun 2006.

Menurut seorang Komander Hamas, satu daripada pelajaran yang boleh diambil dengan penggunaan terowong ialah ianya mengurangkan risiko yang diambil apabila menyerang balas.

“Jangan ledakan bom di situ, gali terowong dan gunakan wayar peledak bagi membolehkan misil dilancarkan dari jauh. Jadi Hamas hanya akan kerugian tiub atau alatan menembak yang hanya berharga RM30.20 dan bukan pejuang,” katanya.

Rangkaian persenjataan Hamas termasuk misil yang dihasilkan di Gaza dan roket tiruan Russia yang dihasilkan di China semuanya diseludup melalui sempadan Gaza-Mesir selain mortar, mesingan, bom, pelancar roket dan pelbagai senjata perang lain yang telah diubah suai. Hamas juga telah mewarisi stok senjata infantri Amerika Syarikat dan imunisasi yang ditinggalkan Fatah apabila pejuangnya keluar dari Gaza pada tahun 2007.


# Sumber Rujukan:- Berita Harian, 11 Januari 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan