Jumaat, 2 Januari 2009

Tik Tok Tik Tok


Pelik tak tajuk ‘post’ ni? Kalau tak pelik pun buat-buat pelik la ye,letih penulis nak fikir tajuk tu tau,huhu.. Penulis sebenarnya ingin menarik perhatian para pembaca, oleh sebab itulah pada ‘post’ kali ini penulis melakukan satu anjakan paradigma pada tajuk yang pada kebiasaannya di tulis dalam bentuk ayat tetapi pada ‘post’ kali ini tajuknya berbentuk bunyi.

Di dalam sesuatu penulisan atau artikel, tajuk sememangnya memainkan peranan yang besar di dalam menarik perhatian pembaca. Semakin kreatif atau semakin menarik tajuk yang diletakkan oleh penulis pada karyanya maka semakin ramailah yang akan tertarik untuk membaca. Begitulah rumusan secara hipotesisnya.

Yang menjadi persoalannya sekarang ialah bunyi apakah itu? Haa fikir-fikirkanlah wahai pembaca budiman sekalian.. Adakah ianya bunyi ketukan dram? Atau adakah ianya bunyi ketukan jari pada pintu? Penulis tidak mahu mempedulikan walau apa sekalipun bunyi yang difikirkan oleh pembaca sekaligus mengkhabarkan terus bahawa bunyi yang dimaksudkan oleh penulis ialah bunyi gerakan jarum jam.

Secara jelasnya penulis tidaklah berniat untuk membicarakan tentang sejarah jarum jam, bahan yang selalu digunakan untuk menghasilkan jarum jam, berapa lamakah tempoh lupus jarum jam apabila dibuang dan sebagainya akan tetapi penulis ingin menceritakan sesuatu yang berkaitan dengan masa.

Seperti yang sudah pembaca maklum, Allah S.W.T pernah bersumpah dengan masa pada ayat yang pertama di Surah Al-Asr. Perkara yang disumpah secara kebiasaannya adalah perkara yang penting. Begitu juga masa. Masa adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan manusia. Firman Allah Ta’ala:-


" Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.
(Surah Al-Asr:1-3)


Intipati daripada ayat tersebut bolehlah disimpulkan bahawa manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian. Masa yang ada terbuang begitu sahaja tanpa diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Kecuali pada manusia yang banyak daripada masanya dihabiskan dengan amal-amal soleh, amal-amal yang boleh membawanya pada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah S.A.W bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".

(Riwayat Imam Tirmizi)


Rasulullah bersabda bahawa pada akhir zaman manusia akan merasakan masa bergerak dengan cepat. Manusia pada akhir zaman akan merasa sukar untuk menyelesaikan kerja-kerjanya pada waktu yang dikehendaki kerana apabila disedari masa sudah jauh berlalu melepasi waktu yang ditetapkan. Sentiasa merasa di buru masa akan tetapi tiada apa yang dapat diselesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ialah dicabut keberkatan daripadanya. Jika difikir-fikirkan kembali memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu kerana dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah salah satu petanda hampirnya qiamat.

Waktu di mana berlakunya keadaan seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W ialah waktu yang sedang kita semua lalui sekarang. Waktu yang sudah berada di ambang kiamat atau lebih dikenali sebagai akhir zaman. Oleh yang demikian, manfaatkanlah waktu yang kita miliki dengan sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa masa yang sudah berlalu tidak akan dapat diundur kembali..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan