Jumaat, 3 Disember 2010

Warna-warni Tanta


Berbekalkan selaut keazaman dan harapan maka bermusafirlah penulis ke bumi Tanta. Bumi baru yang bakal menjanjikan seribu cubaan dan dugaan ini bakal menyaksikan seorang anak harapan keluarga bakal menggenggam segulung lagi ijazah buat penawar duka mereka, insyaAllah. Segala pengalaman hidup di Syoubra akan diaplikasikan sepenuhnya di muka bumi baru ini. Muhafazah yang berjauhan kira-kira dua jam perjalanan dari Kaherah ini kelihatannya tidak jauh berbeza dari Kaherah, tetap juga dipenuhi dengan orang Arab. Walaupun begitu kadar pelajar melayu di sini tidaklah seramai di Kaherah, itu sudah tentu.


Diriku masih lagi belum mampu untuk tinggal di rumah secara tetap. Sentiasa berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Masih mencari rumah yang mampu memikat hati ini. Namun rumah Ustaz Wafi di Nuhas menjadi rumah yang paling kerap didiami. Mungkin kerana di sana adanya ketenangan. Tapi aku pasti rumahnya bakal menjadi kediamanku satu hari kelak,hehe... Ketenangan itu tidak mudah untuk diraih bagi mereka yang tidak mengenal erti ketenangan dan kebahagiaan yang sejati. Segala kesenangan dunia yang kita dan orang lain kecapi sebenarnya tidak menjanjikan ketenangan yang sebenar. Silap haribulan ianya menjadi satu perkara yang akan mengusir ketenangan itu pergi lebih jauh...


Jadual harian permusafiranku di sini kebanyakannya hanya disekitar kuliah dan rumah yang menjadi mangsa tumpanganku. Berulang-alik dari rumah ke kuliah menjadi rutin hidup. Satu pengalaman yang kurasakan baru adalah sistem pembelajaran di kuliah baruku ini. Bermula seawal sembilan pagi dan berakhir pada pukul tiga petang. Rasanya seakan-akan baru melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi tinggi. Rasanya seakan-akan baru belajar sepertimana seorang mahasiswa. Ini kerana ketika belajar di Maahad Qiraat Syoubra dahulu waktu pembelajaran hanya selama dua jam. Bermula pukul lapan pagi hingga sepuluh pagi.


Bangunan kuliah al-quran yang baru menjadi satu ‘bonus’ bagi kami pelajar-pelajar kuliah al-quran. Tidak sepertimana pelajar-pelajar kuliah lain yang bangunannya sedikit usang di makan waktu. Guru-guru yang mengajar pula kebanyakannya sudah bertaraf ‘master’. Sesetengah guru pula hanya membawa buku pelajaran sebagai syarat. Apabila mengajar buku itu sudah ditinggalkan bersendirian di atas meja. Seperti mana Sheikh Hamdi yang mengajar madah qiraat, mensyarahkan cara-cara bacaan qiraat yang bagiku cukup rumit tanpa apa-apa rujukan di hadapan. Segala cara-cara bacaan dan nama-nama imam serta rawi qiraat yang membacakannya beserta matan sebagai dalil beliau ingati dengan lengkap.


Penulis sebenarnya tidak bercadang untuk menceritakan dengan panjang lebar tentang kisah hidup penulis di Tanta, ‘post’ yang ditulis ini pun tidak lebih hanya sekadar ingin membersihkan sesawang yang sudah memenuhi blog penulis dek kerana sudah terlampau lama sudah tidak di ‘update’. Moga-moga ‘post’ kali ini menjadi titik permulaan untuk penulis kembali aktif berkarya. Akhir kata, rajin-rajinkanlah diri menghadiri kuliah. Bak kata pepatah, “kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Selamat maju jaya.


Wassalam.