Isnin, 12 Oktober 2009

Kisah Kemuncup


Siapalah penulis ingin bercerita tentang perjuangan. Masalah bangun subuh pun masih tidak mampu untuk di selesaikan sehingga sekarang. Hua.. Walaupun begitu jauh di sudut hati penulis yang lemah ini wujud satu harapan murni ingin melihat Islam gagah berada di puncak dunia satu hari kelak. Amin ya Rab..

Pernahkan pembaca sekalian mendengar istilah kemuncup dalam perjuangan? Atau ada yang tidak faham pun maksud kemuncup itu sendiri. Maksud kemuncup mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat ialah sejenis rumput yang mana nama saintifiknya ialah Chrysopogon Aciculatus. Rumput ini secara mudahnya dikaitkan dengan perkara yang menyusahkan. Perkara yang melecehkan. Perkara yang menggangu atau mengacau berhasilnya sesuatu perkara yang telah di rancang sekian lama.

Maka apabila rumput tersebut dikaitkan dengan perjuangan maka sekaligus pembaca-pembaca akan faham bahawa tafsiran pada sepotong kata kemuncup dalam perjuangan itu membawa maksud sesuatu yang menggangu atau mengacau sekaligus melambatkan proses kejayaan dalam sesebuah perjuangan.

Berjuang untuk apa?? Makna kata berjuang itu luas. Ia bergantung pada tujuan dan niat seseorang yang melakukan perjuangan tersebut. Mungkin berjuang mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran,mungkin juga berjuang mendapatkan wanita yang dikasihi dan sebagainya. Akan tetapi ingin penulis jelaskan di sini bahawa perjuangan yang penulis ingin bincangkan di sini ialah perjuangan dalam memartabatkan islam,perjuangan dalam mengembalikan islam pada zaman kegemilangannnya dahulu,perjuangan dalam
memastikan khilafah islamiah dapat di tegakkan semula.

Penulis tidak perlu hipokrit dengan pandangan peribadi penulis bahawa satu badan berorganisasi atau satu parti yang betul-betul memperjuangkan kedaulatan islam di Malaysia ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Kata Abu Tayyib Al-Mutanabbi,"
Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan,maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak,hanya kerana kamu berbelah bagi". Oleh kerana itulah pembaca bertegas dengan pandangan yang sudah pembaca yakini betul itu.

Ada juga di bicarakan dalam Kitab Fiqh Ad-Daulah,karangan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi mengenai mereka yang suka berselindung dengan pandangan politiknya. Sebagai contoh apabila di tanyakan tentang parti mana yang diminati atau parti yang di dokongi soalan itu di jawab dengan mengatakan bahawa dia tidak memihak pada mana-mana. Kononnya ingin berlagak baik. Tidak masuk campur dengan hal politik dan sebagainya. Mengikut Ust. Taib Azamuddin dalam satu ceramahnya di Mesir,golongan sebegini diibaratkan sebagai binatang dalam kitab tersebut. Jika diteliti kembali pun memang betul,seorang manusia yang mampu berfikir dengan baik sepatutnya mempunyai pandangan peribadi sendiri,mampu membezakan secara rasional mana yang benar dan mana yang batil.

Kini di Mesir persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di sini,Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang menaungi kami sedang berusaha untuk menyaingi 'kemuncup-kemuncup' yang wujud di sini seperti Persatuan Nadi UMNO Mesir dan Persatuan ISMA Mesir. Tidak lain tidak bukan tujuannya ialah untuk mengusir pengacau-pengacau tersebut daripada mengganggu perjuangan PMRAM dalam menjaga kebajikan serta memastikan fikrah mahasiswa di Mesir tidak lari daripada kehendak Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Perkembangan terbaru dikatakan kedua-dua persatuan tersebut sudah mengatakan pakatan pula dalam merebut pelajar-pelajar baru daripada PMRAM. Sudah terjadi di sini penyeludupan pelajar-pelajar baru yang mana pelajar-pelajar baru di bawa ke tempat lain tanpa pengetahuan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) sehingga terabai makan minum dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut boleh lawati di sini.

Penulis amat berharap agar kisah menyayat hati dek kerana 'kemuncup-kemuncup' biadab itu daripada link yang telah penulis berikan dapat pembaca fahami seterusnya di sebarkan pada sahabat-sahabat lain,tidak kira sama ada pembaca adalah mahasiswa Malaysia Yaman,mahasiswa Malaysia Australia atau lain-lain. Penulis mengharapkan doa daripada para pembaca agar mahasiswa-mahasiswa Malaysia baru di sini bebas daripada mereka dan doakan juga agar mereka cepat terkubur dalam ketandusan padang pasir Mesir seperti mana telah terkuburnya umat-umat Mesir yang terdahulu.

Selasa, 14 Julai 2009

Falsafah Catur

Catur adalah sejenis permainan yang berbentuk pemerintahan. Kebiasaannya mereka yang mahir dalam permainan ini akan dikaitkan dengan kebijaksanaan dan kepintaran dek kerana permainannya yang memang memerlukan ketajaman minda menyusun strategi untuk memerangkap 'king' pihak lawan. Situasi 'king' pihak lawan di perangkap di panggil 'checkmate'.

Kita selaku umat Islam tidak dapat tidak setiap perkara yang dilakukan mestilah menuruti lunas-lunas syara'. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu dipastikan dahulu bahawa ianya dibolehkan atau tidak. Jadi,apakah hukum kita bermain catur? Sudah menjadi satu perkara biasa setiap masalah agama yang di kaji akan wujud di sana lambakan khilaf 'ulama.

Penulis tidak berniat untuk melonggokkan ke semua percambahan khilaf tersebut pada pembaca kerana bimbang ianya akan menjadi seperti satu tesis Phd atau Master. Penulis hanya akan mengambil pendapat seorang 'Ulama besar akhir zaman yang memang sudah tidak asing lagi di kalangan umat Islam yang di kenali dengan nama Dr. Yusof Al-Qaradhawi.

Beliau mengatakan dalam kitabnya Al-Halal Wal Haram bahawa hukum bermain catur adalah mubah atau harus dengan syarat tidak melambat-lambatkan solat,tidak di sertai judi dan pemainnya menjaga lisan daripada omongan kosong. Mengikut pengetahuannya tidak ada dalil khusus yang menyatakan keharaman bermain catur dengan sebab ianya melebihi daripada perkara yang berkait dengan hiburan.

Hiburan di sisi islam tidaklah haram selagi mana ianya tidak menyalahi syara' dan merosakkan perkara-perkara yang wajib. Permainan tersebut jika diperhatikan dengan teliti sebenarnya terdapat pengajaran-pengajaran dan perkara-perkara yang boleh di kaitkan dengan keadaan-keadaan semasa.

Catur mengajar kita agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan kerana dalam permainan tersebut walau berlaku kesilapan hanya dengan satu langkah sahaja sudah mampu untuk membawa si pemain pada kekalahan. Pemain juga perlu berfikir dengan pantas kerana kebiasaannya dalam sesuatu pertandingan catur akan ditetapkan had masa dalam melangkah. Begitu juga dalam kehidupan kita,setiap keputusan perlulah di buat dengan pantas dan tepat. Sesuatu keputusan yang tepat akan tetapi terlalu lambat dilakukan kadang-kala membawa perkara yang sia-sia sahaja.

Nasihat yang popular di kalangan pemain-pemain catur ialah sentiasa memikirkan tiga langkah kehadapan daripada pihak lawan dalam bermain untuk memastikan setiap perkara yang bakal berlaku dapat diatasi daripada awal. Nah,lagi perkara yang berkait dengan kehidupan. Setiap keputusan yang ingin di buat perlu difikirkan dahulu akibatnya pada masa akan datang agar tidak menyesal di kemudian hari.

Penulis juga menemui satu perkara yang berkait dengan situasi kepimpinan dan pemerintahan yang berlaku kini malah dahulu pun. Tidak pasti adakah ramai juga pemain-pemain menyedari perkara ini. Dalam permainan catur,buah 'queen' mampu bergerak dalam ruang lingkup yang amat besar dan boleh dikatakan buah catur yang paling hebat di bandingkan dengan buah catur lain yang mana pergerakannya agak terbatas.

Sedangkan buah 'king' pula amatlah terbatas pergerakannya sedangkan dalam permainan catur buah itulah yang menjadi sasaran setiap buah catur lawan untuk diperangkap. Hendak difikirkan logik sudah tentulah buah 'king' yang di beri kelebihan untuk bergerak lebih bebas supaya mudah untuk diselamatkan. Penulis memerhatikan perkara ini berkait dengan pemerintahan-pemerintahan yang sedang dan pernah berlaku. Banyak perkara dalam pemerintahan seseorang pemerintah dipengaruhi oleh isterinya atau ahli keluarganya sendiri sedangkan segala keputusan pemerintahan sepatutnya tidak di pengaruhi oleh ahli keluarga atau saudara-mara. Kecualilah ianya berkait dengan masalah keluarga. Pemimpin sepatutnya mengambil kira pandangan ahli-ahli dalam Kabinet atau Penasihatnya,bukannya ahli keluarga demi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku dalam pemerintahan.

Akan tetapi perkara itulah yang berlaku kini. Pemerintah-pemerintah terkenal pada suatu ketika dahulu pun ramai yang jatuh dek kerana perempuan yang di gilai seperti mana Napolean Bonaparte dan sebagainya. Semua ini penulis lihat berkait dengan misteri begitu bebasnya pergerakan 'queen' di bandingkan dengan 'king' yang dikatakan paling berkuasa akan tetapi pergerakannya amat terhad. Harapnya nukilan ini difahami dan dapat dijadikan iktibar. Wallahu'alam..

Celoteh Kepimpinan

Lama sungguh jari-jemari mulus penulis ini tidak menari di atas papan 'keyboard'. Adakah ianya kerana jari penulis mengalami kecederaan atau terseliuh dan sebagainya? Oh.. Tidak sama sekali hai sahabat-sahabat.. Ketahuilah sesungguhnya 'line internet' di rumah penulis telah putus pada satu ketika dahulu. Sejak daripada itulah blog penulis telah mengalami kelumpuhan yang kronik sehingga mengakibatkan ia sepi berpanjangan sehingga ke hari ini.

Walaupun wujudnya satu 'post' selepas daripada 'line internet' rumah penulis putus tapi ia hanyalah tidak lebih daripada 'post' yang dinukilkan melalui papan kekunci 'handphone' penulis,sekadar untuk memohon maaf pada peminat-peminat blog(kalau ada) dan melepaskan kegilaan penulis untuk menulis seperti mana aktifnya blog ini ketika era zaman kegemilangannya dahulu..(huhu..)

Pada 'post' kali ini mungkin ianya hanya sekadar celoteh daripada penulis,atau lebih tepatnya ilham spontan atas sebab kesempitan waktu untuk mencari bahan-bahan guna menghasilkan 'post' yang lebih bermutu. Yang demikian itu kerana penulis ketika menulis 'post' ini sedang berada di pejabat SPR Rumah Kelantan Baru yang mana bertempat di Sya'ah 8 atau tingkat yang teratas sekali di RKB. Orang kata sambil-sambil kerja tulis blog atau kata peribahasa sambil menyelam minum air. Begitulah lebih kurangnya..

Pada hari ini pembaca-pembaca pastinya tahu mengenai kemenangan calon PAS,Mohd Fauzi Abdullah,seorang pemborong ikan,di DUN Manik Urai Kelantan dengan hanya majoriti 65 undi. Tidak seperti mana pilihan raya sebelum ini pada tahun 2008 di tempat tersebut yang mana calon PAS,Ismail Yaacob,menang dengan majoriti yang jauh lebih besar iaitu sebanyak 1352 undi. Mengapa begitu jauh sekali perbezaan undinya dengan PR musim lepas? Fikir-fikirlah sendiri..

Apa yang penting ialah pemimpin yang di pilih adalah di kalangan mereka yang betul-betul amanah dan mampu untuk menghindar diri daripada perkara-perkara mungkar seperti rasuah dan sebagainya seperti mana yang sering kita temui berlaku pada pemimpin-pemimpin zaman sekarang. Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan semua orang bertanggungjawab atas apa yang di pimpin.

Pernah satu ketika dahulu,ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul 'Aziz. Pada suatu hari,sedang dia melihat rakyat di bawah pimpinannya yang ramai,telah berkata seorang sahabatnya padanya bahawa mereka semua di hadapan engkau ini bakal menjadi musuhmu ketika di akhirat kelak. Dengan serta-merta menangislah Khalifah Umar mendengar kenyataan tersebut.

Begitulah pembaca-pembaca sekalian. Setiap orang yang berada di bawah seseorang kepimpinan akan mempersoalkan kembali setiap apa kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpinnya ketika di akhirat kelak. Mereka semua inilah yang akan melambatkan proses si pemimpin untuk menjejakkan kaki ke syurga.

Perkara ini tidak tertumpu pada pemimpin negara sahaja,malah jika kita(pelajar-pelajar Mesir) yang biasa memimpin program atau menjadi adhoc program juga di kira termasuk dalam perkara tersebut. So,'conduct'lah program dengan baik ye,jangan ambil mudah je,nanti ajk-ajk kecil bangkit balik kat akhirat,huahua..

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu celoteh penulis. Nanti ada rezeki penulis bercelotehlah lagi ye. Kalau rindu sangat nak dengar celoteh penulis lagi marilah berkunjung ke rumah penulis di St.Theresa,Shoubra. Nak tahu di mana? Rahsia.. Heheh~

Khamis, 14 Mei 2009

Lama sungguh aku tidak ber'posting'..



Assalamu'alaikum..Sekalung kemaafan di alunkan pada sahabat-sahabat pembaca sekalian. Di atas sebab-sebab yang sukar untuk dielakkan,penulis tidak mampu lagi untuk berkarya seperti biasa di teratak buruk penulis ini. Walau apa pun, penulis sentiasa mendoakan agar sahabat-sahabat sekalian sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Yang terutama daripada yang paling utama sentiasalah menjaga diri daripada murka Allah SWT dan lakukan segala perintah yang di tuntutNya. Akhir kalam, wallahu'alam..


Isnin, 2 Februari 2009

Iskandar Zulkarnain


Zulkarnain secara harfiahnya bermaksud "Dia yang Bertanduk Dua", merupakan satu tokoh yang disebutkan di dalam Qur'an yang mana menyatakan beliau sebagai pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj dan Makjuj dari menyerang orang-orang yang berada di Barat. Mengikut sejarah, Zulkarnain dikatakan sebagai Iskandar Agung (Alexander The Great) tetapi ia hanyalah pendapat paling sekular dan disangkal sendiri oleh 'Ulama-'Ulama dan sarjana Islam yang mengatakan Zulkarnain adalah Cyrus Agung.

Gelaran tersebut turut terkenal di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang boleh dikatakan telah digunakan sekurang-kurangnya tiga orang raja yang berbeza.
Persoalan tentang Zulkarnain tercatat dalam sirah nabawiyah (sejarah Nabi) dan tertulis dalam sirah Ibnu Ishaq yang menceritakan bahawa musyrikin Makkah meminta bantuan Yahudi Khaibar untuk mencari kelemahan Muhammad S.A.W. Ketika Nadr mengatakan hal tersebut kepada mereka, mereka mengirim dia dan Uqbah bin Abu Muit kepada rabai Yahudi di Madinah.

Untuk membuktikan kenabian, rabai tersebut akan mengajukan tiga soalan yang sekiranya dijawab dengan betul, maka itu membuktikan akan baginda seorang nabi dan begitu juga sebaliknya.

Persoalan yang ditanyakan ialah:


1. Tentang beberapa anak muda di zaman dahulu yang ceritanya amat pelik dan
menakjubkan.


2. Tentang seorang lelaki yang merupakan pengembara hebat yang telah sampai ke timur dan barat.

3. Tentang Roh.


Baginda Muhammad s.a.w. meminta masa untuk menjawabnya dan selepas diturunkan wahyu, semuanya telah terjawab melalui surah al-Kahfi.
Berikut merupakan petikan tafsir dari surah al-Kahfi yang menceritakan tentang Zulkarnain.


83 Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.


84 Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85 Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

86 Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.

87 Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

88 Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.


89 Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90 Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.


91 Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

92 kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93 Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

94 Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?

95 Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

96 Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.

97 Maka, mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

98 (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar.


Sesetengah pihak berpendapat gelaran "Zulkarnain" bermaksud "bertanduk dua", yang secara tersiratnya merujuk kepada syiling yang ditempa untuk Iskandar Agung mahupun ukiran dinding Cyrus Agung. Pentafsir Quran abad ke-14 memberikan sebab yang berbeza.

Dalam Tafsir Ibn Kathir menyatakan, "sesetengah mereka memanggilnya Zulkarnain kerana dia mencapai dua "tanduk" (batas) matahari, timur dan barat, tempat ia terbit dan terbenam."
Tambahan pula, nama Zulkarnain juga diterjemahkan menjadi "dia yang berketurunan dua", "dia yang hidup hingga dua kurun", "dia yang memiliki dua kerajaan" ataupun "pemerintah dua kerajaan". Banyak yang mentafsirkan perkataan tersebut dengan maksud yang berbeza.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan "bertanduk dua" bermaksud menggabungkan 2 negeri. Penaklukan pertama Alexander adalah ke kerajaan Persia yang dipimpin Darius III Codomannus melalui perang Battle of Issus (sekarang Iskenderum, Turki) meskipun dengan kekuatan tentara yang hanya seperempatnya yang dipimpin jeneral Ptolemy dibanding kekuatan Persia. Selanjutnya selama 12 tahun Alexander menguasai pantai Laut Tengah Mesir, kemudian Babylonia hingga ke wilayah Pakistan dan India Utara sekarang.

Selain di Mesir, Alexander juga mendirikan/diabadikan di kota-kota berikut:


* Alexandria Asiana, Iran

* Alexandria in Ariana, Afghanistan

* Alexandria of the Caucasus, Afghanistan
* Alexandria on the Oxus, Afghanistan

* Alexandria of the Arachosians, Afghanistan

* Alexandria on the Indus, Pakistan
* Alexandria Eschate, “The furthest”, Tajikistan


Mungkin sudah ditakdirkan wilayah sekitar Mesopotamia (sekarang Iraq) selalu menjadi wilayah peperangan hingga sekarang. Kisah Alexander The Great di atas kini diabadikan oleh sutradara Oliver Stone ke layar lebar dengan judul Alexander.

Rabu, 28 Januari 2009

TahuN bAru CinA~~


Tahun Baru Cina merupakan satu perayaan yang penting bagi kaum Cina dalam menyambut tahun baru mengikut Kalendar Qamari Cina yang mana terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun Baru Cina juga melambangkan permulaan dalam nasab dan kehidupan. Menjelang perayaan tersebut kaum Cina akan membersihkan rumah masing-masing serta membayar dan mengutip segala hutang-piutang agar masalah hutang mereka tidak berlarutan sehingga masuknya tahun baru.

Pada waktu malam mercun akan di bakar bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau puaka serta nasib malang. Rumah-rumah mereka pula akan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Tahun Baru Cina pula akan mereka raikan dengan jamuan-jamuan yang menyelerakan (bagi dorang la) seperti ‘yee sang’ dan kuih bakul. Kaum keluarga mereka akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin.

Golongan muda akan melawat golongan tua dan menerima wang ‘ang pau’ dalam sampul merah untuk melambangkan nasib baik yang diberikan oleh orang yang sudah berkeluarga pada yang sebaliknya. Selain itu, pertunjukkan tarian naga dan singa juga akan diadakan diikuti dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas berlangsungnya Tahun Baru Cina akan disambut pula perayaan Chap Goh Mei sebagai menamatkan Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina bukan sahaja disambut oleh kaum Cina di merata dunia malah turut dirayakan juga oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong Cina) yang dipengaruhi oleh Cina dari sudut kebudayaan dan keagamaan. Oleh kerana itu juga mereka turut memakai calendar qamari Cina seperti mana kaum Cina. Walau bagaimanapun kita selaku mereka yang bergelar Islam di larang sama sekali untuk turut serta dalam menyambut perayaan mereka.

Larangan daripada kita menyambut perayaan orang kafir selain daripada menuruti dalil-dalil yang sahih juga adalah kerana mengelakkan kesan-kesan yang negatif pada umat islam itu sendiri. Antaranya ialah orang kafir akan merasa bangga dan senang dengan perbuatan kita yang menyokong perbuatan mereka yang batil tersebut. Mereka akan merasakan bahawa perayaan agama mereka juga disukai oleh agama-agama lain lebih-lebih lagi agama Islam yang sudah dikenali dengan kemurnian dan kesucian akidahnya.

Di samping itu, sikap kita dalam menyambut perayaan mereka secara tidak langsung akan memberi sedikit sebanyak kesan yang buruk pada akidah kita. Walaupun kita hanya sekadar ingin meraikan mereka tanpa mempedulikan apa yang terkandung di dalam ajaran mereka tapi disebabkan pendedahan kita pada suasana perayaan mereka, patung-patung sembahan mereka yang tidak dapat tidak akan menjadi santapan mata kita ketika berkunjung ke rumah-rumah mereka akan memberi pengaruh pada keteguhan iman kita.


Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (bagi kamu), sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”

(Surah Al-Qasas, ayat 51)


Ayat tersebut ialah dalil yang mana menjadi bukti bagi kita yang mengakui Allah SWT sebagai Tuhan dan Rasulullah SAW sebagai ikutan bahawa tidak dibolehkan untuk kita meraikan perayaan atau pun hari kebesaran yang mana bukan datangnya daripada Islam. Begitu juga dengan menghadiri dan turut sama membantu untuk menjayakan perayaan tersebut.

Di larang juga bagi kita untuk mengucapkan selamat ke atas hari kebesaran mereka seperti selamat Tahun Baru Cina, Merry Christmas dan sebagainya kerana ianya seakan-akan kita merelakan perayaan batil yang mereka raikan selain menerbitkan rasa gembira di hati mereka atas ucapan selamat yang kita berikan.


Ibnu Qayyim Rahimahullah pernah berkata:-

"Mengucapkan selamat terhadap syiar dan simbol khusus orang kafir sudah disepakati keharamannya seperti memberi ucapan selamat atas hari raya mereka, puasa mereka dengan mengucapkan, "Selamat hari raya dan yang seumpamanya meskipun pengucapnya tidak terjerumus ke dalam kekufuran, namun ia telah melakukan keharaman yang besar, kerana sama sahaja kedudukannya dengan mengucapkan selamat atas sujudnya mereka kepada salib. Bahkan di hadapan Allah, hal ini lebih besar dosanya daripada orang yang memberi ucapan selamat kapada peminum khamar, pembunuh, penzina dan sebagainya. Dan banyak sekali orang Islam yang tidak memahami ajaran agamanya, akhirnya terjerumus ke dalam hal ini, ia tidak menyadari betapa besar keburukan yang telah ia lakukan. Dengan demikian, barang siapa memberi ucapan selamat atas kemaksiatan, kebid'ahan dan lebih-lebih lagi kekufuran, maka ia akan berhadapan dengan murka Allah"


Begitulah betapa betapa beratnya kesalahan bagi mereka yang turut sama mengucapkan selamat ke atas perayaan kaum kafir. Moga-moga dengan sedikit perkongsian ilmu daripada penulis ini dapat meningkatkan kefahaman pembaca tentang baik buruk menyambut perayaan kaum kafir seterusnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah SWT.

Khamis, 22 Januari 2009

6 Jenis Wanita


Jangan engkau kahwini wanita yang enam. Jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah. Jangan engkau kahwini juga wanita yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.

Wanita Ananah:

Banyak mengeluh dan mengadu. Tiap saat mengolok-olokkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:

Suka membangkit-bangkitkan sesuatu perkara terhadap suami. Wanita jenis ini sering mengatakan, "Aku melakukan itu keranamu".

Wanita Hananah:

Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain. Yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya daripada suami yang lain.

Wanita Hadaqah:


Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap-tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:


Ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari megilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkan sebahagiannya.

Wanita Syadaqah:

Banyak mengatakan sesuatu yang tidak menentu.


Dicatat oleh Imam Ghazali


Dipetik daripada Buletin An-Naba'

Peliharalah Dirimu Wahai Wanita~


Satu ketika dahulu, sebelum datangnya Islam menyinari kehidupan manusia, pelbagai perilaku buruk telah di jadikan amalan. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang membawa kepada kerosakan dan mudharat yang teruk. Manusia pada waktu itu tidak mempunyai sesuatu yang boleh di jadikan panduan untuk hidup mereka. Oleh yang demikian, mereka menetapkan sesuatu keputusan dalam kehidupan seharian mereka secara menuruti hawa nafsu sepenuhnya.

Antara perkara buruk yang diamalkan oleh mereka pada waktu itu ialah eksploitasi terhadap wanita atau menyalah gunakan wanita. Zaman di mana dikatakan manusia tidak mempunyai panduan ini di gelar zaman The Dark Age atau lebih dikenali dengan zaman jahiliah. Wanita pada ketika itu tidak lebih daripada menjadi pemuas nafsu bagi kaum lelaki. Kaum wanita juga dianggap sebagai barang perniagaan kerana mereka dijadikan sebagai alat tukaran untuk mendapatkan sesuatu barangan. Pendek kata semuanya bertujuan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Pada zaman tersebut penganiayaan yang dikenakan ke atas kaum wanita sangat dahsyat sehingga disebutkan bila mana sesebuah keluarga ingin mengahwinkan anak perempuan mereka maka mereka akan mengiklankan anak perempuan mereka pada khalayak umum terlebih dahulu. Kemudian di sarankan pada yang berminat agar berdaftar dengan pihak keluarga tersebut. Pendaftaran akan di tutup apabila di rasakan bilangan sudah mencukupi. Selesai sudah proses tersebut maka dikehendaki pada semua yang berdaftar agar menyetubuhi anak perempuan keluarga tersebut.

Apabila satu ketika nanti perempuan tersebut mengandung dan melahirkan anak maka akan di tilik wajah anak tersebut untuk memastikan wajah lelaki manakah yang paling seiras dengan anak tersebut dan dari situlah ditentukan lelaki mana yang paling layak untuk menjadi suaminya. Alangkah jijik dan hinanya sistem perkahwinan yang digunakan pada zaman tersebut, wanita diperlakukan seakan-akan langsung tidak bermaruah kerana diperalatkan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan, kesucian wanita tersebut dan sebagainya.

Walaupun begitu keturunan junjugan besar kita Nabi Muhammad SAW bebas daripada kejelekan sistem tersebut kerana tidak dikahwinkan mengikut sistem jahiliah dan begitu jugalah sistem yang diamalkan turun temurun sehinggalah zaman kita kini. Sama-samalah kita bersyukur kerana dengan datangnya Islamlah keturunan kita bersih daripada anasir-anasir buruk tersebut seterusnya lahirlah kita semua melalui hubungan perkahwinan yang sah.

Apabila terbit sahaja fajar Islam maka semuanya berubah. Segala keburukan serta kerosakan yang dilakukan oleh umat manusia ketika zaman jahiliah telah ditinggalkan. Yang diamalkan ialah syariat-syariat Islam yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT. Maruah serta kehormatan wanita diangkat dan dipelihara sebaik-baiknya. Perkara yang paling dibanggakan ialah syurga yang dikatakan terletak di bawah kaki seorang ibu yang mana juga seorang wanita.

Tidak wujud lagi wanita yang dijadikan sebagai alat perniagaan. Wanita sudah tidak digunakan dan dianiaya sesuka hati malah mereka yang di didapati mengganggu keamanan seseorang wanita akan ditangkap serta dibicarakan. Zaman inilah yang dikatakan zaman kegemilangan Islam atau dengan nama lain zaman Enlightment Age. Wanita tidak lagi dapat di sentuh sesuka hati. Pemakaian wanita juga di tetapkan tatasusilanya agar tidak membangkitkan nafsu lelaki. Pergaulan antara lelaki dan wanita di tetapkan hadnya agar tidak terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.

Tetapi alangkah sayangnya, menjelang akhir zaman wanita seakan-akan hendak dikembalikan pada zaman jahiliah semula. Zaman yang boleh dikatakan zaman gelap bagi kaum wanita kerana dipergunakan sesuka hati. Sebagai bukti, lihat sahaja iklan-iklan yang dipaparkan di televisyen. Kebanyakannya menggunakan kaum wanita sebagai alat penarik dengan menampilkan diri dalam keadaan memakai pakaian yang mendedahkan aurat. Jika dilakukan pengiraan secara teliti memang jelaslah jauhnya nisbah penggunaan wanita sebagai pelakon sesuatu iklan berbanding lelaki.

Pemakaian secara mendedah aurat pula telah dianggap 'up to date' oleh sesetengah pihak dan diamalkan oleh muda-mudi. Mereka mengganggap pemakaian tersebut sebagai sesuatu yang mengikut 'trend' semasa sedangkan kefahaman tersebutlah yang merosakkan mereka seterusnya membawa mereka jauh daripada memperagakan busana muslimah sejati dalam kehidupan seharian mereka. Dalam masa yang sama kita tidak menafikan semua itu adalah perancangan barat dalam merosakkan muda-mudi Islam.

Oleh itu, ayuh kita sama-sama sedarkan mereka yang masih tidur. Mereka yang masih hanyut dengan kefahaman barat. Khabarkan pada mereka bahawa wanita ketika ini berada dalam zon bahaya. Ingatkan mereka pada nasib wanita suatu ketika dahulu. Wanita akan kembali pada zaman gelapnya jika perubahan tidak dilakukan. Serlahkan harga dirimu wahai wanita, buktikan pada dunia bahawa kamu semua adalah kaum yang bermaruah, jangan sampai sejarah silam berulang kembali.


Diolah daripada Buletin An-Naba'

Isnin, 19 Januari 2009

Amanat Sheikh Ahmad Yasin


Berikut adalah kalam yang sempat diutarakan oleh Sheikh Ahmad Yasin, mantan Presiden HAMAS sebelum perginya beliau ke rahmatullah akibat tujahan roket daripada tentera Israel laknatullah selepas usainya beliau mengerjakan solat subuh. Walaupun kata-katanya kelihatan ditujukan pada bangsa Arab tapi anggaplah kita juga seperti bangsa tersebut dari sudut kelemahan-kelemahan yang disebutkan oleh beliau. Sama-samalah kita ambil iktibar...

Sheikh Ahma
d Yasin yang begitu kecewa dan sedih dengan bangsa Arab telah berkata:

"Tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?

Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini).

Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi rodaku). Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kalian diam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa.

Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu golongan pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah... Tiada satu pun kumpulan (daripada kalangan kalian) yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia kepada golongan yang dianiaya dan dizalimi oleh pembunuh dan penjenayah serta pengganas... Tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami.

Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat Islam membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan beban kami.

Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan;

"Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan tulang-temulang mereka, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!"

Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar berita tentang peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati dalam keadaan melarikan diri. Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih, kerana ketahuilah bahawa kami akan tetap mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahidin dan syuhada'.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kejadian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

Kami juga berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini."

Bangkitlah wahai umat Islam sekalian!

Sampai bila lagi mahu berdiam diri!

Sama-sama kita bangkit membela saudara-saudara Islam kita semampu yang mungkin!


Boikot barang-barang Israel!!!



Rujukan: Buku Gerakan Freemasonry Orientalisme Kristianisasi oleh Hj. Nik Azran Muhamed
dan Hj. Mohd Mahadi Hj. Isa

Khamis, 15 Januari 2009

Berikan Pilihan Yang Tepat!


Tanggal 17 Januari 2009 bakal menyaksikan satu pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu. Calon-calon yang bakal diundi datangnya daripada PAS, BN dan Bebas. Mereka ialah Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Azharudin Mamat daripada Bebas. Walau apa pun natijah daripada pilihan raya tersebut harapnya calon yang terpilih ialah seorang yang ta'at melaksanakan syari'at Islam serta mampu untuk mengajak rakyat di bawah pimpinannya turut sama akur dengan panduan yang telah digariskan oleh Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Kewajipan melantik pemimpin yang adil dan melaksaksanakan syari'at Islam adalah satu tanggungjawab yang tidak dapat tidak perlu dilaksanakan oleh mereka yang sudah layak untuk memilih pemimpin atau lebih tepatnya mengundi. Perkara tersebut adalah penting kerana seseorang khalifah atau pemimpin dalam sesebuah kawasan memainkan peranan yang penting untuk memastikan rakyatnya tetap teguh dengan ajaran Islam khususnya dan memastikan segala keperluan atau kebajikan terjaga dengan baik umumnya.

Maka tidak hairanlah Islam sangat memuliakan dan menjunjung tinggi pemimpin yang adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil"

(Riwayat Tarmizi)

Oleh kerana itu maka Islam telah menggariskan kriteria-kriteria seseorang calon yang layak untuk dipilih atau diundi bagi sesebuah kawasan tersebut. Antaranya ialah:

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.

2 . Adil . Sifat ini sangat perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin umat islam,ekoran peri pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ianya adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak di muka bumiNya ini. Sebagaimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar dalam memimpin umat Islam.

3 . Berilmu. Golongan 'ulama dan 'umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah. Pelaksanaan hukum Allah di sesebuah kawasan yang dipimpin adalah sesuatu yang wajib. Walaupun ianya adalah suatu perkara yang sukar dan pastinya akan mendapat tentangan pelbagai pihak hakikatnya pelaksanaan hukum Islam oleh seseorang pemimpin adalah wajib dalam rangka untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar apabila adanya pemimpin yang menyalah gunakan harta rakyat dengan menyalurkan harta tersebut untuk kepentingan peribadi atau pada pihak-pihak tertentu yang mana sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan keperluan rakyat secara adil. Justeru itu apabila didapati adanya sifat ini pada seseorang calon yang hendak dipilih maka tinggalkanlah.

Sukalah penulis mempersembahkan sebuah kisah yang insyaAllah dapat menjadi panduan dan kayu ukur dalam memilih seorang pemimpin yang benar-benar ideal untuk rakyat bersesuaian dengan pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di negara kita tidak lama lagi.

Telah dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz ketika di tanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam. Katanya:" Sesungguhnya Allah telah menjadikanpara imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.

Dia jugalah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan di atas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya. Dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya.

Menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-sekali menghukum dengan cara jahiliah danmengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar dalam menindas golongan lemah, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Begitulah syakhsiah atau pun ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati yang telah di sebutkan secara panjang lebar oleh Amirul Mu'minin Umar bin Abdul Aziz dalam kisah tersebut. Dengan itu maka amatlah diharapkan agar pembaca dapat mengetahui dan memahami dengan jelas kriteria-kriteria penting yang perlu ada oleh seseorang pemimpin dan seterusnya dapat diaplikasikan kefahaman tersebut untuk menentukan pemimpin yang benar-benar berkelayakan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu khususnya dan pilihan raya-pilihan raya yang akan datang umumnya.

Wabillahit taufiq..

Isnin, 12 Januari 2009

Sanggupkah Anda??



Sanggupkah anda menjadi pembunuh pada umat Islam sendiri?

Sanggupkah anda menjadi penyumbang kepada peluru-peluru tentera Israel?


Sanggupkah anda membiayai bom-bom dan kereta kebal-kereta kebal milik Israel laknatullah?


Kalau sanggup,

Teruskan membeli produk-produk boikot tersebut.

Tapi..

Jangan salahkan sesiapa,

Apabila di akhirat nanti,

Allah persoalkan tentang,

Kezaliman yang kamu lakukan,

Terhadap..

Saudara seagama kamu sendiri!!!

Laluan Sulit Sempadan Gaza-Mesir


Kebiasaanya kebanyakan negara-negara di dunia menggunakan terowong sebagai laluan kenderaan-kenderaan untuk melalui jalan raya yang perlu menempuhi bukit, gunung dan sebagainya. Akan tetapi jika diperhatikan terowong-terowong yang digunakan di Palestin lain pula keadaannya.

Terowong-terowong di Palestin banyak digunakan untuk menghantar segala apa barang-barang keperluan untuk Palestin tidak kiralah barang makanan, binatang ternakan, senjata-senjata untuk peperangan dan sebagainya.

Terdapat lebih 750 terowong di bawah bumi Gaza dan satu daripadanya yang telah diketahui Israel di kenali sebagai Koridor Philadelphia. Terowong yang biasa digunakan untuk penyeludupan barangan pengguna panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter dengan kedalaman antara 15 hingga 30 meter.

Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan melalui terowong-terowong tersebut bernilai RM128 juta. Jaringan bawah tanah ini juga menjadi sumber pendapatan dan senjata yang agak besar bagi Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.

Terowong-terowong yang di bina di Palestin semuanya berada di bawah tanah. Ianya di bina untuk merentasi sempadan Gaza-Mesir yang telah di kawal ketat oleh tentera-tentera Israel. Bagi Hamas, terowong adalah paksi kekuatan tentera mereka.

Selain daripada terowong Koridor Philadelphia yang sudah diketahui Israel, masih ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir. Terowong-terowong bawah tanah di Gaza bukanlah baru di bina malah terowong-terowong tersebut memiliki sejarah yang panjang. Ianya di bina bertahun-tahun dahulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan.

Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong ini dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas. Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.

Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat untuk membekalkan mereka dengan jurutera tentera yang mampu untuk membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphia. Amerika Syarikat bersetuju dengan permintaan tersebut walaupun masih tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran atau tidak.

Ketakutan Israel pada terowong di Gaza yang dikatakan semakin banyak di buka jelas menyerlah apabila mereka meminta pihak berkuasa antarabangsa untuk memantau gencatan senjata. Malah Israel juga pernah cuba untuk memusnahkan jaringan bawah tanah ini dengan bom jenis bunker-busting (bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah) yang dibekalkan oleh pihak Amerika.

Perkara yang lebih membawa kebimbangan pada Israel ialah apabila sayap bersenjata Hamas, Briged Izz Al-Din Al-Qassam menggunakan terowong sebagai laluan tentera. Beliau dikatakan telah menghantar ribuan tentera pejuang untuk berlatih di Iran dan Lubnan melalui terowong yang telah Berjaya digunakan oleh Hizbullah semasa menentang Israel pada tahun 2006.

Menurut seorang Komander Hamas, satu daripada pelajaran yang boleh diambil dengan penggunaan terowong ialah ianya mengurangkan risiko yang diambil apabila menyerang balas.

“Jangan ledakan bom di situ, gali terowong dan gunakan wayar peledak bagi membolehkan misil dilancarkan dari jauh. Jadi Hamas hanya akan kerugian tiub atau alatan menembak yang hanya berharga RM30.20 dan bukan pejuang,” katanya.

Rangkaian persenjataan Hamas termasuk misil yang dihasilkan di Gaza dan roket tiruan Russia yang dihasilkan di China semuanya diseludup melalui sempadan Gaza-Mesir selain mortar, mesingan, bom, pelancar roket dan pelbagai senjata perang lain yang telah diubah suai. Hamas juga telah mewarisi stok senjata infantri Amerika Syarikat dan imunisasi yang ditinggalkan Fatah apabila pejuangnya keluar dari Gaza pada tahun 2007.


# Sumber Rujukan:- Berita Harian, 11 Januari 2009