Jumaat, 3 Disember 2010

Warna-warni Tanta


Berbekalkan selaut keazaman dan harapan maka bermusafirlah penulis ke bumi Tanta. Bumi baru yang bakal menjanjikan seribu cubaan dan dugaan ini bakal menyaksikan seorang anak harapan keluarga bakal menggenggam segulung lagi ijazah buat penawar duka mereka, insyaAllah. Segala pengalaman hidup di Syoubra akan diaplikasikan sepenuhnya di muka bumi baru ini. Muhafazah yang berjauhan kira-kira dua jam perjalanan dari Kaherah ini kelihatannya tidak jauh berbeza dari Kaherah, tetap juga dipenuhi dengan orang Arab. Walaupun begitu kadar pelajar melayu di sini tidaklah seramai di Kaherah, itu sudah tentu.


Diriku masih lagi belum mampu untuk tinggal di rumah secara tetap. Sentiasa berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Masih mencari rumah yang mampu memikat hati ini. Namun rumah Ustaz Wafi di Nuhas menjadi rumah yang paling kerap didiami. Mungkin kerana di sana adanya ketenangan. Tapi aku pasti rumahnya bakal menjadi kediamanku satu hari kelak,hehe... Ketenangan itu tidak mudah untuk diraih bagi mereka yang tidak mengenal erti ketenangan dan kebahagiaan yang sejati. Segala kesenangan dunia yang kita dan orang lain kecapi sebenarnya tidak menjanjikan ketenangan yang sebenar. Silap haribulan ianya menjadi satu perkara yang akan mengusir ketenangan itu pergi lebih jauh...


Jadual harian permusafiranku di sini kebanyakannya hanya disekitar kuliah dan rumah yang menjadi mangsa tumpanganku. Berulang-alik dari rumah ke kuliah menjadi rutin hidup. Satu pengalaman yang kurasakan baru adalah sistem pembelajaran di kuliah baruku ini. Bermula seawal sembilan pagi dan berakhir pada pukul tiga petang. Rasanya seakan-akan baru melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi tinggi. Rasanya seakan-akan baru belajar sepertimana seorang mahasiswa. Ini kerana ketika belajar di Maahad Qiraat Syoubra dahulu waktu pembelajaran hanya selama dua jam. Bermula pukul lapan pagi hingga sepuluh pagi.


Bangunan kuliah al-quran yang baru menjadi satu ‘bonus’ bagi kami pelajar-pelajar kuliah al-quran. Tidak sepertimana pelajar-pelajar kuliah lain yang bangunannya sedikit usang di makan waktu. Guru-guru yang mengajar pula kebanyakannya sudah bertaraf ‘master’. Sesetengah guru pula hanya membawa buku pelajaran sebagai syarat. Apabila mengajar buku itu sudah ditinggalkan bersendirian di atas meja. Seperti mana Sheikh Hamdi yang mengajar madah qiraat, mensyarahkan cara-cara bacaan qiraat yang bagiku cukup rumit tanpa apa-apa rujukan di hadapan. Segala cara-cara bacaan dan nama-nama imam serta rawi qiraat yang membacakannya beserta matan sebagai dalil beliau ingati dengan lengkap.


Penulis sebenarnya tidak bercadang untuk menceritakan dengan panjang lebar tentang kisah hidup penulis di Tanta, ‘post’ yang ditulis ini pun tidak lebih hanya sekadar ingin membersihkan sesawang yang sudah memenuhi blog penulis dek kerana sudah terlampau lama sudah tidak di ‘update’. Moga-moga ‘post’ kali ini menjadi titik permulaan untuk penulis kembali aktif berkarya. Akhir kata, rajin-rajinkanlah diri menghadiri kuliah. Bak kata pepatah, “kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Selamat maju jaya.


Wassalam.

Isnin, 8 Februari 2010

Saiyidatina Aisyah Radhiallahu 'Anha


Seorang gadis kecil berpewatakan riang berumur sembilan tahun sedang gembira bermain-main dengan teman-temannya. Rambutnya awut awutan dan mukanya kotor kerana debu. Tiba-tiba beberapa orang yang sudah agak tua muncul dari sebuah rumah berdekatan dan datang ke tempat anak-anak tadi bermain-main. Mereka lalu membawa anak gadis itu pulang, memberinya pakaian yang rapi, dan malam itu juga, gadis itu dinikahkan dengan laki-laki yang paling agung di antara manusia, Nabi umat Islam. Suatu penghormatan paling unik yang pernah diterima seorang wanita. S. Aisyah adalah salah seorang puteri tersayang Sayyidina Abu Bakar ra, sahabat Nabi yang setia, yang kemudian menggantikan Nabi sebagai Khalifah Islam yang pertama. S. Aisyah rh lahir di Makkah pada 614 Masihi, lapan tahun sebelum permulaan zaman Hijrah. Orang tuanya sudah memeluk agama Islam. Sejak kecil anak gadis itu telah di didik sesuai dengan tradisi paling mulia - agama Islam - dan dengan sempurna dipersiapkan dan diberinya hak penuh untuk kemudian menduduki tempat yang mulia. Beliau menjadi isteri kepada Nabi selama sepuluh tahun.


Masih muda sewaktu dinikahkan dengan Nabi, tetapi ia memiliki kemampuan yang sangat baik sehingga dapat menyesuaikan diri dengan tugas barunya. Kehadirannya membuktikan bahawa beliau seorang yang cerdas dan setia, dan sebagai isteri, sangat mencintai tokoh dermawan paling besar bagi umat manusia. Di seluruh dunia, beliau diakui sebagai pembawa riwayat paling autentik bagi ajaran Islam seperti apa yang telah di sunnahkan oleh suaminya. Beliau di anugerahi ingatan yang sangat tajam dan mampu mengingat segala pertanyaan yang diajukan para tamu wanita kepada Nabi, serta juga mengingat segenap jawaban yang diberikan oleh Nabi. Diingatnya secara sempurna semua yang disampaikan Nabi kepada para delegasi dan jemaah di masjid. Kerana kamar S. Aisyah itu bersebelahan dengan masjid, dengan cermat dan tekun ia mendengarkan dakwah, ta'lim, dan muzakarah Nabi dengan para sahabat dan orang-orang lain. Ia mengajukan juga pertanyaan-pertanyaan kepada Nabi tentang soal-soal yang sulit dan rumit sehubungan dengan ajaran agama Islam.


Hal-hal inilah yang menyebabkan ia menjadi ilmuwan dan periwayat yang paling besar dan paling autentik bagi sunnah Nabi dan ajaran Islam. S. Aisyah tidak ditakdirkan hidup bersama-sama dengan Nabi untuk waktu yang lama. Pernikahannya itu berlangsung hanya sepuluh tahun saja. Tahun 11 Hijrah, 632 Masihi, Nabi wafat dan di makamkan di kamar yang dihuni S. Aisyah. Nabi digantikan oleh seorang sahabat yang setia, S. Abu Bakar ra, sebagai khalifah islam yang pertama. S. Aisyah terus menduduki urutan pertama, dan setelah S. Fatimah rh meninggai dunia pada tahun 11 Hijrah, S. Aisyah dianggap sebagai wanita yang paling penting di dunia Islam. Tetapi ayahnya, S. Abu Bakar, tidak berumur panjang. Ia meninggal dunia dua setengah tahun setelah wafatnya Nabi. Selama kekuasaan S. Umar al-Faruq, khalifah yang kedua, S. Aisyah menduduki posisi sebagai ibu utama di seluruh daerah-daerah Islam yang secara cepat makin meluas. Orang datang untuk meminta nasihat-nasihatnya yang bijaksana tentang segala hal yang penting.


S. Umar terbunuh dan kemudian Khalifah Uthman. Dua peristiwa kesyahidan tersebut telah menggoncangkan sendi-sendi Islam, dan menjurus kepada perpecahan yang tragis di kalangan umat Islam. Keadaan itu sangat merugikan agama yang sedang menyebar luas dan berkembang dengan cepat yang mana pada ketika itu juga telah menjalar sampai ke batas pegunungan Atlas di sebelah Barat dan ke puncak-puncak Hindu Kush di sebelah Timur. S. Aisyah tidak dapat tinggal diam sebagai penonton dalam menghadapi oknum-oknum pemecah-belah itu. Dengan sepenuh hati ia membela mereka yang menuntut balas atas kesyahidan khalifah yang ketiga. Di dalam Perang Unta, suatu pertempuran melawan S. Ali, khalifah yang keempat, pasukan S. Aisyah kalah dan ia terus mundur ke Madinah di bawah perlindungan pengawal yang diberikan oleh putera khalifah sendiri. Beberapa orang sejarawan yang menaruh minat terhadap peristiwa itu, baik yang Muslim mahupun yang bukan, memberikan kritikan kepada Aisyah dalam pertempuran melawan Ali. Tetapi tidak seorang pun yang meragukan kesungguhan hati dan keyakinan Aisyah untuk menuntut balas bagi darah S. Uthman. S. Aisyah menyaksikan berbagai perubahan yang dialami oleh Islam selama tiga puluh tahun kekuasaan khalifah yang soleh. Ia meninggal dunia tahun 678 Masihi. Ketika itu kekuasaan berada di tangan S. Mu'awiyah. Penguasa ini amat takut kepada S. Aisyah dengan kritik-kritiknya yang pedas berkenaan dengan negara Islam yang secara politis sedang berubah itu. Ibu Utama agama Islam ini terkenal dengan bermacam ragam sifatnya kesolehannya, umurnya, kebijaksanaannya, kesederhanaannya, kemurahan hatinya, dan kesungguhan hatinya untuk menjaga kemurnian riwayat sunnah Nabi.


Kesederhanaan dan kesopanannya segera menjadi obor penyuluh bagi wanita Islam sejak waktu itu juga. Beliau menghuni ruangan yang berukuran kurang dari 12 X 12 kaki bersama-sama dengan Nabi. Ruangan itu beratap rendah, terbuat dari batang dan daun kurma, diliputi dengan lumpur. Pintunya cuma satu, itu pun tanpa daun pintu, dan hanya ditutup dengan secarik kain yang digantungkan di atasnya. Selama masa hidup Nabi, jarang S. Aisyah tidak kekurangan makan. Pada malam hari ketika Nabi mengembuskan nafasnya yang terakhir, Aisyah tidak mempunyai minyak Waktu Khalifah Umar berkuasa, isteri dan beberapa sahabat Nabi mendapatkan tunjangan yang cukup besar tiap bulannya. S. Aisyah jarang menahan wang atau pemberian yang diterimanya sampai keesokan harinya, kerana semuanya itu segera dibagikan kepada orang-orang yang memerlukannya. Pada suatu hari di bulan Ramadhan, waktu S. Abdullah ibn Zubair menyerahkan sekantung wang sejumlah satu lakh dirham, S. Aisyah membahagikan wang itu sebelum waktu berbuka puasa.


S. Aisyah pada zamannya terkenal sebagai orator. Pengabdiannya kepada masyarakat dan usahanya untuk mengembangkan pengetahuan orang tentang sunnah dan fiqh tidak ada tandingannya di dalam catatan sejarah Islam. Jika orang menemukan persoalan mengenai sunnah dan fiqh yang sukar untuk dipecahkan, soal itu akhirnya dibawa kepada S. Aisyah dan kata kata S. Aisyah menjadi keputusan terakhir. Kecuali S. Ali, S. Abdullah ibn Abbas dengan S. Abdullah ibn Umar, S. Aisyah juga termasuk kelompok intelektual di tahun-tahun pertama Islam. Ibu Agung Agama Islam ini mengembuskan nafasnya yang terakhir pada 17 Ramadhan, 58 Hijriah (13 Julai, 678 Masihi). Kematiannya menimbulkan rasa dukacita terutama di Madinah dan di seluruh dunia Islam. S. Aisyah rha bersama S. Khadijah rha dan S. Fathima az-Zahra rha dianggap sebagai wanita yang paling menonjol di kalangan wanita Islam. Kebanyakan para ulama menempatkan S. Fathimah rha di tangga teratas, diikuti oleh S. Khadijah rha dengan S. Aisyah rha sebagai yang terakhir. Tapi ulama ibn Hazim malah menempatkan S. Aisyah rha pada tempat kedua sesudah Nabi Muhammad SAW, di atas semua isteri, dan sahabat-sahabatnya. Menurut A'llamah ibn Taimiyyah, S. Fatimahlah yang berada di tempat teratas, kerana beliau itu anak tersayang Nabi, S. Khadijah itu agung kerana dialah orang pertama yang memeluk agama Islam. Tetapi tidak ada seorang pun yang menandingi S. Aisyah mengenai peranannya dalam menyebarluaskan ajaran Nabi Muhammad SAW.


Rabu, 3 Februari 2010

Kaitan antara Sujud dan Perkembangan Otak



Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.

Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.



Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;


"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".



Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal"


Sumber : I Luv Islam.com

Isnin, 1 Februari 2010

Death and The Hereafter


When God created people, He intended that they would live forever and not simply vanish after their time span on earth expires. Surely all men and women will taste death on earth. Some people will live long life-spans, some quite short, some ranging between the two, but all have spans that nonetheless come to an end. Yet death is a doorway to the Hereafter, not the end of all. Life on earth is considered one stage of the long road of human existence. This worldly life, however, is extremely important, for it is the only chance in which one can demonstrate faith in God and morality; it is an arena of trials that test our beliefs and our resolve to keep to them.

Those who persevere faithfully, Heaven awaits them in the Hereafter (“Janna” in Arabic): an abode that is immensely beautiful, peaceful, and so sublime that our earthly senses cannot possibly perceive them at present. The Quran offers glimpses of Heaven, of God’s generosity: running rivers; fantastic lush gardens, the grandest trees, banquets of delectable food and drink, endless estates, gushing springs, cushions of brocade, virtuous and lovely companions; people living forever without malice, jealousy, evil, lies, and envy that, as we all know, can insult, offend, and break hearts. Callousness, competition, back-stabbing, and ignorance are not just gone, but impossible in Heaven.

Instead, there is profound intelligence far beyond what our minds can even imagine now; there are no obligations, only complete freedom and whatever a person desires. People experience closeness to God and the right to gaze upon His Divine Countenance. All of this without end, without aging, boredom, or any kind of burden, duty, work, pain, or sickness. What is astonishing is that any description that has ever been revealed about Heaven in any of the scriptures are, at best, glimpses. The Prophet Muhammad said that in Heaven one finds what no eye has ever beheld or what no ear has ever heard, or what never has come to anyone’s mind. This is for those who are faithful and patient in this very brief life.

There is also Hell, the unrelenting chastisement, for those who chose to deny God, ridicule or reject His Prophets and teachings, and live with lewdness, never repenting or turning their lives around. Hell is an inferno of fire whose evils and pains are beyond imagination. Its inhabitants live with pain, humiliation, and terrible regret. But whatever a person’s past may be like, one has recourse to God’s forgiveness and mercy. God’s mercy outstrips His anger. So the Quran frequently invites people to seek out God and ask for His mercy, for God loves to forgive and is infinitely generous with mercy.


Source : Mosque Foundation

Isnin, 25 Januari 2010

Mari Membaca Al-qur'an


Hampir setiap daripada rumah seorang muslim itu adanya Al-qur'an. Jika tidak banyak pun sekurang-kurangnya ada sebuah sebagai simpanan. Akan tetapi adakah Al-qur'an yang di simpan itu hanya sekadar simpanan atau pun di baca sebagai bacaan wajib sehari-harian? Tanpa kita sedari atau yang menyedari akan tetapi tidak mempedulikan perkara tersebut bahawa membaca Al-qur'an itu amatlah besar ganjaran pahalanya. Dalam urusan keduniaan tidak banyak perkara yang praktikalnya mudah akan tetapi ganjaran yang diperolehi berganda-berganda banyaknya.


Secara mudahnya kita imbas sahaja jualan-jualan murah yang terdapat di pasar raya. Promosi-promosi yang di buat oleh makhluk-makhluk Allah yang bergelar manusia ini kebanyakannya tidaklah begitu hebat. Kadangkala jika ada potongan yang dikira hebat seperti potongan separuh harga atau 80% daripada harga pun hanyalah pada waktu-waktu yang tertentu seperti ketika sambutan Hari Raya atau sambutan Hari Raya Cina dan sebagainya. Sedangkan ganjaran pahala hebat yang Allah kurniakan pada si pembacanya berterusan dan tidak hanya pada waktu-waktu khusus.


Daripada Abdullah bin Mas'ud, sabda Nabi S.A.W :

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-qur'an), maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan digandakan sepuluh (kebaikan) seumpamanya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

(Riwayat Tirmizi)


Lihatlah kasih sayang Allah pada hamba-hambanya. Hanya dengan satu huruf yang di sebut sudah diganjari dengan 10 kebaikan. Adakah wujud di dunia satu promosi di mana di beli satu barangan akan di hadiahkan dengan 10 barangan lagi? Alangkah ruginya kita jika tidak memanfaatkan anugerah Allah S.W.T tersebut. Ramai di antara kita tidak menyedari akan manfaat pahala ketika di akhirat kelak kerana kehidupan di akhirat masih belum kita fahami. Antara punca ramainya manusia yang melakukan maksiat juga adalah kerana masih tidak mengenal kedahsyatan neraka,masih tidak mampu membayangi kesukaran hisab dan masih tidak mengenal Allah S.W.T.


Daripada Abu Hurairah, sabda Nabi S.A.W :

Seorang penzina tidak akan akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan.
Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.

(Riwayat Muslim)

Khamis, 21 Januari 2010

Kasihi Ibu Sayangi Bapa



Secara lazimnya menurut ilmu matematik seperti mana yang telah di persetujui oleh pakar-pakar Matematik mahu pun pelajar-pelajar sekolah rendah yang sudah mengikuti pembelajaran subjek Matematik dalam tajuk tambah akan mengiyakan bahawasanya satu di tambah satu hasilnya dua. Mahu pun begitu teori tersebut tidak tepat jika digunakan dalam masalah penambahan ahli keluarga kerana yang tepatnya ialah satu di tambah satu hasilnya tiga. Dengan kata lain kasih sayang yang erat di antara seorang suami dan seorang isteri akan membawa kepada lahirnya seorang anak seterusnya berlaku pertambahan pada bilangan ahli keluarga tersebut daripada dua orang kepada tiga orang.

Anak yang dilahirkan kebiasaannya akan mendapat kasih sayang dan jagaan yang cukup rapi daripada kedua ibu bapanya. Bagi mereka cahaya mata mereka itulah segala-galanya bagi mereka. Mereka sanggup bersusah payah berjaga malam melayani kerenah anak mereka yang kadang kala menangis sepanjang malam. Mereka juga sanggup memerah keringat menyediakan segala keperluan hidup anak mereka tidak kiralah daripada sudut pemakaian mahupun pemakanan demi memastikan jantung hati mereka ini dapat terus hidup dalam keadaan yang bebas daripada penyakit dan serba-serbi cukup walaupun terpaksa menggadai sebahagian besar daripada hasil pendapatan mereka.

Yang menjadi persoalannya ialah mengapakah ada bahkan ramai daripada anak-anak yang apabila mereka sudah meningkat dewasa sanggup melayani ibu bapa mereka dengan perlakuan yang tidak sepatutnya. Ada anak yang sanggup memukul ibu bapanya, ada anak yang sanggup merampas harta hasil titik peluh kedua ibu bapanya dan ada juga anak yang sanggup meninggalkan ibu atau ayahnya di rumah orang-orang tua atas alasan sibuk, tidak mempunyai waktu yang cukup untuk menjaga mereka dan sebagainya. Adakah mereka tidak ingat jerih perih kedua ibu bapa mereka menjaga mereka suatu ketika dahulu? Adakah mereka tahu bahawa kedua ibu bapa mereka juga sibuk akan tetapi tetap berusaha meluangkan masa menjaga mereka?

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 23 yang mana maksudnya, “dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Hah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Petikan ayat tersebut jelas menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab kita selaku anak menghormati kedua ibu bapa. Kita di larang daripada berlaku kasar kepada mereka walau hanya dengan meninggikan suara sekalipun. Sebenarnya seseorang anak tidak akan berlaku kasar pada kedua ibu bapa mereka jika dia benar-benar menyayangi mereka bahkan melayani mereka berdua dengan baik. Bukankah rasa kasih dan sayang itu akan membawa kepada satu hubungan antara manusia yang cukup murni dan indah. Oleh itu, mana mungkin seorang anak yang berlaku kasar pada kedua ibu bapanya boleh di sinonimkan dengan rasa kasih dan sayang.

Antara kedua ibu bapa yang sudah kita sedia maklum perlu diberikan kasih sayang yang sepenuhnya kita juga di tuntut oleh syari’at agar melebihkan ibu daripada bapa. Ada sepotong hadith yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW di soal oleh sahabat tentang siapakah yang perlu di berikan layanan atau kasih sayang yang lebih. Rasulullah menjawab ibu kamu sehingga tiga kali kemudian barulah di sebutkan ayah kamu. Tidak dinafikan bahawa kedua ibu bapa sama-sama bersusah-payah membesarkan seseorang anak akan tetapi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang ibu kepada anaknya itu sering dikatakan lebih hebat daripada si bapa.

Kasih sayang seorang perempuan yang di tonjolkan kepada seseorang jika di bandingkan dengan lelaki jika diperhatikan amatlah mendalam dan cukup tulus berbanding lelaki. Sudah fitrahnya diciptakan perempuan dengan rasa kasih dan sayangnya yang cukup cukup istimewa pada mana-mana insan yang disayangi. Oleh kerana itu jugalah kasih sayang yang ditonjolkan oleh seorang ibu pada anaknya kelihatan istimewa kerana sudah semestinya seorang ibu itu adalah seorang perempuan.

Lebih-lebih lagi jika dilakukan pemerhatian pada haiwan seperti kucing, burung, singa dan sebagainya. Perbezaan kasih sayang yang ditonjolkan antara si ibu dan si bapa lebih jelas ketara berbanding manusia. Kebanyakan binatang yang menjaga anak-anak hanyalah si ibu. Si bapa sudah menghilangkan diri entah ke mana. Walaupun begitu si ibu haiwan tetap gigih membesarkan anak-anaknya bersendirian.

Sebagai intipati yang perlu digarap dan di ambil iktibarnya sama-samalah kita selaku insan yang memiliki ibu bapa memberikan layanan dan kasih sayang yang terbaik pada mereka. Ingatlah bahawa tanpa redha mereka pada kita maka tidak hadir juga redha Ilahi. Tempoh masa mereka masih hidup inilah waktu yang terbaik bagi kita untuk memohon ampun atas segala salah silap kita pada mereka dan memberikan sepenuh kasih sayang sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Mursyidul Am Baru Ikhwanul Muslimin



Nama :

Mohamed Badi' Abdul Majeed Samy

Tarikh Lahir :

7/8/1943

Tempat Lahir :

Mahalla Al-Kubra

Status :

Berkahwin

Pasangan Hidup :

Samia Alshanawy,bekas Pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiah di Bani Suef,Mesir.

Anak-anak :

Ammar (Jurutera Komputer)
Bilal (Pakar Radiologi)
Doha (Ahli Farmasi)

Cucu-cucu :

Ro'a
Habib
Eyad
Tameem

Kejayaan Akademik :

Sarjana Muda Kedoktoran Haiwan - Kaherah,tahun 1965.

Pensyarah Fakulti Kedoktoran Haiwan - Asyut,tahun 1965.

Memperolehi Master Kedoktoran Haiwan dan menjadi Guru Pembantu pada tahun 1977 di Universiti Zagazig.

Menjadi Doktor Haiwan dan menjadi Guru pada tahun 1979 di Universiti Zagazig.

Menjadi pembantu Profesor Kedoktoran Haiwan pada tahun 1983 di Universiti Zagazig.

Menjadi Doktor Pakar Haiwan di Institusi Sana'a pada tahun 1982-1986.

Menjadi Profesor Perubatan Haiwan pada tahun 1987 di Cairo University - Cawangan Bani Suef.

Menjadi Pengerusi Bahagian Patologi,Fakulti Kedoktoran Haiwan di Bani Suef pada tahun 1990 untuk dua sesi.

Mengajar di bawah Fakulti Kedoktoran Haiwan di Universiti Bani Suef untuk pelajar-pelajar graduan pada tahun 1993 untuk satu sesi.

Menjadi Supervisor pada 15 kelulusan Master dan 12 PhD serta 12 kajian saintifik dalam ruang lingkup kepakarannya.

Pekerjaan Sekarang :

Profesor Bahagian Patologi Fakulti Kedoktoran Haiwan – Bani Suef Universiti

Aktiviti Sampingan :

Setiausaha Umum Persatuan Umum Kedoktoran Haiwan untuk selama sesi.

Bendahari Persatuan Perubatan selama satu sesi.

Aktiviti-aktiviti Sosial dan yang melibatkan Sains :

Ahli Majlis Kerajaan Pertubuhan Kerajaan Islam Mahalla Al-Kubra

Ahli Lembaga Kakitangan Kelab Universiti Kaherah selama 10 tahun dan menjadi supervisor cawangan kelab tersebut di Bani Suef.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kakitangan Kelab Universiti Kaherah dan Lembaga Dakwah Islam di Bani Suef pada tahun 1996.

Pengerusi Pertubuhan Ahli Kakitangan Rumah dan Pembantu-pembantunya di Universiti Bani Suef.

Pengerusi Lembaga Pengarah Bahagian Patologi dan Patologi Klinikal pada tahap Republik.

Pengerusi Akhbar Kajian Perubatan Haiwan di Fakulti Kedoktoran Haiwan Bani Suef selama sembilan tahun.

Pengerusi Pusat Perkhidmatan Persekitaran Fakulti Kedoktoran Haiwan - Bani Suef.


1965 : Menjadi tribunal tentera bersama Profesor Said Qutb dan saudara-saudara Islam yang lain. Di hukum selama 15 tahun akan tetapi menjalani hukuman selama sembilan tahun sahaja.

1974 : Dilepaskan dan kembali bekerja di Universiti Asyut dan kemudian di pindahkan ke Universiti Zagazig.
Setelah itu dia terbang ke Yaman. Balik dari sana dia ke Universiti Bani Suef.

1998 : Dipenjarakan selama 75 hari kerana kes Lembaga Dakwah Islam di Bani Suef ketika beliau menjadi Pengerusi kelab tersebut.

1999 : Di hukum penjara selama lima tahun kerana kes satu organisasi persatuan. Dilepaskan selepas tiga tahun.

2008 : Di tangkap dan di tahan selama sebulan ketika pilihan raya perbandaran.

Khidmat Bakti :

Menyumbangkan artikel dan hadith pada laman web 'Ikhwanonline'.

Meneliti dan mengkaji konsep dakwah.


*Pernah di hukum mati pada tahun 1954 tapi kemudiaannya di ringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

*Nama Dr. Mohammad Badi' termasuk dalam senarai 100 tokoh terbesar dunia Arab mengikut Ensiklopedia ilmiah arab yang diterbitkan oleh lembaga Informasi Ilmiah Mesir pada tahun 1999.


HIDUP GERAKAN ISLAM!!!

TAKBIR!!

ALLAHU AKBAR!!!

Selasa, 19 Januari 2010

@@%Bakso Cinta%@@


Arakian,demam KCB 2 (Ketika Cinta Bertasbih) telah melanda pelajar-pelajar Melayu di Mesir baru-baru ini. Oleh kerana yang demikian maka telah ramailah ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang telah terpengaruh akan ceritanya yang indah bak berada di tepian pantai itu. Sang Ustaznya mulalah berangan-angan bahawa dirinya adalah seorang jejaka hebat bak Ustaz Khairul Azam yang lebih 9 tahun meninggalkan keluarga di Indonesia,belajar sambil menjual bakso manakala yang Ustazah...Mimpinya sentiasa dibuai bayangan yang dirinya adalah Ustazah Althafun Nisa yang lemah lembut bak puteri kayangan dan berkelulusan Master seperti mana watak dalam cerita.

Apa-apa pun,cerita tetap adalah cerita...Tidak ada kaitan dengan yang hidup atau pun mati. Akan tetapi membayangi diri adalah seorang yang hebat sebenarnya bagus kerana secara psikologinya akan membuatkan diri seseorang itu bertindak seperti mana orang hebat,bekerja seperti orang hebat dan sebagainya. Bercerita tentang KCB masih ingatkah para pembaca pada Bakso Cinta? Ahaa... Di sini penulis ingin berkongsi dengan para pembaca tentang resepi membuat bakso goreng. Pada asalnya resepi ini mengajarkan cara membuat bakso berbentuk bulat. Jadi,untuk menukarkan ia pada bakso cinta maka bentukkanlah adunan kepada bentuk hati.


Bahan-bahan :


200 gram ikan tenggiri di potong kecil
50 gram tepung sagu
1 putih telur

2 senduk air

1 batang daun bawang, di hiris halus

1 sudu kecil serbuk lada hitam



Cara-cara membuat:


1. Blender ikan tenggiri sehingga hancur.
2. Masukkan tepung sagu dan putih telur. Di kacau rata.

4. Tuang air. Di kacau rata.

5. Bulatkan (wat bentuk hati kalau nak) lalu rebus di air mendidih hingga terapung. Pisah2kan.
6. Goreng dalam minyak panas hingga kecoklatan.

*Jika mahukan bakso yang lebih kenyal,uli adunan ikan lama sedikit sambil dibanting-banting.


Mudahkan?
??

Selamat Mencuba~~


Isnin, 18 Januari 2010

MSG



Apa itu MSG? Sekali baca pasti ramai di antara pembaca yang teringatkan singkatan perkataan bagi 'message'. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang selalu menghantar 'message' melalui 'handphone' pada orang yang tersayang. Pernyataan orang yang tersayang itu membawa pelbagai maksud. Walau apa pun maksud yang kena dengan para pembaca harapnya berhati-hatilah menggunakan kemudahan teknologi yang ada kerana satu hari kelak kita akan di soal tentang penggunaan kemudahan-kemudahan teknologi tersebut.

Makna perkataan MSG yang ingin penulis utarakan di sini ialah monosodium glutamate. Bahan tersebut boleh kita temui hari ini pada banyak makanan seperti makanan-makanan ringan dan 'hotdog'. Pada asalnya bahan tersebut digunakan sebagai penyedap makanan secara tradisional pada makanan-makanan cina akan tetapi kini sudah di gunakan secara meluas pada banyak makanan. MSG juga dikategorikan sebagai bahan beracun kerana ianya boleh menyebabkan kematian sel pada organ badan.

Secara jelasnya MSG wujud pada penyedap makanan seperti Ajinomoto manakala pada makanan-makanan lain pembaca boleh teliti sendiri pada ruangan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut yang kebiasaannya berada di bahagian belakang pek makanan. Pelbagai kajian perubatan telah dilakukan pada bahan tersebut dan banyak kesan buruk pada tubuh badan yang telah di temui. Antaranya rasa seakan-akan terbakar pada lidah,mulut dan leher. Lemah-lemah pada tangan dan kaki,sakit perut serta pening kepala.

Selain itu,MSG juga boleh menyebabkan kecederaan pada otak lebih-lebih lagi pada kanak-kanak yang mana secara tidak langsung akan menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti ketidakseimbangan emosi,lemah kecerdasan otak dan lain-lain. Bagi seorang yang bergelar pelajar lebih-lebih lagi yang menghafal Al-Qur'an amatlah tidak digalakkan selalu memakan makanan yang disertai MSG dek kerana kesannya yang negatif pada otak sedangkan seseorang pelajar itu perlu mempunyai otak yang cerdas untuk mudah mengingati dan memahami ilmu yang dipelajari.

Satu kajian telah dilakukan pada seekor tikus yang telah diberikan bahan tersebut ketika lahirnya tidak mampu untuk keluar daripada jalan berliku dan lemah dalam membezakan sesuatu perkara berbanding dengan tikus-tikus lain yang bersih daripada MSG. Perkara tersebut jelas menunjukkan kesan negatif pada otak yang telah dialami oleh tikus tersebut. Sebagai makluman,MSG tidak menjadi masalah jika digunakan dalam kuantiti yang sedikit dalam sesuatu makanan akan tetapi ia akan menyebabkan satu masalah yang besar kelak jika dimakan secara kerap walaupun dalam kuantiti yang sedikit.


Sumber : www.purehealthmd.com
www.healthdangers.com

Hujan Oh Hujan

Saat 'posting' ini di tulis,hujan sedang turun di tempat kediaman penulis. Satu negara di mana turunnya hujan tidak menjadi satu kebiasaan seperti mana di tanah tumpahnya darah penulis iaitu Malaysia. Negara apa? (sila rujuk biodata penulis). Hujan di sini hanya turun apabila di ambang pertukaran musim. Sama ada musim sejuk ke musim panas ataupun musim panas ke musim sejuk. Dek kerana jarangnya hujan turun maka sistem pengaliran air juga tidak secanggih di Malaysia di mana berlakunya lambakan longkang dan sistem-sistem saliran air yang lain. Malah jika diperhatian dengan teliti sememangnya longkang sukar untuk di temui.

Walaupun di sini wujudnya musim sejuk akan tetapi hujan yang turun tidaklah sehingga turun dalam bentuk molekul ais ataupun salji seperti mana di negara-negara barat. Akan tetapi jika bernasib baik,mereka yang pergi ke Bukit Sinai di Mesir pada musim sejuk akan bertemu dengan makhluk Allah Ta'ala yang di beri nama salji itu di puncak bukit.

Sewaktu udara naik lebih tinggi ke atmosfera,terbentuklah titik-titik air,dan terbentuklah awan. Ketika sampai pada ketinggian yang suhunya sekitar 400 C di bawah titik beku,awan itu membeku menjadi kristal ais yang kecil. Udara sekelilingnya yang tidak begitu dingin membeku pada kristal tadi. Oleh kerana itu,kristal bertambah besar dan menjadi butir-butir salji. Apabila ia terlalu berat,salji itu akan turun. Apabila melalui udara yang hangat,salji itu mencair menjadi hujan. Pada musim dingin salji jatuh tanpa mencair.

Secara sainsnya begitulah asal kejadian hujan air dan hujan ais. Mengikut teori tersebut,salji yang terhasil pada ketinggian yang suhunya sekitar 400 C di bawah titik beku akan terus turun ke bumi dalam keadaan demikian apabila tempat yang dituruni itu sedang di dalam musim sejuk. Akan tetapi mengapa di sini walaupun sedang di dalam musim sejuk hujan tidak turun dalam keadaan molekul ais atau salji seperti mana teori yang disebutkan? Haa.. Itulah yang sedang menjadi persoalan penulis. (kepada pembaca yang mempunyai jawapannya secara fakta dialu-alukan untuk menjawab di ruangan komen).

Penulis pada asalnya ingin berkongsi satu kisah yang berkait dengan hujan di zaman Nabi Allah Musa Alaihissalam namun ulasan berkaitan hujan kelihatan agak panjang. Jadi untuk lebih selesa menghayati kisah yang bakal di ceritakan adalah lebih baik pembaca berehat dahulu setelah letih memahami dan memikirkan teori di atas. Cerita tersebut di kisahkan begini...

Pada zaman Nabi Musa as,kaum Bani Israil pernah ditimpa musim kemarau panjang. Lalu mereka berkumpul menemui Nabi Musa as dan meminta baginda agar berdoa kepada Allah S.W.T. agar menurunkan hujan.

Kemudian berdirilah Nabi Musa as bersama kaumnya dan mereka bersama-sama berangkat menuju ke tanah lapang. Dalam suatu pendapat dikatakan bahawa jumlah mereka pada waktu itu lebih kurang tujuh puluh ribu orang.

Setelah mereka sampai ke tempat yang dituju,maka Nabi Musa as mulai berdoa. Diantara isi doanya itu ialah: “Tuhanku,siramlah kami dengan air hujan-Mu,taburkanlah kepada kami rahmat-Mu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu,haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang-orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini,langit sangat cerah dan matahari semakin panas.

Tuhanku,jika seandainya Engkau tidak lagi menganggap kedudukanku sebagai Nabi-Mu,maka aku mengharapkan keberkatan Nabi yang ummi iaitu Muhammad S.A.W. yang akan Engkau utus sebagai Nabi akhir zaman.

Kepada Nabi Musa as Allah menurunkan wahyu-Nya yang isinya: “Aku tidak pernah merendahkan kedudukanmu di sisi-Ku, sesungguhnya di sisi-Ku kamu mempunyai kedudukan yang tinggi. Akan tetapi bersama denganmu ini ada orang yang secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat selama empat puluh tahun. Engkau boleh memanggilnya supaya ia keluar dari kumpulan orang-orang yang hadir di tempat ini! Orang itulah sebagai penyebab terhalangnya turun hujan untuk kamu semuanya.”

Nabi Musa kembali berkata: “Wahai Tuhanku,aku adalah hamba-Mu yang lemah,suaraku juga lemah,apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarnya,sedangkan jumlah mereka lebih daripada tujuh puluh ribu orang?” Allah berfirman: “Wahai Musa,kamulah yang memanggil dan Akulah yang akan menyampaikannya kepada mereka!.”

Menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah,maka Nabi Musa as segera berdiri dan berseru kepada kaumnya: “Wahai seorang hamba yang derhaka yang secara terang-terangan melakukannya bahkan lamanya sebanyak empat puluh tahun,keluarlah kamu dari rombongan kami ini,kerana kamulah,hujan tidak diturunkan oleh Allah kepada kami semuanya!”

Mendengar seruan dari Nabi Musa as itu, maka orang yang derhaka itu berdiri sambil melihat kekanan dan kekiri. Akan tetapi,dia tidak melihat seorang pun yang keluar daripada rombongan itu. Dengan demikian tahulah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu adalah dirinya sendiri. Di dalam hatinya berkata: “Jika aku keluar daripada rombongan ini,nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini terhadap kaum Bani Israil,akan tetapi bila aku tetap bertahan untuk tetap duduk bersama mereka,pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah SWT.”

Setelah berkata demikian dalam hatinya,lelaki itu lalu menyembunyikan kepalanya di sebalik bajunya dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya sambil berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah derhaka kepada-Mu selama lebih empat puluh tahun,walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepada-Mu dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini.”

Beberapa saat selepas itu,kelihatanlah awan yang bergumpalan di langit,seiring dengan itu hujan pun turun dengan lebatnya bagaikan hanya ditumpahkan saja dari atas langit.

Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa as berkata: “Tuhanku,mengapa Engkau memberikan hujan kepada kami,bukankah di antara kami tidak ada seorangpun yang keluar serta mengakui akan dosa yang dilakukannya?”

Allah berfirman: “Wahai Musa,aku menurunkan hujan ini juga di sebabkan oleh orang yang dahulunya sebagai sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu.”

Nabi Musa berkata: “Tuhanku,lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hamba-Mu yang taat itu?”

Allah berfirman: “Wahai Musa, dulu ketika dia derhaka kepada-Ku,Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu ketika dia telah taat kepada-Ku? Wahai Musa,sesungguhnya Aku sangat benci kepada orang yang suka mengadu. Apakah sekarang Aku harus menjadi pengadu?”

Pengajaran Cerita :-

1. Jangan suka mengadu domba atau menceritakan keburukan orang lain kerana Allah S.W.T. sangat membenci mereka yang suka membuka kesalahan orang lain.

2. Selagi mana pintu taubat masih terbuka atau dengan kata lain selagi mana nyawa masih dikandung badan maka bertaubatlah. Sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih besar daripada segala kesalahan hambaNya.

3. Amalan maksiat akan menyebabkan turunnya bala pada kelompok manusia yang lain walaupun si pelaku maksiat tersebut hanya seorang. Maka hindarkanlah maksiat demi kesejahteraan diri sendiri dan orang lain.


Sumber : www.darulnuman.com

www.forumsains.com


Ahad, 17 Januari 2010

Kenali Sumpah



Sumpah adalah satu akad yang disokong dengan penguat untuk orang yang bersumpah berazam melakukan satu perkara atau meninggalkannya. Sabda Nabi S.A.W. : "Apabila kamu bersumpah dengan satu perkara dan melihat lebih baik pada melanggar sumpah maka buatlah yang lebih baik dan hendaklah kamu bayar kaffarah sumpah."(Hr Tirmizi) Hadith tersebut jelas menyatakan tentang kaffarah atau denda yang perlu dikenakan pada pelaku sumpah sekaligus membawa maksud sumpah adalah satu perkara yang wajib dilaksanakan serta tidak melibatkan unsur penipuan dalam sumpah.

Perlanggaran sumpah terbahagi kepada dua. Perlanggaran sumpah yang berbentuk si pelaku sumpah tidak melakukan apa yang sudah dia sumpah untuk melakukan sesuatu perkara dan perlanggaran sumpah yang berbentuk pendustaan terhadap perkhabaran yang hanya akan dapat dipercayai dengan sumpah. Perbezaan antara dua keadaan tersebut ialah perlanggaran sumpah yang kedua adalah lebih memperlekehkan nama Allah kerana dia bersumpah dengan nama Allah sedang dalam masa yang sama dia mengetahui perkara tersebut adalah dusta.

Perkhabaran isu semasa ada menyebut tentang kes-kes sumpah yang telah dilakukan oleh pimpinan-pimpinan di Malaysia dan individu-individu tertentu untuk membersihkan tanggapan masyarakat tentang kesalahan-kesalahan yang telah dikaitkan dengan diri mereka. Walau apa pun kesalahan yang telah dikaitkan dengan mereka penulis tidak berminat untuk memberikan komen tentang kesahihan sumpah yang telah mereka lakukan. Penulis menyerahkan sepenuhnya urusan kesahihan sumpah mereka pada Allah S.W.T.

Kes sumpah yang terbaru melibatkan seorang ahli perniagaan dari kelantan,Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyembur bahan berbahaya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad. Beliau tampil mempertahankan dirinya di mahkamah dengan membuat pengakuan sumpah menggunakan nama Allah. Menurutnya,tindakan bersumpah dengan nama Allah itu dibuat berikutan perbicaraannya telah selesai dan hukuman telah dijatuhkan namun merasakan dirinya dianiaya.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Maidah,ayat 89 yang mana bermaksud:
"Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,atau memberi pakaian untuk mereka,atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda Yang tersebut),maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Jaga dan peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama) supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan firman Allah tersebut boleh disimpulkan bahawa sesiapa yang melanggar sumpah ghamus (dusta) ataupun bukan ghamus maka dia wajib mengkafarahkannya. Dia boleh memilih salah satu daripada tiga perkara berikut:

1. Membebaskan seorang hamba yang beriman,lelaki atau perempuan. Hal ini dilakukan jika si pelaku sumpah memiliki hamba.

2. Memberi makan sepuluh orang fakir miskin. Setiap orang miskin diberikan secupak makanan asasi yang menjadi kebiasaan negeri tersebut. Secupak ialah kadar yang diketahui umum yang lebih kurang seberat 600 gm. Setiap orang miskin itu wajib diberikan hak milik terhadap apa yang telah disebutkan dan tidak memadai dengan menjemput mereka datang makan tengah hari ataupun makan malam ataupun yang seumpamanya.

3. Memberi Kiswah (pakaian) untuk sepuluh orang fakir miskin dengan pakaian yang biasanya dipakai. Secara kebiasaannya Kiswah terdiri daripada baju,seluar,stokin dan penutup kepala dalam apa bentuk sekalipun. Semuanya ini dinamakan Kiswah.

Sekiranya dia tidak mampu untuk memenuhi mana-mana satu daripada tiga perkara ini disebabkan dia seorang yang susah maka dia wajib berpuasa tiga hari. Tidak disyaratkan berturut-turut bahkan dibenarkan dia memisahkannya (menyelang harinya).


Sumber : Darussyifa' Online
Blog Salman Maskuri
Harakah Online

Pedoman Buat Blogger



Era 90an boleh dikatakan waktu awal kemunculan blog di laman maya. Mengikut sumber yang diperolehi blog yang paling awal wujud adalah halaman What's New melalui browser Mosaic yang dihasilkan oleh Marc Anderson pada tahun 1993. Mosaic adalah browser pertama sebelum adanya Internet Explorer seperti mana yang terdapat di komputer para pembaca sekalian.

Bilangan mereka yang menggunakan blog bertambah pesat dari semasa ke semasa. Walaupun begitu,isi blog-blog yang dihasilkan tidak serupa. Ada yang menggunakan blog sebagai coretan pengalaman hidup,ada juga sebagai tempat meluahkan pendapat,ada pula yang menjadikan ianya sebagai tempat menyebarkan berita yang tidak diyakini kesahihannya atau berunsur fitnah.

Walau apa sekalipun tujuannya blog dihasilkan yang paling penting ialah ianya tidak menyalahi syari'at dan sebaik-sebaiknya blog yang dihasilkan berunsurkan dakwah,menyeru manusia pada kebaikan dan mendekatkan diri pada Yang Maha Pencipta. Seperti mana disebutkan di Surah Al-'Asr ayat 2 dan 3. "Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran".

Dewasa ini,kita lihat banyak blog-blog yang dihasilkan berbentuk ulasan isu semasa yang tidak kita yakini kesahihannya. Tambahan pula perkhabaran berita daripada media-media negara kita sekarang ada yang tidak mengikut fakta sebenar. Sesetengahnya menyeleweng untuk disesuaikan mengikut kehendak pihak-pihak yang tertentu. Sedarkah kita bahawa sesuatu berita yang tidak benar jika disebarkan di blog akan membawa kepada tersebarnya khabar angin secara meluas sekaligus mendatangkan dosa yang berlipat ganda kepada si pemilik blog.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hujurat,ayat 6,"Wahai orang yang beriman,jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya,supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini,dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan".

Lebih-lebih lagi jika berita yang dipaparkan berbentuk fitnah. Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru,dosa itu tidak akan diampunkan Allah,melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Fitnah yang membabitkan seorang sahaja pun sudah menjadi satu beban pada si pemfitnah untuk mendapatkan kemaafan,apatah lagi jika ianya membabitkan kelompok manusia yang ramai.Sabda Rasulullah S.A.W. yang mana bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Bak kata pepatah,siapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya. Sama-sama kita muhasabah diri dan berubah. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan rahmatNya.

Sabtu, 16 Januari 2010

Tragedi Yang Pasti



Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Kadangkala pertukaran hari sudah tidak disedari lagi dek penumpuan minda pada hal-hal yang dilalui seharian. Putaran roda waktu akan terus berpusing seiring dengan keta'atannya pada Yang Esa. Akan tetapi perlu diingat bahawa semua yang wujud akan binasa. Semua yang bergerak akan terhenti. Melainkan Allah S.W.T,Tuhan pencipta pada segala yang wujud. Seperti mana yang tercantum dalam ayatNya “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)

Seperti mana semua makhluk yang wujud begitu jugalah alam yang sedang kita tatapi sekarang. Ia juga tidak selama-lamanya wujud. Satu ketika akan berlaku peristiwa yang jauh lebih tragis daripada gempa bumi yang berlaku di Haiti dan jauh lebih dahsyat daripada banjir yang berlaku di Brazil baru-baru ini. Satu kejadian yang tidak dapat digambarkan minda akan tetapi ianya pasti berlaku. Disebutkan juga dalam firmanNya "Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang,tidak ada keraguan padanya." (QS Al Hajj: 7)

Lebih 1400 tahun yang lampau Rasulullah pernah bersabda bahawa umur dunia daripada zamannya sehingga kini seakan-akan jarak antara jari telunjuk dan jari tengahnya sahaja. Pada zamannya juga,ketika peristiwa Isra' Mi'raj,Rasulullah S.A.W. telah melihat seorang yang sangat tua sehingga berbongkok tiga,dijelaskan oleh malaikat itulah gambarannya umur dunia pada ketika itu.

Pada ketika itu pun sudah digambarkan bahawa dunia sudah tua,apatah lagi setelah 1400 tahun berlalu. Sedarlah wahai sang manusia. Dunia yang sedang kita nikmati ini hampir sampai ke penghujungnya. Tanda-tanda kecil semuanya sudah berlaku dan tanda-tanda besar pula sudah menyusul sedikit demi sedikit seperti mana bencana alam yang kita lihat kini makin kerap berlaku.
Disebutkan dalam Hadith, "kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan." (Riwayat Bukhari)

Adakah kita hendak menunggu sehingga terbitnya matahari secara songsang yang secara 'automatik' menutup terus pintu taubat? Setelah tibanya saat itu taubat sudah tidak berguna lagi. Pada awal tahun ini juga telah berlaku satu fenomena alam yang pelik di mana gerhana bulan dan matahari berlaku dalam jangka masa yang berdekatan. Gerhana bulan pada 1 Januari diikuti gerhana matahari pada 15 Januari. Satu jarak masa antara gerhana yang amat janggal berbanding gerhana-gerhana yang pernah berlaku sebelumnya. Apakah ianya petanda saat kehancuran makin hampir?? Fikir-fikirkanlah sendiri dan bertaubatlah sebelum terlambat.