Rabu, 28 Januari 2009

TahuN bAru CinA~~


Tahun Baru Cina merupakan satu perayaan yang penting bagi kaum Cina dalam menyambut tahun baru mengikut Kalendar Qamari Cina yang mana terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Tahun Baru Cina juga melambangkan permulaan dalam nasab dan kehidupan. Menjelang perayaan tersebut kaum Cina akan membersihkan rumah masing-masing serta membayar dan mengutip segala hutang-piutang agar masalah hutang mereka tidak berlarutan sehingga masuknya tahun baru.

Pada waktu malam mercun akan di bakar bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau puaka serta nasib malang. Rumah-rumah mereka pula akan dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau. Tahun Baru Cina pula akan mereka raikan dengan jamuan-jamuan yang menyelerakan (bagi dorang la) seperti ‘yee sang’ dan kuih bakul. Kaum keluarga mereka akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin.

Golongan muda akan melawat golongan tua dan menerima wang ‘ang pau’ dalam sampul merah untuk melambangkan nasib baik yang diberikan oleh orang yang sudah berkeluarga pada yang sebaliknya. Selain itu, pertunjukkan tarian naga dan singa juga akan diadakan diikuti dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas berlangsungnya Tahun Baru Cina akan disambut pula perayaan Chap Goh Mei sebagai menamatkan Tahun Baru Cina.

Tahun Baru Cina bukan sahaja disambut oleh kaum Cina di merata dunia malah turut dirayakan juga oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong Cina) yang dipengaruhi oleh Cina dari sudut kebudayaan dan keagamaan. Oleh kerana itu juga mereka turut memakai calendar qamari Cina seperti mana kaum Cina. Walau bagaimanapun kita selaku mereka yang bergelar Islam di larang sama sekali untuk turut serta dalam menyambut perayaan mereka.

Larangan daripada kita menyambut perayaan orang kafir selain daripada menuruti dalil-dalil yang sahih juga adalah kerana mengelakkan kesan-kesan yang negatif pada umat islam itu sendiri. Antaranya ialah orang kafir akan merasa bangga dan senang dengan perbuatan kita yang menyokong perbuatan mereka yang batil tersebut. Mereka akan merasakan bahawa perayaan agama mereka juga disukai oleh agama-agama lain lebih-lebih lagi agama Islam yang sudah dikenali dengan kemurnian dan kesucian akidahnya.

Di samping itu, sikap kita dalam menyambut perayaan mereka secara tidak langsung akan memberi sedikit sebanyak kesan yang buruk pada akidah kita. Walaupun kita hanya sekadar ingin meraikan mereka tanpa mempedulikan apa yang terkandung di dalam ajaran mereka tapi disebabkan pendedahan kita pada suasana perayaan mereka, patung-patung sembahan mereka yang tidak dapat tidak akan menjadi santapan mata kita ketika berkunjung ke rumah-rumah mereka akan memberi pengaruh pada keteguhan iman kita.


Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (bagi kamu), sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”

(Surah Al-Qasas, ayat 51)


Ayat tersebut ialah dalil yang mana menjadi bukti bagi kita yang mengakui Allah SWT sebagai Tuhan dan Rasulullah SAW sebagai ikutan bahawa tidak dibolehkan untuk kita meraikan perayaan atau pun hari kebesaran yang mana bukan datangnya daripada Islam. Begitu juga dengan menghadiri dan turut sama membantu untuk menjayakan perayaan tersebut.

Di larang juga bagi kita untuk mengucapkan selamat ke atas hari kebesaran mereka seperti selamat Tahun Baru Cina, Merry Christmas dan sebagainya kerana ianya seakan-akan kita merelakan perayaan batil yang mereka raikan selain menerbitkan rasa gembira di hati mereka atas ucapan selamat yang kita berikan.


Ibnu Qayyim Rahimahullah pernah berkata:-

"Mengucapkan selamat terhadap syiar dan simbol khusus orang kafir sudah disepakati keharamannya seperti memberi ucapan selamat atas hari raya mereka, puasa mereka dengan mengucapkan, "Selamat hari raya dan yang seumpamanya meskipun pengucapnya tidak terjerumus ke dalam kekufuran, namun ia telah melakukan keharaman yang besar, kerana sama sahaja kedudukannya dengan mengucapkan selamat atas sujudnya mereka kepada salib. Bahkan di hadapan Allah, hal ini lebih besar dosanya daripada orang yang memberi ucapan selamat kapada peminum khamar, pembunuh, penzina dan sebagainya. Dan banyak sekali orang Islam yang tidak memahami ajaran agamanya, akhirnya terjerumus ke dalam hal ini, ia tidak menyadari betapa besar keburukan yang telah ia lakukan. Dengan demikian, barang siapa memberi ucapan selamat atas kemaksiatan, kebid'ahan dan lebih-lebih lagi kekufuran, maka ia akan berhadapan dengan murka Allah"


Begitulah betapa betapa beratnya kesalahan bagi mereka yang turut sama mengucapkan selamat ke atas perayaan kaum kafir. Moga-moga dengan sedikit perkongsian ilmu daripada penulis ini dapat meningkatkan kefahaman pembaca tentang baik buruk menyambut perayaan kaum kafir seterusnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah SWT.

Khamis, 22 Januari 2009

6 Jenis Wanita


Jangan engkau kahwini wanita yang enam. Jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah. Jangan engkau kahwini juga wanita yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.

Wanita Ananah:

Banyak mengeluh dan mengadu. Tiap saat mengolok-olokkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:

Suka membangkit-bangkitkan sesuatu perkara terhadap suami. Wanita jenis ini sering mengatakan, "Aku melakukan itu keranamu".

Wanita Hananah:

Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain. Yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya daripada suami yang lain.

Wanita Hadaqah:


Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap-tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:


Ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari megilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkan sebahagiannya.

Wanita Syadaqah:

Banyak mengatakan sesuatu yang tidak menentu.


Dicatat oleh Imam Ghazali


Dipetik daripada Buletin An-Naba'

Peliharalah Dirimu Wahai Wanita~


Satu ketika dahulu, sebelum datangnya Islam menyinari kehidupan manusia, pelbagai perilaku buruk telah di jadikan amalan. Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang membawa kepada kerosakan dan mudharat yang teruk. Manusia pada waktu itu tidak mempunyai sesuatu yang boleh di jadikan panduan untuk hidup mereka. Oleh yang demikian, mereka menetapkan sesuatu keputusan dalam kehidupan seharian mereka secara menuruti hawa nafsu sepenuhnya.

Antara perkara buruk yang diamalkan oleh mereka pada waktu itu ialah eksploitasi terhadap wanita atau menyalah gunakan wanita. Zaman di mana dikatakan manusia tidak mempunyai panduan ini di gelar zaman The Dark Age atau lebih dikenali dengan zaman jahiliah. Wanita pada ketika itu tidak lebih daripada menjadi pemuas nafsu bagi kaum lelaki. Kaum wanita juga dianggap sebagai barang perniagaan kerana mereka dijadikan sebagai alat tukaran untuk mendapatkan sesuatu barangan. Pendek kata semuanya bertujuan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Pada zaman tersebut penganiayaan yang dikenakan ke atas kaum wanita sangat dahsyat sehingga disebutkan bila mana sesebuah keluarga ingin mengahwinkan anak perempuan mereka maka mereka akan mengiklankan anak perempuan mereka pada khalayak umum terlebih dahulu. Kemudian di sarankan pada yang berminat agar berdaftar dengan pihak keluarga tersebut. Pendaftaran akan di tutup apabila di rasakan bilangan sudah mencukupi. Selesai sudah proses tersebut maka dikehendaki pada semua yang berdaftar agar menyetubuhi anak perempuan keluarga tersebut.

Apabila satu ketika nanti perempuan tersebut mengandung dan melahirkan anak maka akan di tilik wajah anak tersebut untuk memastikan wajah lelaki manakah yang paling seiras dengan anak tersebut dan dari situlah ditentukan lelaki mana yang paling layak untuk menjadi suaminya. Alangkah jijik dan hinanya sistem perkahwinan yang digunakan pada zaman tersebut, wanita diperlakukan seakan-akan langsung tidak bermaruah kerana diperalatkan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan, kesucian wanita tersebut dan sebagainya.

Walaupun begitu keturunan junjugan besar kita Nabi Muhammad SAW bebas daripada kejelekan sistem tersebut kerana tidak dikahwinkan mengikut sistem jahiliah dan begitu jugalah sistem yang diamalkan turun temurun sehinggalah zaman kita kini. Sama-samalah kita bersyukur kerana dengan datangnya Islamlah keturunan kita bersih daripada anasir-anasir buruk tersebut seterusnya lahirlah kita semua melalui hubungan perkahwinan yang sah.

Apabila terbit sahaja fajar Islam maka semuanya berubah. Segala keburukan serta kerosakan yang dilakukan oleh umat manusia ketika zaman jahiliah telah ditinggalkan. Yang diamalkan ialah syariat-syariat Islam yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT. Maruah serta kehormatan wanita diangkat dan dipelihara sebaik-baiknya. Perkara yang paling dibanggakan ialah syurga yang dikatakan terletak di bawah kaki seorang ibu yang mana juga seorang wanita.

Tidak wujud lagi wanita yang dijadikan sebagai alat perniagaan. Wanita sudah tidak digunakan dan dianiaya sesuka hati malah mereka yang di didapati mengganggu keamanan seseorang wanita akan ditangkap serta dibicarakan. Zaman inilah yang dikatakan zaman kegemilangan Islam atau dengan nama lain zaman Enlightment Age. Wanita tidak lagi dapat di sentuh sesuka hati. Pemakaian wanita juga di tetapkan tatasusilanya agar tidak membangkitkan nafsu lelaki. Pergaulan antara lelaki dan wanita di tetapkan hadnya agar tidak terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.

Tetapi alangkah sayangnya, menjelang akhir zaman wanita seakan-akan hendak dikembalikan pada zaman jahiliah semula. Zaman yang boleh dikatakan zaman gelap bagi kaum wanita kerana dipergunakan sesuka hati. Sebagai bukti, lihat sahaja iklan-iklan yang dipaparkan di televisyen. Kebanyakannya menggunakan kaum wanita sebagai alat penarik dengan menampilkan diri dalam keadaan memakai pakaian yang mendedahkan aurat. Jika dilakukan pengiraan secara teliti memang jelaslah jauhnya nisbah penggunaan wanita sebagai pelakon sesuatu iklan berbanding lelaki.

Pemakaian secara mendedah aurat pula telah dianggap 'up to date' oleh sesetengah pihak dan diamalkan oleh muda-mudi. Mereka mengganggap pemakaian tersebut sebagai sesuatu yang mengikut 'trend' semasa sedangkan kefahaman tersebutlah yang merosakkan mereka seterusnya membawa mereka jauh daripada memperagakan busana muslimah sejati dalam kehidupan seharian mereka. Dalam masa yang sama kita tidak menafikan semua itu adalah perancangan barat dalam merosakkan muda-mudi Islam.

Oleh itu, ayuh kita sama-sama sedarkan mereka yang masih tidur. Mereka yang masih hanyut dengan kefahaman barat. Khabarkan pada mereka bahawa wanita ketika ini berada dalam zon bahaya. Ingatkan mereka pada nasib wanita suatu ketika dahulu. Wanita akan kembali pada zaman gelapnya jika perubahan tidak dilakukan. Serlahkan harga dirimu wahai wanita, buktikan pada dunia bahawa kamu semua adalah kaum yang bermaruah, jangan sampai sejarah silam berulang kembali.


Diolah daripada Buletin An-Naba'

Isnin, 19 Januari 2009

Amanat Sheikh Ahmad Yasin


Berikut adalah kalam yang sempat diutarakan oleh Sheikh Ahmad Yasin, mantan Presiden HAMAS sebelum perginya beliau ke rahmatullah akibat tujahan roket daripada tentera Israel laknatullah selepas usainya beliau mengerjakan solat subuh. Walaupun kata-katanya kelihatan ditujukan pada bangsa Arab tapi anggaplah kita juga seperti bangsa tersebut dari sudut kelemahan-kelemahan yang disebutkan oleh beliau. Sama-samalah kita ambil iktibar...

Sheikh Ahma
d Yasin yang begitu kecewa dan sedih dengan bangsa Arab telah berkata:

"Tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?

Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini).

Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi rodaku). Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kalian diam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa.

Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu golongan pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah... Tiada satu pun kumpulan (daripada kalangan kalian) yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia kepada golongan yang dianiaya dan dizalimi oleh pembunuh dan penjenayah serta pengganas... Tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami.

Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat Islam membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan beban kami.

Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan;

"Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan tulang-temulang mereka, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!"

Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar berita tentang peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati dalam keadaan melarikan diri. Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih, kerana ketahuilah bahawa kami akan tetap mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahidin dan syuhada'.

Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan kejadian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

Kami juga berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini."

Bangkitlah wahai umat Islam sekalian!

Sampai bila lagi mahu berdiam diri!

Sama-sama kita bangkit membela saudara-saudara Islam kita semampu yang mungkin!


Boikot barang-barang Israel!!!



Rujukan: Buku Gerakan Freemasonry Orientalisme Kristianisasi oleh Hj. Nik Azran Muhamed
dan Hj. Mohd Mahadi Hj. Isa

Khamis, 15 Januari 2009

Berikan Pilihan Yang Tepat!


Tanggal 17 Januari 2009 bakal menyaksikan satu pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu. Calon-calon yang bakal diundi datangnya daripada PAS, BN dan Bebas. Mereka ialah Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Azharudin Mamat daripada Bebas. Walau apa pun natijah daripada pilihan raya tersebut harapnya calon yang terpilih ialah seorang yang ta'at melaksanakan syari'at Islam serta mampu untuk mengajak rakyat di bawah pimpinannya turut sama akur dengan panduan yang telah digariskan oleh Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Kewajipan melantik pemimpin yang adil dan melaksaksanakan syari'at Islam adalah satu tanggungjawab yang tidak dapat tidak perlu dilaksanakan oleh mereka yang sudah layak untuk memilih pemimpin atau lebih tepatnya mengundi. Perkara tersebut adalah penting kerana seseorang khalifah atau pemimpin dalam sesebuah kawasan memainkan peranan yang penting untuk memastikan rakyatnya tetap teguh dengan ajaran Islam khususnya dan memastikan segala keperluan atau kebajikan terjaga dengan baik umumnya.

Maka tidak hairanlah Islam sangat memuliakan dan menjunjung tinggi pemimpin yang adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil"

(Riwayat Tarmizi)

Oleh kerana itu maka Islam telah menggariskan kriteria-kriteria seseorang calon yang layak untuk dipilih atau diundi bagi sesebuah kawasan tersebut. Antaranya ialah:

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.

2 . Adil . Sifat ini sangat perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin umat islam,ekoran peri pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ianya adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak di muka bumiNya ini. Sebagaimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar dalam memimpin umat Islam.

3 . Berilmu. Golongan 'ulama dan 'umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah. Pelaksanaan hukum Allah di sesebuah kawasan yang dipimpin adalah sesuatu yang wajib. Walaupun ianya adalah suatu perkara yang sukar dan pastinya akan mendapat tentangan pelbagai pihak hakikatnya pelaksanaan hukum Islam oleh seseorang pemimpin adalah wajib dalam rangka untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim. Adalah menjadi satu kesalahan yang besar apabila adanya pemimpin yang menyalah gunakan harta rakyat dengan menyalurkan harta tersebut untuk kepentingan peribadi atau pada pihak-pihak tertentu yang mana sepatutnya digunakan untuk kebajikan dan keperluan rakyat secara adil. Justeru itu apabila didapati adanya sifat ini pada seseorang calon yang hendak dipilih maka tinggalkanlah.

Sukalah penulis mempersembahkan sebuah kisah yang insyaAllah dapat menjadi panduan dan kayu ukur dalam memilih seorang pemimpin yang benar-benar ideal untuk rakyat bersesuaian dengan pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di negara kita tidak lama lagi.

Telah dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz ketika di tanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam. Katanya:" Sesungguhnya Allah telah menjadikanpara imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.

Dia jugalah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan di atas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya. Dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya.

Menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-sekali menghukum dengan cara jahiliah danmengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar dalam menindas golongan lemah, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Begitulah syakhsiah atau pun ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati yang telah di sebutkan secara panjang lebar oleh Amirul Mu'minin Umar bin Abdul Aziz dalam kisah tersebut. Dengan itu maka amatlah diharapkan agar pembaca dapat mengetahui dan memahami dengan jelas kriteria-kriteria penting yang perlu ada oleh seseorang pemimpin dan seterusnya dapat diaplikasikan kefahaman tersebut untuk menentukan pemimpin yang benar-benar berkelayakan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu khususnya dan pilihan raya-pilihan raya yang akan datang umumnya.

Wabillahit taufiq..

Isnin, 12 Januari 2009

Sanggupkah Anda??



Sanggupkah anda menjadi pembunuh pada umat Islam sendiri?

Sanggupkah anda menjadi penyumbang kepada peluru-peluru tentera Israel?


Sanggupkah anda membiayai bom-bom dan kereta kebal-kereta kebal milik Israel laknatullah?


Kalau sanggup,

Teruskan membeli produk-produk boikot tersebut.

Tapi..

Jangan salahkan sesiapa,

Apabila di akhirat nanti,

Allah persoalkan tentang,

Kezaliman yang kamu lakukan,

Terhadap..

Saudara seagama kamu sendiri!!!

Laluan Sulit Sempadan Gaza-Mesir


Kebiasaanya kebanyakan negara-negara di dunia menggunakan terowong sebagai laluan kenderaan-kenderaan untuk melalui jalan raya yang perlu menempuhi bukit, gunung dan sebagainya. Akan tetapi jika diperhatikan terowong-terowong yang digunakan di Palestin lain pula keadaannya.

Terowong-terowong di Palestin banyak digunakan untuk menghantar segala apa barang-barang keperluan untuk Palestin tidak kiralah barang makanan, binatang ternakan, senjata-senjata untuk peperangan dan sebagainya.

Terdapat lebih 750 terowong di bawah bumi Gaza dan satu daripadanya yang telah diketahui Israel di kenali sebagai Koridor Philadelphia. Terowong yang biasa digunakan untuk penyeludupan barangan pengguna panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter dengan kedalaman antara 15 hingga 30 meter.

Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan melalui terowong-terowong tersebut bernilai RM128 juta. Jaringan bawah tanah ini juga menjadi sumber pendapatan dan senjata yang agak besar bagi Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.

Terowong-terowong yang di bina di Palestin semuanya berada di bawah tanah. Ianya di bina untuk merentasi sempadan Gaza-Mesir yang telah di kawal ketat oleh tentera-tentera Israel. Bagi Hamas, terowong adalah paksi kekuatan tentera mereka.

Selain daripada terowong Koridor Philadelphia yang sudah diketahui Israel, masih ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir. Terowong-terowong bawah tanah di Gaza bukanlah baru di bina malah terowong-terowong tersebut memiliki sejarah yang panjang. Ianya di bina bertahun-tahun dahulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan.

Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong ini dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas. Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.

Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat untuk membekalkan mereka dengan jurutera tentera yang mampu untuk membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphia. Amerika Syarikat bersetuju dengan permintaan tersebut walaupun masih tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran atau tidak.

Ketakutan Israel pada terowong di Gaza yang dikatakan semakin banyak di buka jelas menyerlah apabila mereka meminta pihak berkuasa antarabangsa untuk memantau gencatan senjata. Malah Israel juga pernah cuba untuk memusnahkan jaringan bawah tanah ini dengan bom jenis bunker-busting (bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah) yang dibekalkan oleh pihak Amerika.

Perkara yang lebih membawa kebimbangan pada Israel ialah apabila sayap bersenjata Hamas, Briged Izz Al-Din Al-Qassam menggunakan terowong sebagai laluan tentera. Beliau dikatakan telah menghantar ribuan tentera pejuang untuk berlatih di Iran dan Lubnan melalui terowong yang telah Berjaya digunakan oleh Hizbullah semasa menentang Israel pada tahun 2006.

Menurut seorang Komander Hamas, satu daripada pelajaran yang boleh diambil dengan penggunaan terowong ialah ianya mengurangkan risiko yang diambil apabila menyerang balas.

“Jangan ledakan bom di situ, gali terowong dan gunakan wayar peledak bagi membolehkan misil dilancarkan dari jauh. Jadi Hamas hanya akan kerugian tiub atau alatan menembak yang hanya berharga RM30.20 dan bukan pejuang,” katanya.

Rangkaian persenjataan Hamas termasuk misil yang dihasilkan di Gaza dan roket tiruan Russia yang dihasilkan di China semuanya diseludup melalui sempadan Gaza-Mesir selain mortar, mesingan, bom, pelancar roket dan pelbagai senjata perang lain yang telah diubah suai. Hamas juga telah mewarisi stok senjata infantri Amerika Syarikat dan imunisasi yang ditinggalkan Fatah apabila pejuangnya keluar dari Gaza pada tahun 2007.


# Sumber Rujukan:- Berita Harian, 11 Januari 2009

Sabtu, 10 Januari 2009

Serangan Hacker Terhadap Israel


Dalam keghairahan tentera-tentera Israel menyerang dan meratah penduduk-penduduk Palestin dengan bom, roket dan sebagainya dalam masa yang sama hacker-hacker dari seluruh dunia juga turut serta melancarkan serangan secara beramai-ramai melalui laman maya. Dikatakan 10,000 laman-laman Israel telah dirosakkan. Banyak daripada laman-laman Israel telah diletakkan dengan video-video, foto-foto dan slogan-slogan yang mengatakan tentang keburukan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Israel.

Apakah yang dimaksudkan dengan hacker? Adakah ianya sejenis perkakasan komputer atau salah satu jenama skrin komputer yang terkenal di kalangan peminat komputer? Kalau itulah yang difikirkan oleh para pembaca maka sungguh jauhlah telahan pembaca sekalian daripada apa yang difikirkan penulis. Telahan pembaca tersebut akan menjadi lebih jauh daripada kebenaran sekiranya ada di kalangan pembaca yang menyangka hacker adalah sejenis binatang, makanan dan sebagainya.

Ketahuilah pembaca sekalian bahawa hacker atau dalam penggunaan bahasa melayunya penggodam ialah seseorang yang
mencipta dan mengubah suai perisian dan perkakasan komputer termasuklah pengaturcaraan komputer, pentadbiran, dan urusan-urusan yang berkaitan dengan keselamatan. Fungsi dan kesan kewujudan seseorang hacker ialah fleksibel mengikut apa yang dilakukan oleh hacker tersebut dengan kemahiran yang dimilikinya.

Menurut ilmu komputer yang sempat difahami penulis, hacker terbahagi kepada dua jenis. Hacker yang menggodam pengatur caraan komputer dan hacker yang menggodam keselamatan komputer. Hacker pengatur caraan komputer ialah hacker yang menggodam atau mencapai sesuatu matlamat dengan mengubah suai sesuatu kod atau sumber sesuatu perisian komputer manakala hacker keselamatan komputer pula ialah hacker yang menggodam sesuatu mekanisme keselamatan sistem dan rangkaian komputer.

Hacker yang melakukan pencerobohan dan pengubah suaian tehadap laman-laman Israel seperti yang diceritakan penulis termasuk dalam jenis hacker keselamatan komputer. Hacker jenis ini kebiasaannya akan memecah masuk rangkaian-rangkaian yang mempunyai sistem keselamatan yang ketat dengan kod-kod tertentu yang hanya difahami oleh mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Sebahagian daripada mereka yang tidak beretika akan memecah masuk sistem-sistem keselamatan bank, kerajaan, pentadbiran sesebuah organisasi dan sebagainya untuk kepentingan peribadi.

Surat khabar Asyarq Al-Awsat yang diterbitkan di London dalam satu beritanya menyebut para hacker yang merosakkan laman-laman Israel itu kebanyakannya datang dari Libanon, Morocco, Iran dan Turki. Sementara laporan daripada salah satu siaran radio Israel menyebutkan bahawa target atau matlamat utama mereka ialah laman perusahaan dan lembaga pemerintahan Israel termasuk laman Jabatan Pertahanan Israel dan Israel Discount Bank.

Seorang daripada hacker yang menggunakan
T@ke Sn!per sebagai nama samarannya di alam maya mengatakan bahawa kumpulannya telah berjaya menggodam lebih daripada 30 laman Israel. Antaranya laman-laman pemerintah Israel tidak terkecuali laman-laman bank dan parti politik Israel. Laman-laman akhbar Israel seperti Maariv dan Yediot Aharonot juga tidak luput daripada serangan para hacker. Para hacker memasang foto-foto warga Palestin yang menjadi korban keganasan Israel dan foto-foto warga Iraq yang menjadi korban kekejaman penjara-penjara AS di laman-laman yang menjadi mangsa.

# Sumber Rujukan:- http://www.arrahmah.com/index.php/news/read/3014/hacker-di-berbagai-negara-rusak-10000-situs-israel

Selasa, 6 Januari 2009

Berpuasalah Kamu Pada Hari 'Asyura..


Alhamdulillah dengan kemurahan hati dan rahmat dariNya kita masih lagi mampu untuk bernafas pada bulan Muharram tahun 1430 Hijriah ini sekaligus meneruskan lagi perjuangan hidup di dunia yang fana' ini. Moga-moga dengan kehidupan kita yang masih berbaki ini dapat kita gunakan sepenuhnya untuk berbakti pada agama kita yang tercinta.

Hari yang paling bertuah atau yang paling istimewa dalam bulan Muharram ialah Hari Asyura yang mana jatuhnya pada hari ke-10 dalam bulan Muharram. Pelbagai peristiwa-peristiwa penting pernah berlaku pada tarikh tersebut seperti terciptanya Nabi Adam a.s., dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta, selamatnya Nabi Ibrahim daripada api Namrud dan sebagainya. Kalau di negara kita pula bubur 'asyura sudah pastinya menjadi hidangan yang lazim disediakan dalam meraikan hari tersebut.

Tanpa melupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku itu kita juga disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah mengikut Mazhab Hanafi puasa pada hari ke-10 dalam bulan Muharram itu adalah puasa yang pertama difardhukan sebelum daripada difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.

Rasulullah bersabda:-

"Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya"

(Riwayat Imam Muslim)

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada tarikh tersebut maka disunatkan juga pada kita untuk berpuasa pada hari yang ke-9 bagi mengelakkan persamaan antara puasa kita selaku orang islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi. Jika kita tidak berkesempatan untuk berpuasa pada hari yang ke-9 maka masih boleh untuk kita menggandingkan puasa kita pada hari yang ke-10 itu dengan hari yang ke-11.

Sabda Rasulullah S.A.W:-

"Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura (10 Muharram), dan bezakan kamu dengan orang-orang yahudi (yang hanya berpuasa hari ke-10 Muharram sahaja), hendaklah kamu berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya"

Para ulama' membuat kesimpulan mengenai kajian-kajian yang mereka lakukan tentang puasa pada pada hari 'Asyura dengan berpuasa pada hari tersebut melalui 3 kaedah.

1. Berpuasa pada 3 hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.

2. Berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.

3. Berpuasa pada hari ke 10 Muharram sahaja.


Adapun orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 pada bulan Muharram ialah untuk mengagungkan hari tersebut kerana pada hari itulah Allah S.W.T memberi kemenangan pada Nabi Musa a.s dan Bani Isra'el ke atas Fir'aun. Seperti mana disebutkan dalam hadith:-

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa daripada kamu”

Berpuasa pada hari 'Asyura juga sangat diutamakan oleh Rasulullah S.A.W.

Abu Hurairah r.a berkata:

"Seorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W. 'Solat manakah yang lebih utama setelah solat fardhu? 'Nabi S.A.W. bersabda, 'Solat di tengah malam. 'Mereka bertanya lagi, 'Puasa manakah yang lebih utama setelah puasa Ramadhan?' Nabi S.A.W. bersabda, 'Puasa pada bulan Allah yang kamu namakan bulan Muharram."

(Riwayat Imam Muslim dan Imam Abu Daud)

Sama-samalah kita berpuasa pada hari 'Asyura. Mudah-mudahan dengan segala fadhilat yang kita perolehi daripada puasa kita pada hari tersebut akan bertambah beratlah timbangan amal baik kita dan berkurangnya berat timbangan amal buruk kita ketika semua amalan kita di timbang kelak.

Isnin, 5 Januari 2009

Dah Bayar Hutang Belum Nih??


Apabila bercerita mengenai hutang pasti pelbagai bayangan akan timbul di benak para pembaca. Tidak kiralah sama ada bayangan mengenai ‘along’, kawan dia yang suka berhutang mahu pun hutang dia sendiri yang masih belum di langsaikan. Secara psikologinya manusia mudah mengambil hutang apabila berada dalam kesempitan wang tanpa memikirkan kepayahan pada dirinya hendak membayar kembali hutang tersebut.

Sebelum pergi lebih jauh ada baiknya kita ketahui dahulu definisi hutang. Hutang adalah memberikan sesuatu yang menjadi hak milik pemberi pinjaman kepada peminjam dengan pengembalian di kemudian hari dengan jumlah yang sama. Sebagai contoh, jika peminjam di beri pinjaman RM1000 maka suatu hari nanti peminjam perlu mengembalikan wang sejumlah RM1000 juga.

Hukum hutang di sisi islam adalah fleksibel bergantung pada situasi atau keadaan. Pada asalnya hukum berhutang adalah sunat jika ianya dilakukan dalam keadaan biasa akan tetapi hukumnya akan beralih kepada haram andai kata bercampur padanya unsur-unsur mungkar seperti meminjamkan wang untuk membeli dadah, menyewa pelacur dan sebagainya. Hutang juga boleh menjadi sesuatu yang wajib apabila diberikan kepada orang yang sangat memerlukan duit untuk mengubati anaknya yang sakit teruk atau yang sewaktu dengannya.

Memberikan hutang merupakan satu perbuatan yang sangat dianjurkan oleh Allah S.W.T kerana ianya dapat membantu saudara seislam lain mengurangkan beban hidupnya. Walaupun begitu Rasulullah S.A.W tidak menggalakkan umatnya membiasakan diri dengan hutang. Lagi pun amalan berhutang jika ianya terlampau banyak dilakukan dalam satu jangka waktu akan memungkinkan si peminjam menghadapi masalah untuk membayar kembali wang pinjaman sekaligus akan menyusahkan si pemiutang.

Dewasa ini kita lihat telah lahir pelbagai produk pembiayaan islam di pasaran. Orang ramai bukan sahaja dapat membebaskan diri daripada belenggu riba yang dikenakan oleh produk pinjaman konvensional malah dapat memenuhi keperluan-keperluan asas seperti rumah yang boleh kita dapati melalui kaedah jual beli Bai Bithaman Aji.


Firman Allah S.W.T:-

“Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah Al-Ma’idah:2)


Dengan ayat tersebut dapatlah kita kaitkan dengan fungsi institusi perbankan yang ada menawarkan produk kewangan islam yang mana menyediakan kemudahan kewangan bagi umat islam untuk memenuhi keperluan mereka selagi mana tidak bercanggah dengan undang-undang syara’. Tapi jangan kita lupa, walau pada hakikatnya berhutang itu sunat akan tetapi membayar kembali hutang itu tetap suatu perkara yang wajib serta perlu dititik beratkan.


Sabda Rasulullah S.A.W:-

“Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.”

(Riwayat Imam Muslim)


Dalam Hadith lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud:-

“Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan hasrat membayarnya balik nescaya Allah akan menunaikan hasratnya dan barang siapa berhutang dengan hasrat untuk tidak membayarnya balik nescaya Allah membinasakan harta tersebut.”

(Riwayat Imam Bukhari)


Hidup mereka yang tidak membayar hutang tidak akan diredhai dan di berkati Allah S.W.T sebaliknya akan ditimpa kehinaan dan tergolong di kalangan orang-orang yang zalim. Implikasi daripada perbuatan tersebut pula bukan sahaja mengundang kemudaratan kepada pihak yang berhutang malah orang yang memberikan hutang juga turut sama terlibat. Perlu diingat juga walaupun mungkin di dunia si penghutang boleh melepaskan diri daripada si pemiutang tapi tetap tidak akan terlepas daripada hukuman yang dahsyat di akhirat kelak.


Sabda Rasulullah S.A.W:-

“Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”


Oleh itu, kita perlulah sentiasa beringat dan berwaspada sebelum melakukan hutang, pastikan yang kita betul-betul mampu untuk membayar hutang si pemiutang tepat pada masa yang di tetapkan,jangan sampai kita menyusahkan si pemiutang serta tidak perlulah kita berhutang jika keadaan tidak betul-betul memerlukan kita untuk berhutang.

Jumaat, 2 Januari 2009

Tik Tok Tik Tok


Pelik tak tajuk ‘post’ ni? Kalau tak pelik pun buat-buat pelik la ye,letih penulis nak fikir tajuk tu tau,huhu.. Penulis sebenarnya ingin menarik perhatian para pembaca, oleh sebab itulah pada ‘post’ kali ini penulis melakukan satu anjakan paradigma pada tajuk yang pada kebiasaannya di tulis dalam bentuk ayat tetapi pada ‘post’ kali ini tajuknya berbentuk bunyi.

Di dalam sesuatu penulisan atau artikel, tajuk sememangnya memainkan peranan yang besar di dalam menarik perhatian pembaca. Semakin kreatif atau semakin menarik tajuk yang diletakkan oleh penulis pada karyanya maka semakin ramailah yang akan tertarik untuk membaca. Begitulah rumusan secara hipotesisnya.

Yang menjadi persoalannya sekarang ialah bunyi apakah itu? Haa fikir-fikirkanlah wahai pembaca budiman sekalian.. Adakah ianya bunyi ketukan dram? Atau adakah ianya bunyi ketukan jari pada pintu? Penulis tidak mahu mempedulikan walau apa sekalipun bunyi yang difikirkan oleh pembaca sekaligus mengkhabarkan terus bahawa bunyi yang dimaksudkan oleh penulis ialah bunyi gerakan jarum jam.

Secara jelasnya penulis tidaklah berniat untuk membicarakan tentang sejarah jarum jam, bahan yang selalu digunakan untuk menghasilkan jarum jam, berapa lamakah tempoh lupus jarum jam apabila dibuang dan sebagainya akan tetapi penulis ingin menceritakan sesuatu yang berkaitan dengan masa.

Seperti yang sudah pembaca maklum, Allah S.W.T pernah bersumpah dengan masa pada ayat yang pertama di Surah Al-Asr. Perkara yang disumpah secara kebiasaannya adalah perkara yang penting. Begitu juga masa. Masa adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan manusia. Firman Allah Ta’ala:-


" Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.
(Surah Al-Asr:1-3)


Intipati daripada ayat tersebut bolehlah disimpulkan bahawa manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian. Masa yang ada terbuang begitu sahaja tanpa diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Kecuali pada manusia yang banyak daripada masanya dihabiskan dengan amal-amal soleh, amal-amal yang boleh membawanya pada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah S.A.W bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".

(Riwayat Imam Tirmizi)


Rasulullah bersabda bahawa pada akhir zaman manusia akan merasakan masa bergerak dengan cepat. Manusia pada akhir zaman akan merasa sukar untuk menyelesaikan kerja-kerjanya pada waktu yang dikehendaki kerana apabila disedari masa sudah jauh berlalu melepasi waktu yang ditetapkan. Sentiasa merasa di buru masa akan tetapi tiada apa yang dapat diselesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ialah dicabut keberkatan daripadanya. Jika difikir-fikirkan kembali memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu kerana dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah salah satu petanda hampirnya qiamat.

Waktu di mana berlakunya keadaan seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W ialah waktu yang sedang kita semua lalui sekarang. Waktu yang sudah berada di ambang kiamat atau lebih dikenali sebagai akhir zaman. Oleh yang demikian, manfaatkanlah waktu yang kita miliki dengan sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa masa yang sudah berlalu tidak akan dapat diundur kembali..