Selasa, 14 Julai 2009

Falsafah Catur

Catur adalah sejenis permainan yang berbentuk pemerintahan. Kebiasaannya mereka yang mahir dalam permainan ini akan dikaitkan dengan kebijaksanaan dan kepintaran dek kerana permainannya yang memang memerlukan ketajaman minda menyusun strategi untuk memerangkap 'king' pihak lawan. Situasi 'king' pihak lawan di perangkap di panggil 'checkmate'.

Kita selaku umat Islam tidak dapat tidak setiap perkara yang dilakukan mestilah menuruti lunas-lunas syara'. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu dipastikan dahulu bahawa ianya dibolehkan atau tidak. Jadi,apakah hukum kita bermain catur? Sudah menjadi satu perkara biasa setiap masalah agama yang di kaji akan wujud di sana lambakan khilaf 'ulama.

Penulis tidak berniat untuk melonggokkan ke semua percambahan khilaf tersebut pada pembaca kerana bimbang ianya akan menjadi seperti satu tesis Phd atau Master. Penulis hanya akan mengambil pendapat seorang 'Ulama besar akhir zaman yang memang sudah tidak asing lagi di kalangan umat Islam yang di kenali dengan nama Dr. Yusof Al-Qaradhawi.

Beliau mengatakan dalam kitabnya Al-Halal Wal Haram bahawa hukum bermain catur adalah mubah atau harus dengan syarat tidak melambat-lambatkan solat,tidak di sertai judi dan pemainnya menjaga lisan daripada omongan kosong. Mengikut pengetahuannya tidak ada dalil khusus yang menyatakan keharaman bermain catur dengan sebab ianya melebihi daripada perkara yang berkait dengan hiburan.

Hiburan di sisi islam tidaklah haram selagi mana ianya tidak menyalahi syara' dan merosakkan perkara-perkara yang wajib. Permainan tersebut jika diperhatikan dengan teliti sebenarnya terdapat pengajaran-pengajaran dan perkara-perkara yang boleh di kaitkan dengan keadaan-keadaan semasa.

Catur mengajar kita agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan kerana dalam permainan tersebut walau berlaku kesilapan hanya dengan satu langkah sahaja sudah mampu untuk membawa si pemain pada kekalahan. Pemain juga perlu berfikir dengan pantas kerana kebiasaannya dalam sesuatu pertandingan catur akan ditetapkan had masa dalam melangkah. Begitu juga dalam kehidupan kita,setiap keputusan perlulah di buat dengan pantas dan tepat. Sesuatu keputusan yang tepat akan tetapi terlalu lambat dilakukan kadang-kala membawa perkara yang sia-sia sahaja.

Nasihat yang popular di kalangan pemain-pemain catur ialah sentiasa memikirkan tiga langkah kehadapan daripada pihak lawan dalam bermain untuk memastikan setiap perkara yang bakal berlaku dapat diatasi daripada awal. Nah,lagi perkara yang berkait dengan kehidupan. Setiap keputusan yang ingin di buat perlu difikirkan dahulu akibatnya pada masa akan datang agar tidak menyesal di kemudian hari.

Penulis juga menemui satu perkara yang berkait dengan situasi kepimpinan dan pemerintahan yang berlaku kini malah dahulu pun. Tidak pasti adakah ramai juga pemain-pemain menyedari perkara ini. Dalam permainan catur,buah 'queen' mampu bergerak dalam ruang lingkup yang amat besar dan boleh dikatakan buah catur yang paling hebat di bandingkan dengan buah catur lain yang mana pergerakannya agak terbatas.

Sedangkan buah 'king' pula amatlah terbatas pergerakannya sedangkan dalam permainan catur buah itulah yang menjadi sasaran setiap buah catur lawan untuk diperangkap. Hendak difikirkan logik sudah tentulah buah 'king' yang di beri kelebihan untuk bergerak lebih bebas supaya mudah untuk diselamatkan. Penulis memerhatikan perkara ini berkait dengan pemerintahan-pemerintahan yang sedang dan pernah berlaku. Banyak perkara dalam pemerintahan seseorang pemerintah dipengaruhi oleh isterinya atau ahli keluarganya sendiri sedangkan segala keputusan pemerintahan sepatutnya tidak di pengaruhi oleh ahli keluarga atau saudara-mara. Kecualilah ianya berkait dengan masalah keluarga. Pemimpin sepatutnya mengambil kira pandangan ahli-ahli dalam Kabinet atau Penasihatnya,bukannya ahli keluarga demi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku dalam pemerintahan.

Akan tetapi perkara itulah yang berlaku kini. Pemerintah-pemerintah terkenal pada suatu ketika dahulu pun ramai yang jatuh dek kerana perempuan yang di gilai seperti mana Napolean Bonaparte dan sebagainya. Semua ini penulis lihat berkait dengan misteri begitu bebasnya pergerakan 'queen' di bandingkan dengan 'king' yang dikatakan paling berkuasa akan tetapi pergerakannya amat terhad. Harapnya nukilan ini difahami dan dapat dijadikan iktibar. Wallahu'alam..

Celoteh Kepimpinan

Lama sungguh jari-jemari mulus penulis ini tidak menari di atas papan 'keyboard'. Adakah ianya kerana jari penulis mengalami kecederaan atau terseliuh dan sebagainya? Oh.. Tidak sama sekali hai sahabat-sahabat.. Ketahuilah sesungguhnya 'line internet' di rumah penulis telah putus pada satu ketika dahulu. Sejak daripada itulah blog penulis telah mengalami kelumpuhan yang kronik sehingga mengakibatkan ia sepi berpanjangan sehingga ke hari ini.

Walaupun wujudnya satu 'post' selepas daripada 'line internet' rumah penulis putus tapi ia hanyalah tidak lebih daripada 'post' yang dinukilkan melalui papan kekunci 'handphone' penulis,sekadar untuk memohon maaf pada peminat-peminat blog(kalau ada) dan melepaskan kegilaan penulis untuk menulis seperti mana aktifnya blog ini ketika era zaman kegemilangannya dahulu..(huhu..)

Pada 'post' kali ini mungkin ianya hanya sekadar celoteh daripada penulis,atau lebih tepatnya ilham spontan atas sebab kesempitan waktu untuk mencari bahan-bahan guna menghasilkan 'post' yang lebih bermutu. Yang demikian itu kerana penulis ketika menulis 'post' ini sedang berada di pejabat SPR Rumah Kelantan Baru yang mana bertempat di Sya'ah 8 atau tingkat yang teratas sekali di RKB. Orang kata sambil-sambil kerja tulis blog atau kata peribahasa sambil menyelam minum air. Begitulah lebih kurangnya..

Pada hari ini pembaca-pembaca pastinya tahu mengenai kemenangan calon PAS,Mohd Fauzi Abdullah,seorang pemborong ikan,di DUN Manik Urai Kelantan dengan hanya majoriti 65 undi. Tidak seperti mana pilihan raya sebelum ini pada tahun 2008 di tempat tersebut yang mana calon PAS,Ismail Yaacob,menang dengan majoriti yang jauh lebih besar iaitu sebanyak 1352 undi. Mengapa begitu jauh sekali perbezaan undinya dengan PR musim lepas? Fikir-fikirlah sendiri..

Apa yang penting ialah pemimpin yang di pilih adalah di kalangan mereka yang betul-betul amanah dan mampu untuk menghindar diri daripada perkara-perkara mungkar seperti rasuah dan sebagainya seperti mana yang sering kita temui berlaku pada pemimpin-pemimpin zaman sekarang. Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan semua orang bertanggungjawab atas apa yang di pimpin.

Pernah satu ketika dahulu,ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul 'Aziz. Pada suatu hari,sedang dia melihat rakyat di bawah pimpinannya yang ramai,telah berkata seorang sahabatnya padanya bahawa mereka semua di hadapan engkau ini bakal menjadi musuhmu ketika di akhirat kelak. Dengan serta-merta menangislah Khalifah Umar mendengar kenyataan tersebut.

Begitulah pembaca-pembaca sekalian. Setiap orang yang berada di bawah seseorang kepimpinan akan mempersoalkan kembali setiap apa kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpinnya ketika di akhirat kelak. Mereka semua inilah yang akan melambatkan proses si pemimpin untuk menjejakkan kaki ke syurga.

Perkara ini tidak tertumpu pada pemimpin negara sahaja,malah jika kita(pelajar-pelajar Mesir) yang biasa memimpin program atau menjadi adhoc program juga di kira termasuk dalam perkara tersebut. So,'conduct'lah program dengan baik ye,jangan ambil mudah je,nanti ajk-ajk kecil bangkit balik kat akhirat,huahua..

Rasanya cukuplah setakat ini dahulu celoteh penulis. Nanti ada rezeki penulis bercelotehlah lagi ye. Kalau rindu sangat nak dengar celoteh penulis lagi marilah berkunjung ke rumah penulis di St.Theresa,Shoubra. Nak tahu di mana? Rahsia.. Heheh~