Isnin, 8 Februari 2010

Saiyidatina Aisyah Radhiallahu 'Anha


Seorang gadis kecil berpewatakan riang berumur sembilan tahun sedang gembira bermain-main dengan teman-temannya. Rambutnya awut awutan dan mukanya kotor kerana debu. Tiba-tiba beberapa orang yang sudah agak tua muncul dari sebuah rumah berdekatan dan datang ke tempat anak-anak tadi bermain-main. Mereka lalu membawa anak gadis itu pulang, memberinya pakaian yang rapi, dan malam itu juga, gadis itu dinikahkan dengan laki-laki yang paling agung di antara manusia, Nabi umat Islam. Suatu penghormatan paling unik yang pernah diterima seorang wanita. S. Aisyah adalah salah seorang puteri tersayang Sayyidina Abu Bakar ra, sahabat Nabi yang setia, yang kemudian menggantikan Nabi sebagai Khalifah Islam yang pertama. S. Aisyah rh lahir di Makkah pada 614 Masihi, lapan tahun sebelum permulaan zaman Hijrah. Orang tuanya sudah memeluk agama Islam. Sejak kecil anak gadis itu telah di didik sesuai dengan tradisi paling mulia - agama Islam - dan dengan sempurna dipersiapkan dan diberinya hak penuh untuk kemudian menduduki tempat yang mulia. Beliau menjadi isteri kepada Nabi selama sepuluh tahun.


Masih muda sewaktu dinikahkan dengan Nabi, tetapi ia memiliki kemampuan yang sangat baik sehingga dapat menyesuaikan diri dengan tugas barunya. Kehadirannya membuktikan bahawa beliau seorang yang cerdas dan setia, dan sebagai isteri, sangat mencintai tokoh dermawan paling besar bagi umat manusia. Di seluruh dunia, beliau diakui sebagai pembawa riwayat paling autentik bagi ajaran Islam seperti apa yang telah di sunnahkan oleh suaminya. Beliau di anugerahi ingatan yang sangat tajam dan mampu mengingat segala pertanyaan yang diajukan para tamu wanita kepada Nabi, serta juga mengingat segenap jawaban yang diberikan oleh Nabi. Diingatnya secara sempurna semua yang disampaikan Nabi kepada para delegasi dan jemaah di masjid. Kerana kamar S. Aisyah itu bersebelahan dengan masjid, dengan cermat dan tekun ia mendengarkan dakwah, ta'lim, dan muzakarah Nabi dengan para sahabat dan orang-orang lain. Ia mengajukan juga pertanyaan-pertanyaan kepada Nabi tentang soal-soal yang sulit dan rumit sehubungan dengan ajaran agama Islam.


Hal-hal inilah yang menyebabkan ia menjadi ilmuwan dan periwayat yang paling besar dan paling autentik bagi sunnah Nabi dan ajaran Islam. S. Aisyah tidak ditakdirkan hidup bersama-sama dengan Nabi untuk waktu yang lama. Pernikahannya itu berlangsung hanya sepuluh tahun saja. Tahun 11 Hijrah, 632 Masihi, Nabi wafat dan di makamkan di kamar yang dihuni S. Aisyah. Nabi digantikan oleh seorang sahabat yang setia, S. Abu Bakar ra, sebagai khalifah islam yang pertama. S. Aisyah terus menduduki urutan pertama, dan setelah S. Fatimah rh meninggai dunia pada tahun 11 Hijrah, S. Aisyah dianggap sebagai wanita yang paling penting di dunia Islam. Tetapi ayahnya, S. Abu Bakar, tidak berumur panjang. Ia meninggal dunia dua setengah tahun setelah wafatnya Nabi. Selama kekuasaan S. Umar al-Faruq, khalifah yang kedua, S. Aisyah menduduki posisi sebagai ibu utama di seluruh daerah-daerah Islam yang secara cepat makin meluas. Orang datang untuk meminta nasihat-nasihatnya yang bijaksana tentang segala hal yang penting.


S. Umar terbunuh dan kemudian Khalifah Uthman. Dua peristiwa kesyahidan tersebut telah menggoncangkan sendi-sendi Islam, dan menjurus kepada perpecahan yang tragis di kalangan umat Islam. Keadaan itu sangat merugikan agama yang sedang menyebar luas dan berkembang dengan cepat yang mana pada ketika itu juga telah menjalar sampai ke batas pegunungan Atlas di sebelah Barat dan ke puncak-puncak Hindu Kush di sebelah Timur. S. Aisyah tidak dapat tinggal diam sebagai penonton dalam menghadapi oknum-oknum pemecah-belah itu. Dengan sepenuh hati ia membela mereka yang menuntut balas atas kesyahidan khalifah yang ketiga. Di dalam Perang Unta, suatu pertempuran melawan S. Ali, khalifah yang keempat, pasukan S. Aisyah kalah dan ia terus mundur ke Madinah di bawah perlindungan pengawal yang diberikan oleh putera khalifah sendiri. Beberapa orang sejarawan yang menaruh minat terhadap peristiwa itu, baik yang Muslim mahupun yang bukan, memberikan kritikan kepada Aisyah dalam pertempuran melawan Ali. Tetapi tidak seorang pun yang meragukan kesungguhan hati dan keyakinan Aisyah untuk menuntut balas bagi darah S. Uthman. S. Aisyah menyaksikan berbagai perubahan yang dialami oleh Islam selama tiga puluh tahun kekuasaan khalifah yang soleh. Ia meninggal dunia tahun 678 Masihi. Ketika itu kekuasaan berada di tangan S. Mu'awiyah. Penguasa ini amat takut kepada S. Aisyah dengan kritik-kritiknya yang pedas berkenaan dengan negara Islam yang secara politis sedang berubah itu. Ibu Utama agama Islam ini terkenal dengan bermacam ragam sifatnya kesolehannya, umurnya, kebijaksanaannya, kesederhanaannya, kemurahan hatinya, dan kesungguhan hatinya untuk menjaga kemurnian riwayat sunnah Nabi.


Kesederhanaan dan kesopanannya segera menjadi obor penyuluh bagi wanita Islam sejak waktu itu juga. Beliau menghuni ruangan yang berukuran kurang dari 12 X 12 kaki bersama-sama dengan Nabi. Ruangan itu beratap rendah, terbuat dari batang dan daun kurma, diliputi dengan lumpur. Pintunya cuma satu, itu pun tanpa daun pintu, dan hanya ditutup dengan secarik kain yang digantungkan di atasnya. Selama masa hidup Nabi, jarang S. Aisyah tidak kekurangan makan. Pada malam hari ketika Nabi mengembuskan nafasnya yang terakhir, Aisyah tidak mempunyai minyak Waktu Khalifah Umar berkuasa, isteri dan beberapa sahabat Nabi mendapatkan tunjangan yang cukup besar tiap bulannya. S. Aisyah jarang menahan wang atau pemberian yang diterimanya sampai keesokan harinya, kerana semuanya itu segera dibagikan kepada orang-orang yang memerlukannya. Pada suatu hari di bulan Ramadhan, waktu S. Abdullah ibn Zubair menyerahkan sekantung wang sejumlah satu lakh dirham, S. Aisyah membahagikan wang itu sebelum waktu berbuka puasa.


S. Aisyah pada zamannya terkenal sebagai orator. Pengabdiannya kepada masyarakat dan usahanya untuk mengembangkan pengetahuan orang tentang sunnah dan fiqh tidak ada tandingannya di dalam catatan sejarah Islam. Jika orang menemukan persoalan mengenai sunnah dan fiqh yang sukar untuk dipecahkan, soal itu akhirnya dibawa kepada S. Aisyah dan kata kata S. Aisyah menjadi keputusan terakhir. Kecuali S. Ali, S. Abdullah ibn Abbas dengan S. Abdullah ibn Umar, S. Aisyah juga termasuk kelompok intelektual di tahun-tahun pertama Islam. Ibu Agung Agama Islam ini mengembuskan nafasnya yang terakhir pada 17 Ramadhan, 58 Hijriah (13 Julai, 678 Masihi). Kematiannya menimbulkan rasa dukacita terutama di Madinah dan di seluruh dunia Islam. S. Aisyah rha bersama S. Khadijah rha dan S. Fathima az-Zahra rha dianggap sebagai wanita yang paling menonjol di kalangan wanita Islam. Kebanyakan para ulama menempatkan S. Fathimah rha di tangga teratas, diikuti oleh S. Khadijah rha dengan S. Aisyah rha sebagai yang terakhir. Tapi ulama ibn Hazim malah menempatkan S. Aisyah rha pada tempat kedua sesudah Nabi Muhammad SAW, di atas semua isteri, dan sahabat-sahabatnya. Menurut A'llamah ibn Taimiyyah, S. Fatimahlah yang berada di tempat teratas, kerana beliau itu anak tersayang Nabi, S. Khadijah itu agung kerana dialah orang pertama yang memeluk agama Islam. Tetapi tidak ada seorang pun yang menandingi S. Aisyah mengenai peranannya dalam menyebarluaskan ajaran Nabi Muhammad SAW.


Tiada ulasan:

Catat Komen