Sabtu, 9 Julai 2011

Kuasa Mata Pena


Mata pena itu sebenarnya amat tajam dan amat berkuasa. Jauh lebih tajam daripada mata pisau mahupun mata pedang. Mengapa saya katakan begitu? Kerana sebilah pisau hanya mampu mencederakan seorang individu dan hanya pada satu bahagian anggota badan dalam satu masa. Malah jika diubati akan sembuh dalam beberapa ketika. Akan tetapi mata pena mampu mengubah ratusan malah ribuan manusia dalam masa yang sama. Juga mampu membawa perubahan pada sistem hidup manusia sama ada secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran sehingga ke akhir hayat mereka.


Saya berikan beberapa contoh. Cuba singkap kisah silam. Perhatikan sejarah manusia masa lampau. Kita lihat bagaimana sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan sesebuah negara juga banyak di bantu dengan kuasa mata pena. Menelusuri sejarah negara kita sendiri,ketika mana perundingan kemerdekaan yang telah diketuai oleh Tuanku Abdul Rahman. Sebelum timbulnya idea untuk melakukan perundangan,langkah awal yang telah dilakukan adalah menanamkan semangat nasionalisme atau semangat cintakan negara dikalangan masyarakat.


Pada ketika itu terdapat tiga golongan intelek yang kerap menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Golongan yang paling awal adalah golongan berpendidikan agama yang telah mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar,Mesir. Contohnya Syed Syeikh Ahmad al-Hadi. Golongan kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris manakala golongan ketiga adalah golongan berpendidikan Melayu. Mereka semua menggunakan teknik penulisan untuk menentang penjajah dan dalam masa yang sama menanamkan semangat nasionalisme.


Walaupun begitu,tidak dinafikan lagi bahawa contoh kuasa mata pena yang terbesar adalah kalamullah yang mulia. Melalui Rasulullah S.A.W,setiap huraian isi-isi al-quran telah disebarkan bermula dari tanah arab sehinggalah ke seluruh pelosok dunia. Berjuta-juta manusia yang kafir daripada zaman dahulu sehingga kini telah memeluk agama islam. Meskipun baginda telah wafat akan tetapi perjuangan baginda tetap di teruskan oleh insan-insan yang hidup pada zaman selepas baginda. Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad wa ‘ala aali Muhammad…


Kesimpulan secara tuntas yang boleh diambil adalah mata pena mampu mengubah kehidupan manusia sama ada secara individu mahupun manusia sejagat. Maka tidak perlulah kita berasa rendah diri jika kita tidak berkebolehan daripada sudut pidato atau sebagainya yang melibatkan seni percakapan kerana dengan penulisan juga kita mampu merubah manusia lain dan memberi impak yang besar. Sebaik-baik penulis adalah yang menggunakan penulisannya untuk merubah manusia kepada yang lebih baik. Sekaligus mengajak manusia ke arah mentaati penciptanya yang Maha Esa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan