Sabtu, 10 Januari 2009

Serangan Hacker Terhadap Israel


Dalam keghairahan tentera-tentera Israel menyerang dan meratah penduduk-penduduk Palestin dengan bom, roket dan sebagainya dalam masa yang sama hacker-hacker dari seluruh dunia juga turut serta melancarkan serangan secara beramai-ramai melalui laman maya. Dikatakan 10,000 laman-laman Israel telah dirosakkan. Banyak daripada laman-laman Israel telah diletakkan dengan video-video, foto-foto dan slogan-slogan yang mengatakan tentang keburukan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Israel.

Apakah yang dimaksudkan dengan hacker? Adakah ianya sejenis perkakasan komputer atau salah satu jenama skrin komputer yang terkenal di kalangan peminat komputer? Kalau itulah yang difikirkan oleh para pembaca maka sungguh jauhlah telahan pembaca sekalian daripada apa yang difikirkan penulis. Telahan pembaca tersebut akan menjadi lebih jauh daripada kebenaran sekiranya ada di kalangan pembaca yang menyangka hacker adalah sejenis binatang, makanan dan sebagainya.

Ketahuilah pembaca sekalian bahawa hacker atau dalam penggunaan bahasa melayunya penggodam ialah seseorang yang
mencipta dan mengubah suai perisian dan perkakasan komputer termasuklah pengaturcaraan komputer, pentadbiran, dan urusan-urusan yang berkaitan dengan keselamatan. Fungsi dan kesan kewujudan seseorang hacker ialah fleksibel mengikut apa yang dilakukan oleh hacker tersebut dengan kemahiran yang dimilikinya.

Menurut ilmu komputer yang sempat difahami penulis, hacker terbahagi kepada dua jenis. Hacker yang menggodam pengatur caraan komputer dan hacker yang menggodam keselamatan komputer. Hacker pengatur caraan komputer ialah hacker yang menggodam atau mencapai sesuatu matlamat dengan mengubah suai sesuatu kod atau sumber sesuatu perisian komputer manakala hacker keselamatan komputer pula ialah hacker yang menggodam sesuatu mekanisme keselamatan sistem dan rangkaian komputer.

Hacker yang melakukan pencerobohan dan pengubah suaian tehadap laman-laman Israel seperti yang diceritakan penulis termasuk dalam jenis hacker keselamatan komputer. Hacker jenis ini kebiasaannya akan memecah masuk rangkaian-rangkaian yang mempunyai sistem keselamatan yang ketat dengan kod-kod tertentu yang hanya difahami oleh mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Sebahagian daripada mereka yang tidak beretika akan memecah masuk sistem-sistem keselamatan bank, kerajaan, pentadbiran sesebuah organisasi dan sebagainya untuk kepentingan peribadi.

Surat khabar Asyarq Al-Awsat yang diterbitkan di London dalam satu beritanya menyebut para hacker yang merosakkan laman-laman Israel itu kebanyakannya datang dari Libanon, Morocco, Iran dan Turki. Sementara laporan daripada salah satu siaran radio Israel menyebutkan bahawa target atau matlamat utama mereka ialah laman perusahaan dan lembaga pemerintahan Israel termasuk laman Jabatan Pertahanan Israel dan Israel Discount Bank.

Seorang daripada hacker yang menggunakan
T@ke Sn!per sebagai nama samarannya di alam maya mengatakan bahawa kumpulannya telah berjaya menggodam lebih daripada 30 laman Israel. Antaranya laman-laman pemerintah Israel tidak terkecuali laman-laman bank dan parti politik Israel. Laman-laman akhbar Israel seperti Maariv dan Yediot Aharonot juga tidak luput daripada serangan para hacker. Para hacker memasang foto-foto warga Palestin yang menjadi korban keganasan Israel dan foto-foto warga Iraq yang menjadi korban kekejaman penjara-penjara AS di laman-laman yang menjadi mangsa.

# Sumber Rujukan:- http://www.arrahmah.com/index.php/news/read/3014/hacker-di-berbagai-negara-rusak-10000-situs-israel

2 ulasan:

  1. minta jasa baik....supaya disertakan link ke berita asal yg melaporkan serangan hackers ke atas website2 israel.

    try search kat Asharq Al-Awsat english edition takde berita tentang serangan hackers nie....search kat al-jazeera english, BBC online & international herald tribune pun takde.

    jadi...minta jasa baik penulis...menyertakan link ke source berita asal mengenai serangan nie....kalau ada, lebih baik sbb bleh diforwardkan kpd orang lain....dan orang lain yg membacanya kelak akan yakin dgn berita yg disampaikan.

    wallahua'lam

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas teguran yang diberikan. Saya telah sertakan link yang dikehendaki di bahagian bawah post tersebut. Kalau ada apa-apa lagi yang ingin ditegur pada post-post saya sebelum dan selepas daripada ni dialu-alukan untuk tegur lagi ye. Teguran yang membina amatlah diharapkan..

    BalasPadam