Isnin, 18 Januari 2010

Hujan Oh Hujan

Saat 'posting' ini di tulis,hujan sedang turun di tempat kediaman penulis. Satu negara di mana turunnya hujan tidak menjadi satu kebiasaan seperti mana di tanah tumpahnya darah penulis iaitu Malaysia. Negara apa? (sila rujuk biodata penulis). Hujan di sini hanya turun apabila di ambang pertukaran musim. Sama ada musim sejuk ke musim panas ataupun musim panas ke musim sejuk. Dek kerana jarangnya hujan turun maka sistem pengaliran air juga tidak secanggih di Malaysia di mana berlakunya lambakan longkang dan sistem-sistem saliran air yang lain. Malah jika diperhatian dengan teliti sememangnya longkang sukar untuk di temui.

Walaupun di sini wujudnya musim sejuk akan tetapi hujan yang turun tidaklah sehingga turun dalam bentuk molekul ais ataupun salji seperti mana di negara-negara barat. Akan tetapi jika bernasib baik,mereka yang pergi ke Bukit Sinai di Mesir pada musim sejuk akan bertemu dengan makhluk Allah Ta'ala yang di beri nama salji itu di puncak bukit.

Sewaktu udara naik lebih tinggi ke atmosfera,terbentuklah titik-titik air,dan terbentuklah awan. Ketika sampai pada ketinggian yang suhunya sekitar 400 C di bawah titik beku,awan itu membeku menjadi kristal ais yang kecil. Udara sekelilingnya yang tidak begitu dingin membeku pada kristal tadi. Oleh kerana itu,kristal bertambah besar dan menjadi butir-butir salji. Apabila ia terlalu berat,salji itu akan turun. Apabila melalui udara yang hangat,salji itu mencair menjadi hujan. Pada musim dingin salji jatuh tanpa mencair.

Secara sainsnya begitulah asal kejadian hujan air dan hujan ais. Mengikut teori tersebut,salji yang terhasil pada ketinggian yang suhunya sekitar 400 C di bawah titik beku akan terus turun ke bumi dalam keadaan demikian apabila tempat yang dituruni itu sedang di dalam musim sejuk. Akan tetapi mengapa di sini walaupun sedang di dalam musim sejuk hujan tidak turun dalam keadaan molekul ais atau salji seperti mana teori yang disebutkan? Haa.. Itulah yang sedang menjadi persoalan penulis. (kepada pembaca yang mempunyai jawapannya secara fakta dialu-alukan untuk menjawab di ruangan komen).

Penulis pada asalnya ingin berkongsi satu kisah yang berkait dengan hujan di zaman Nabi Allah Musa Alaihissalam namun ulasan berkaitan hujan kelihatan agak panjang. Jadi untuk lebih selesa menghayati kisah yang bakal di ceritakan adalah lebih baik pembaca berehat dahulu setelah letih memahami dan memikirkan teori di atas. Cerita tersebut di kisahkan begini...

Pada zaman Nabi Musa as,kaum Bani Israil pernah ditimpa musim kemarau panjang. Lalu mereka berkumpul menemui Nabi Musa as dan meminta baginda agar berdoa kepada Allah S.W.T. agar menurunkan hujan.

Kemudian berdirilah Nabi Musa as bersama kaumnya dan mereka bersama-sama berangkat menuju ke tanah lapang. Dalam suatu pendapat dikatakan bahawa jumlah mereka pada waktu itu lebih kurang tujuh puluh ribu orang.

Setelah mereka sampai ke tempat yang dituju,maka Nabi Musa as mulai berdoa. Diantara isi doanya itu ialah: “Tuhanku,siramlah kami dengan air hujan-Mu,taburkanlah kepada kami rahmat-Mu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu,haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang-orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini,langit sangat cerah dan matahari semakin panas.

Tuhanku,jika seandainya Engkau tidak lagi menganggap kedudukanku sebagai Nabi-Mu,maka aku mengharapkan keberkatan Nabi yang ummi iaitu Muhammad S.A.W. yang akan Engkau utus sebagai Nabi akhir zaman.

Kepada Nabi Musa as Allah menurunkan wahyu-Nya yang isinya: “Aku tidak pernah merendahkan kedudukanmu di sisi-Ku, sesungguhnya di sisi-Ku kamu mempunyai kedudukan yang tinggi. Akan tetapi bersama denganmu ini ada orang yang secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat selama empat puluh tahun. Engkau boleh memanggilnya supaya ia keluar dari kumpulan orang-orang yang hadir di tempat ini! Orang itulah sebagai penyebab terhalangnya turun hujan untuk kamu semuanya.”

Nabi Musa kembali berkata: “Wahai Tuhanku,aku adalah hamba-Mu yang lemah,suaraku juga lemah,apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarnya,sedangkan jumlah mereka lebih daripada tujuh puluh ribu orang?” Allah berfirman: “Wahai Musa,kamulah yang memanggil dan Akulah yang akan menyampaikannya kepada mereka!.”

Menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah,maka Nabi Musa as segera berdiri dan berseru kepada kaumnya: “Wahai seorang hamba yang derhaka yang secara terang-terangan melakukannya bahkan lamanya sebanyak empat puluh tahun,keluarlah kamu dari rombongan kami ini,kerana kamulah,hujan tidak diturunkan oleh Allah kepada kami semuanya!”

Mendengar seruan dari Nabi Musa as itu, maka orang yang derhaka itu berdiri sambil melihat kekanan dan kekiri. Akan tetapi,dia tidak melihat seorang pun yang keluar daripada rombongan itu. Dengan demikian tahulah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu adalah dirinya sendiri. Di dalam hatinya berkata: “Jika aku keluar daripada rombongan ini,nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini terhadap kaum Bani Israil,akan tetapi bila aku tetap bertahan untuk tetap duduk bersama mereka,pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah SWT.”

Setelah berkata demikian dalam hatinya,lelaki itu lalu menyembunyikan kepalanya di sebalik bajunya dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya sambil berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah derhaka kepada-Mu selama lebih empat puluh tahun,walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepada-Mu dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini.”

Beberapa saat selepas itu,kelihatanlah awan yang bergumpalan di langit,seiring dengan itu hujan pun turun dengan lebatnya bagaikan hanya ditumpahkan saja dari atas langit.

Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa as berkata: “Tuhanku,mengapa Engkau memberikan hujan kepada kami,bukankah di antara kami tidak ada seorangpun yang keluar serta mengakui akan dosa yang dilakukannya?”

Allah berfirman: “Wahai Musa,aku menurunkan hujan ini juga di sebabkan oleh orang yang dahulunya sebagai sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu.”

Nabi Musa berkata: “Tuhanku,lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hamba-Mu yang taat itu?”

Allah berfirman: “Wahai Musa, dulu ketika dia derhaka kepada-Ku,Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu ketika dia telah taat kepada-Ku? Wahai Musa,sesungguhnya Aku sangat benci kepada orang yang suka mengadu. Apakah sekarang Aku harus menjadi pengadu?”

Pengajaran Cerita :-

1. Jangan suka mengadu domba atau menceritakan keburukan orang lain kerana Allah S.W.T. sangat membenci mereka yang suka membuka kesalahan orang lain.

2. Selagi mana pintu taubat masih terbuka atau dengan kata lain selagi mana nyawa masih dikandung badan maka bertaubatlah. Sesungguhnya pengampunan Allah itu lebih besar daripada segala kesalahan hambaNya.

3. Amalan maksiat akan menyebabkan turunnya bala pada kelompok manusia yang lain walaupun si pelaku maksiat tersebut hanya seorang. Maka hindarkanlah maksiat demi kesejahteraan diri sendiri dan orang lain.


Sumber : www.darulnuman.com

www.forumsains.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan