Khamis, 21 Januari 2010

Kasihi Ibu Sayangi Bapa



Secara lazimnya menurut ilmu matematik seperti mana yang telah di persetujui oleh pakar-pakar Matematik mahu pun pelajar-pelajar sekolah rendah yang sudah mengikuti pembelajaran subjek Matematik dalam tajuk tambah akan mengiyakan bahawasanya satu di tambah satu hasilnya dua. Mahu pun begitu teori tersebut tidak tepat jika digunakan dalam masalah penambahan ahli keluarga kerana yang tepatnya ialah satu di tambah satu hasilnya tiga. Dengan kata lain kasih sayang yang erat di antara seorang suami dan seorang isteri akan membawa kepada lahirnya seorang anak seterusnya berlaku pertambahan pada bilangan ahli keluarga tersebut daripada dua orang kepada tiga orang.

Anak yang dilahirkan kebiasaannya akan mendapat kasih sayang dan jagaan yang cukup rapi daripada kedua ibu bapanya. Bagi mereka cahaya mata mereka itulah segala-galanya bagi mereka. Mereka sanggup bersusah payah berjaga malam melayani kerenah anak mereka yang kadang kala menangis sepanjang malam. Mereka juga sanggup memerah keringat menyediakan segala keperluan hidup anak mereka tidak kiralah daripada sudut pemakaian mahupun pemakanan demi memastikan jantung hati mereka ini dapat terus hidup dalam keadaan yang bebas daripada penyakit dan serba-serbi cukup walaupun terpaksa menggadai sebahagian besar daripada hasil pendapatan mereka.

Yang menjadi persoalannya ialah mengapakah ada bahkan ramai daripada anak-anak yang apabila mereka sudah meningkat dewasa sanggup melayani ibu bapa mereka dengan perlakuan yang tidak sepatutnya. Ada anak yang sanggup memukul ibu bapanya, ada anak yang sanggup merampas harta hasil titik peluh kedua ibu bapanya dan ada juga anak yang sanggup meninggalkan ibu atau ayahnya di rumah orang-orang tua atas alasan sibuk, tidak mempunyai waktu yang cukup untuk menjaga mereka dan sebagainya. Adakah mereka tidak ingat jerih perih kedua ibu bapa mereka menjaga mereka suatu ketika dahulu? Adakah mereka tahu bahawa kedua ibu bapa mereka juga sibuk akan tetapi tetap berusaha meluangkan masa menjaga mereka?

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 23 yang mana maksudnya, “dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Hah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Petikan ayat tersebut jelas menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab kita selaku anak menghormati kedua ibu bapa. Kita di larang daripada berlaku kasar kepada mereka walau hanya dengan meninggikan suara sekalipun. Sebenarnya seseorang anak tidak akan berlaku kasar pada kedua ibu bapa mereka jika dia benar-benar menyayangi mereka bahkan melayani mereka berdua dengan baik. Bukankah rasa kasih dan sayang itu akan membawa kepada satu hubungan antara manusia yang cukup murni dan indah. Oleh itu, mana mungkin seorang anak yang berlaku kasar pada kedua ibu bapanya boleh di sinonimkan dengan rasa kasih dan sayang.

Antara kedua ibu bapa yang sudah kita sedia maklum perlu diberikan kasih sayang yang sepenuhnya kita juga di tuntut oleh syari’at agar melebihkan ibu daripada bapa. Ada sepotong hadith yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW di soal oleh sahabat tentang siapakah yang perlu di berikan layanan atau kasih sayang yang lebih. Rasulullah menjawab ibu kamu sehingga tiga kali kemudian barulah di sebutkan ayah kamu. Tidak dinafikan bahawa kedua ibu bapa sama-sama bersusah-payah membesarkan seseorang anak akan tetapi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang ibu kepada anaknya itu sering dikatakan lebih hebat daripada si bapa.

Kasih sayang seorang perempuan yang di tonjolkan kepada seseorang jika di bandingkan dengan lelaki jika diperhatikan amatlah mendalam dan cukup tulus berbanding lelaki. Sudah fitrahnya diciptakan perempuan dengan rasa kasih dan sayangnya yang cukup cukup istimewa pada mana-mana insan yang disayangi. Oleh kerana itu jugalah kasih sayang yang ditonjolkan oleh seorang ibu pada anaknya kelihatan istimewa kerana sudah semestinya seorang ibu itu adalah seorang perempuan.

Lebih-lebih lagi jika dilakukan pemerhatian pada haiwan seperti kucing, burung, singa dan sebagainya. Perbezaan kasih sayang yang ditonjolkan antara si ibu dan si bapa lebih jelas ketara berbanding manusia. Kebanyakan binatang yang menjaga anak-anak hanyalah si ibu. Si bapa sudah menghilangkan diri entah ke mana. Walaupun begitu si ibu haiwan tetap gigih membesarkan anak-anaknya bersendirian.

Sebagai intipati yang perlu digarap dan di ambil iktibarnya sama-samalah kita selaku insan yang memiliki ibu bapa memberikan layanan dan kasih sayang yang terbaik pada mereka. Ingatlah bahawa tanpa redha mereka pada kita maka tidak hadir juga redha Ilahi. Tempoh masa mereka masih hidup inilah waktu yang terbaik bagi kita untuk memohon ampun atas segala salah silap kita pada mereka dan memberikan sepenuh kasih sayang sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan